16/03/2026
| PROGRAM GOTONG-ROYONG, KENDURI MALAM 27 RAMADAN & PENUTUP TADARUS AL-QURAN 1447H |
Alhamdulillah, program Gotong-Royong dan Kenduri Malam 27 Ramadan anjuran Surau Al-Hamidiah, Lubuk Meriam yang diadakan pada 15 Mac 2026 (Ahad) telah berlangsung dengan lancar dan penuh kemeriahan.
Seawal 10.00 pagi, para AJK serta penduduk setempat telah hadir bagi menjalankan gotong-royong penyediaan bahan masakan serta memasak menu utama iaitu Nasi Daging secara bersama-sama. Aktiviti ini memperlihatkan semangat kerjasama dan ukhwah yang erat dalam kalangan ahli kariah.
Program ini turut diadakan bersempena penutup Program Tadarus Al-Quran Ramadan 1447H yang telah berlangsung sepanjang bulan Ramadan di Surau Al-Hamidiah Lubuk Meriam. Program tadarus pada tahun ini telah disertai oleh 11 peserta lelaki serta 24 peserta muslimat yang dibahagikan kepada tiga kumpulan tadarus.
Sebagai tanda penghargaan atas komitmen para peserta dalam mengimarahkan surau melalui bacaan Al-Quran sepanjang Ramadan, sumbangan khas telah disampaikan kepada semua peserta tadarus semasa program ini berlangsung.
Pada sebelah malam, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil, diikuti majlis berbuka puasa bersama dalam suasana penuh kebersamaan dan ukhwah. Program kemudian diteruskan dengan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah sebelum majlis bersurai sekitar 10.30 malam.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua AJK, sukarelawan serta penduduk yang telah bersama-sama menjayakan program ini.
Semoga segala usaha dan penglibatan ini mendapat ganjaran pahala serta keberkatan daripada Allah SWT, serta diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memakmurkan Surau Al-Hamidiah Lubuk Meriam.