29/05/2026
📢 MAKLUMAN RASMI
PENGURUSAN AGIHAN DAGING KORBAN
MASJID JAMEK TELUK BAHANG 📢
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Pihak Masjid Jamek Teluk Bahang ingin memaklumkan bahawa semua urusan pengagihan daging korban bagi Program Ibadah Korban 1447H / 2026M telah dilaksanakan mengikut persetujuan peserta melalui borang penyertaan korban yang telah ditandatangani.
Melalui borang tersebut, peserta telah memilih pada ruangan “Maklumat Daging” sama ada:
☑ Mengambil Sebahagian
☑ Sedekah Semuanya
Selain itu, melalui lafaz akad korban yang telah dibuat, peserta turut mewakilkan kepada pihak pengurusan masjid untuk menguruskan pembelian, penyembelihan, pelaksanaan serta pengagihan bahagian korban.
Untuk makluman semua, pihak masjid ada menerima makluman bahawa terdapat seorang peserta yang tidak menerima bahagian daging korban beliau.
Walaubagaimanapun, pihak pengurusan ingin menjelaskan bahawa kaunter pengambilan daging bagi peserta telah dibuka sehingga jam 7.15 petang pada hari kejadian.
Sepanjang tempoh tersebut:
• Semua peserta lain telah mengambil bahagian daging masing-masing sebelum jam 6.00 petang.
• Hanya peserta berkenaan sahaja yang masih belum hadir mengambil bahagian korban beliau.
• Pihak pengurusan masjid telah beberapa kali menghubungi peserta berkenaan melalui panggilan telefon, namun tiada jawapan diterima.
• Pengerusi Qariah sendiri turut hadir ke rumah peserta sebanyak 3 kali untuk menyerahkan daging korban tersebut dan telah berkali-kali memanggil, namun tetap tiada sebarang jawapan.
Sehubungan itu, pada jam 7.40 malam, pihak masjid telah membuat keputusan untuk mengedarkan bahagian daging tersebut kepada orang awam kerana daging korban tidak boleh dibiarkan terlalu lama di luar dan dikhuatiri akan rosak.
Kemudian, pada jam 8.03 malam, peserta berkenaan telah menghubungi semula pihak masjid dan memaklumkan bahawa beliau tertidur dan baru tersedar daripada tidur.
Untuk makluman, perkara ini juga telah dimaklumkan secara baik kepada peserta berkenaan oleh pihak pengurusan masjid.
Pihak Masjid Jamek Teluk Bahang sentiasa berusaha menjalankan amanah pengurusan korban dengan penuh tanggungjawab, adil dan mengutamakan kebajikan semua pihak.
Sekian, terima kasih.
Pengurusan
Masjid Jamek Teluk Bahang