08/12/2024
BACA YAASIN MALAM JUMAAT
Soal & Jawab
1. Apa hukum membaca surah Yaasin?
Membaca surah Yasin adalah disuruh syarak dan besar pahalanya kerana masuk dalam perintah yang umum olih agama anjuran membaca Quran.
Dari Abi Umamah Al-Bahili ra katanya : Saya mendengar Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِه
Artinya : “Bacalah kamu sekelian akan Al-Quran. Kerana ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafa’at bagi orang-orang yang membacanya.” (Hadith Muslim)
Dari Abi Hurairah ra adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
مَنْ قَرَأَ يس فِيْ لَيْلَةٍ اِبْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ غُفِرَ لَهُ
Artinya :“Siapa yang membaca Yasin pada malam hari dengan mengharapkan keredhaan Allah maka akan diampunkan (dosa) baginya .” (Hadith At-Tabarani, Baihaqi & Ibn Hibban)
Jelas padaa hadith ini bolih membaca Yaasin pada malam jumaat kerana Yaasin adalah salah satu surah dalam Quran.
Jika ada orang yang berkata hadith ini hanya menyuruh baca Quran tetapi bukan menyuruh baca Yaasin maka hendaklah kamu berpaling dari orang tersebut kerana jelas orang itu adalah orang yang kurang aqalnya.
Begitu juga jika ada orang berkata hadith ini tidak menyebut baca Yaasin pada malam jumaat hanya menyebut pada malam hari sahaja maka ternyata bersangatan bodohnya dari kerana malam jumaat termasuk makna malam yang disebut dalam hadith ini.
2. Apa hukumnya membaca Yasin pada malam jumaat?
Harus membaca Yasin pada malam jumaat atau pada malam mana sahaja yang berkelapangan samada sendirian atau berkumpulan kerana tidak ada dalil yang melarang membaca Yaasin pada malam jumaat atau malam yang lain.
Siapa baca Yaasin pada malam jumaat dia akan mendapat pahala dan siapa membaca Yaasin pada malam sabtu juga akan mendapat pahala dan begitu juga dapat pahala siapa yang membaca Yaasin pada siang hari walau pada hari apa jua pun.
Dan seperti itulah dihukumkan pada sekelian surah yang selain surah Yasin.
Dari Abi Hurairah r.a. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
artinya : "Tidaklah berkumpul satu kaum di salah satu rumah Allah (masjid) sambil membaca Al-Quran dan saling bertadarus bersama-sama melainkan akan turun ketenangan atas mereka dan rahmat Allah akan meliputi mereka dan para malaikat akan melindungi mereka dan Allah menyebut mereka dikalangan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya" (Hadith Imam Muslim)
Maka jelas pada hadith ini orang yang berkumpul membaca Quran walau pada malam apa pun akan mendapat rahmat dari sisi Allah.
Siapa yang berkata hadith ini maksudnya bukan malam jumaat maka orang itu adalah ahli bidaah yang memandai-mandai membuat hukum kerana jelas pada hadith ini memuji orang berkumpul membaca Quran secara umum yaitu pada waktu mana pun samada siang atau malam atau malam jumaat atau malam yang lain maka siapa berkumpul baca Yaasin malam jumaat dia mendapat kelebihan hadith tersebut dan siapa berkumpul baca Yaasin pada malam selain jumaat juga mendapat kelebihan dalam hadith tersebut.
3. Apakah betul menentukan malam jumaat sahaja untuk membaca Yasin?
Sebaiknya tidaklah menentukan malam jumaat sahaja untuk membaca Yasin sekalipun ada hadith yang menyebut tentang membaca Yasin pada malam jumaat. tetapi jika ada orang mengkhususkan baca Yaasin atau surah yang lain pada malam jumaat bagi dirinya maka dia berhak dengan pilihannya itu dan dia mendapat pahala dengan sebab amalannya itu.
Contohnya jika seorang itu hanya ada kelapangan pada malam jumaat lalu dibacanya akan Yaasin maka dia mendapat pahala di sisi Allah dan siapa berkata tidak dapat pahala maka wajib atasnya mendatangkan dalil.
Dan siapa yang mengatakan Yaasin hanya bolih dibaca pada malam jumaat sahaja adalah ahli bidaah yang membuat hukum sendiri.
4. Bukankah hadith membaca Yasin pada malam jumaat itu dhaif?
Hadith tersebut adalah hadith dhaif.
