05/06/2026
Istighasah
𝗜𝗦𝗧𝗜𝗚𝗛𝗔𝗧𝗛𝗔𝗛: 𝗬𝗔𝗡𝗚 𝗗𝗜𝗛𝗔𝗥𝗨𝗦𝗞𝗔𝗡 & 𝗟𝗔𝗥𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗬𝗔𝗥𝗔𝗞
Dalam Islam, istighathah yang dibenarkan adalah meminta pertolongan kepada Allah secara terus atau melalui perantaraan doa daripada orang soleh agar mereka mendoakan keselamatan, kesembuhan penyakit, atau meminta hujan kepada Allah SWT.
Namun amalan istighathah yang menyimpang di mana masyarakat meminta tolong kepada kuasa ghaib, jin, syaitan, atau roh untuk berubat. Menurut kajian A. Aziz (1994), amalan ini diwarisi daripada kepercayaan purba dan pengaruh Hindu (seperti mengaitkan nama dewa Bentara Guru, Vishnu, dan Dewi Agung) dalam ilmu perbomohan atau dukun¹.
𝐈𝐬𝐭𝐢𝐠𝐡𝐚𝐭𝐡𝐚𝐡 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐡𝐚𝐫𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧:
1. Meminta pertolongan kepada Allah. Firman Allah :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِیۤ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
[Surah Ghāfir: 60]
2. Meminta pertolongan kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda masih hidup atau orang lain yang masih hidup untuk mendoakan sesuatu kebaikan kepada Allah SWT dengan menggunakan ayat Al-Qur'an atau doa yang thabit. Nabi ﷺ bersabda :
Seorang lelaki masuk ke masjid semasa Rasulullah ﷺ sedang berkhutbah Jumaat dan meminta baginda berdoa meminta hujan kerana harta benda rosak akibat kemarau. Rasulullah ﷺ mengangkat tangan berdoa sebanyak tiga kali sehingga hujan turun. [HR. Bukhari]
3. Meminta pertolongan sesama manusia yang hidup untuk urusan duniawi yang mampu dilakukan seperti membantu orang lemas, membantu orang miskin dan lemah. Firman Allah :
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. [Surah Al-Māʾidah: 2]
Imam Ibn Taymiyah berkata,
فَاسْتِغَاثَةُ الْمَخْلُوقِ بِالْمَخْلُوقِ كَاسْتِغَاثَةِ الْمَسْجُونِ بِالْمَسْجُونِ"
"Maka, istighathah (meminta pertolongan) makhluk dengan makhluk itu adalah seumpama orang yang dipenjara meminta pertolongan dengan orang yang dipenjara juga²."
𝐌𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐥𝐚, 𝐈𝐬𝐭𝐢𝐠𝐡𝐚𝐭𝐡𝐚𝐡 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐥𝐚𝐫𝐚𝐧𝐠 :
1. Meminta tolong kepada Orang yang Telah Mati atau Penghuni Kubur. Meminta tolong kepada orang soleh yang telah wafat seperti,
"Hai Sayyidah Zainab tolonglah saya, lepaslah saya daripada kesusahan ini".
Sedangkan, Allah SWT menegaskan bahawa orang yang di dalam kubur tidak dapat mendengar. Firman Allah:
وَمَا یَسۡتَوِی ٱلۡأَحۡیَاۤءُ وَلَا ٱلۡأَمۡوَ ٰتُۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُسۡمِعُ مَن یَشَاۤءُۖ وَمَاۤ أَنتَ بِمُسۡمِعࣲ مَّن فِی ٱلۡقُبُورِ
"Dan (Demikianlah p**a) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya)". [Surah Fāṭir: 22]
Bahkan apabila manusia mati, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (sedekah jariah, ilmu bermanfaat, anak soleh mendoakannya).