5. Bolihkah kita beramal dengan hadith yang dhaif?
Berselisih ulama pada beramal dengan hadith dhaif itu kepada 3 pendapat :
a. Bolih beramal untuk amalan sunat sahaja. Inilah pendapat jumhur ulamak yaitu Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Al-Hafiz Imam Nawawi dan Al-Hafiz Imam Al-Suyuti dan Al-Hafiz Imam Al-Iraqi dan Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dan ulamak di zaman moden ini seperti Syeikh Dr Saaid Ramadhan Al-Buti dan lain-lain.
b. Bolih beramal secara mutlak jika tiada hadith sahih. Ialah
pendapat imam Hanbali dan sebahagian ulamak Hanafi.
c. Tidak bolih beramal. Inilah pendapat Imam Ibnul ‘Arabi.
Olih sebab itu membaca Yaasin pada malam jumaat berdalilkan hadith yang dhaif adalah harus. Orang yang membantahnya adalah orang membantah jumhur ulamak.
6. Bukankah beramal dengan hadith dhaif itu dikira bida’ah?
Tidak benar. Bidaah ialah beramal dengan tanpa dalil. Hadith dhaif termasuk dalil sekalipun tidak sekuat dalil hadith sahih atau hasan.
Tidak ada seorang pun dari kalangan ulamak yang pernah menyebut bahawa beramal dengan hadith dhaif adalah bidaah maka siapa yang berkata seperti itu maka dialah sebenarnya ahli bidaah.
Jumhur ulamak telah mengharuskan beramal dengan hadith dhaif pada amalan-amalan sunat maka siapakah kita yang mahu membantah.
Orang awam yang merasa pandangannya lebih betul dari pendapat para ulamak adalah syaitan dari kalangan manusia.
7. Surah apakah yang afdhal dibaca pada malam jumaat?
Semua surah sunat dibaca pada malam jumaat kerana perintah yang umum tetapi yang paling afdhal dibaca pada malam jumaat atau hari jumaat ialah surah Al-Kahfi.
Dari Abu Sa’id al-Khudri ra Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمْعَةِ أَضَآءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الْجُمْعَتَيْنِ
Artinya : “Barangsiapa membaca surat Al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan terpancar cahaya baginya di antara dua Jumaat.” (Hadith Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Hadith ini memberi tahu afdhal membaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat bukan melarang membaca surah yang lain pada malam jumaat.
Siapa yang menggunakan hadith ini untuk melarang manusia membaca surah yang lain pada malam jumaat maka dia adalah ahli bidaah dan jahil murakkab.
8. Jika dibaca surah Al-Kahfi pada malam atau hari selain jumaat apakah hukumnya?
Harus hukumnya membaca surah al-Kahfi pada hari atau malam selain jumaat tetapi membacanya pada malam jumaat atau hari jumaat afdhal sebagaimana datang di dalam hadith.
9. Bagaimana orang-orang yang sudah biasa membaca Yaasin pada malam jumaat?
Tidak menjadi sebarang kesalahan dan apa yang telah mereka amalkan selama ini mendapat pahala cuma afdhal dibaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat. Hadith-hadith sahih menyebut siapa membaca Quran akan mendapat pahala dan kelebihan samada bacaannya itu hukumnya harus atau afdhal.
Artinya siapa yang membaca pada malam jumaat surah-surah yang lain maka dia mendapat pahala dan siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat maka dia akan mendapat lebih banyak pahala.
10. Adakah mesti tinggalkan amalan yang sudah sekian lama yaitu membaca Yaasin pada malam jumaat?
Bukan ditinggalkan tetapi elok ditambah bacaan Al-Kahfi dibaca bersama Yaasin insyaAllah berlipat kali ganda pahalanya.
11. Bagaimana perkataan orang-orang yang mengatakan hanya malam jumaat dimestikan membaca Yasin?
Perkataan tersebut adalah salah kerana tidak ada seorang pun ulama yang mewajibkan baca Yaasin pada malam jumaat atau mengatakan surah Yasin hanya bolih dibaca pada malam jumaat sahaja.
12. Jadi apakah yang sebaiknya kita amalkan berkenaan perkara ini?
Bacalah Al-Quran setiap hari sama ada sedikit atau banyak dan yang sudah mengamalkan membaca Yaasin pada malam jumaat maka teruskanlah dan tambah satu lagi surah yaitu surah Al-Kahfi kerana sepakat ulama pada afdhal membacanya pada malam jumaat.
Dan baca juga surah Yasin dan surah-surah yang lain pada malam-malam selain jumaat atau siangnya bila berkesempatan kerana bila saja pun dibacakan Quran pasti akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Dan berhati-hatilah dengan orang-orang yang berpura-pura alim tetapi sebenarnya dia hanyalah seorang jahil yang bodoh dan yang ramai mengkritik orang yang membaca Yaasin atau Quran itu sebenarnya dia tidak membaca Quran kerana jika dia membaca Quran nescaya Quran akan mendidik dirinya menjadi manusia yang baik kepada orang mukmin.
wallahua'lam
ustaz azhar idrus