Imam al - Alusi berkata,
إنَّ النَّاسَ قَدْ أَكْثَرُوا مِنْ دُعَاءِ غَيْرِ اللهِ تَعَالَى مِنَ الأَوْلِيَاءِ الصَّالِحِينَ أَحْيَاءً وَأَمْوَاتاً وَغَيْرِهِمْ، مِثْلَ: (يَا سَيِّدِي فُلَان أَغِثْنِي)، وَلَيْسَ ذَلِكَ مِنَ التَّوَسُّلِ المُبَاحِ فِي شَيْءٍ، وَاللَّائِقُ بِحَالِ المُؤْمِنِينَ عَدَمُ الدُّعَاءِ بِذَلِكَ وَأَنْ لَا يَحُومُوا حَوْلَ حِمَاهُ، وَقَدْ عَدَّهُ بَعْضُ العُلَمَاءِ شِرْكاً.
"Sesungguhnya manusia telah banyak berdoa (memohon) kepada selain Allah Taala daripada kalangan para wali yang soleh, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah mati, dan selain mereka. Contohnya (seperti ungkapan): 'Wahai tuanku si fulan, beralah/tolonglah aku!' Perbuatan tersebut sama sekali tidak termasuk dalam kategori tawassul yang dibenarkan. Selayaknya bagi keadaan orang-orang beriman untuk meninggalkan doa (seruan) sedemikian serta tidak menghampiri kawasannya. Bahkan, sebahagian ulama telah menganggap perbuatan itu sebagai suatu syirik³."
Beliau turut menjelaskan bahawa jika ada orang yang beristighathah kepada orang mati lalu hajatnya termakbul, itu sebenarnya adalah tipu daya syaitan atau jin yang menjelma untuk merosakkan akidah umat Islam, bukannya bantuan daripada wali tersebut.
2. Mempercayai wali atau orang Soleh boleh mendengar dan memberi bantuan dari alam kubur.
Sedangkan sifat orang mati tidak lagi mampu mendengar atau menunaikan ibadat untuk orang hidup.
إِنَّكَ مَیِّتࣱ وَإِنَّهُم مَّیِّتُونَ
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati".
[Surah Az-Zumar: 30]
Imam Syafie berkata:
وَأَكْرَهُ أَنْ يُعَظَّمَ مَخْلُوقٌ حَتَّى يُجْعَلَ قَبْرُهُ مَسْجِدًا، مَخَافَةَ الْفِتْنَةِ عَلَيْهِ، وَعَلَى مَنْ بَعْدَهُ مِنْ النَّاسِ."
"Dan aku membenci tindakan mengagungkan makhluk sehingga kuburnya dijadikan sebagai masjid (tempat ibadah), kerana bimbangkan berlakunya fitnah (syirik dan kesesatan) ke atas dirinya dan juga ke atas orang-orang yang datang selepasnya daripada kalangan manusia⁴."
Imam Ibn Taymiyah berkata,
وَالْمَخْلُوقُ يُطْلَبُ مِنْهُ مِنْ هَذِهِ الْأَشْيَاءِ مَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ مِنْهَا... وَأَمَّا مَا لَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ إلَّا اللَّهُ تَعَالَى فَلَا يَجُوزُ أَنْ يُطْلَبَ إلَّا مِنْ اللَّهِ سُبْحَانَهُ؛ لَا يُطْلَبُ ذَلِكَ لَا مِنْ الْمَلَائِكَةِ وَلَا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ وَلَا مِنْ غَيْرِهِمْ.وَمَنْ جَعَلَ الْمَلَائِكَةَ وَالْأَنْبِيَاءَ وَسَائِطَ يَدْعُوهُمْ وَيَتَوَكَّلُ عَلَيْهِمْ وَيَسْأَلُهُمْ جَلْبَ الْمَنَافِعِ وَدَفْعَ الْمَضَارِّ مِثْلَ أَنْ يَسْأَلَهُمْ غُفْرَانَ الذَّنْبِ وَهِدَايَةَ الْقُلُوبِ وَتَفْرِيجَ الْكُرُوبِ وَسَدَّ الْفَاقَاتِ فَهُوَ كَافِرٌ بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ."
"Dan makhluk boleh diminta pertolongan daripadanya pada perkara-perkara yang ia mampu melakukannya. Adapun perkara yang tidak mampu dilakukan melainkan oleh Allah Taala, maka tidak harus memintanya melainkan hanya daripada Allah Subhanahu wa Taala; perkara tersebut tidak boleh diminta daripada para malaikat, para nabi, dan tidak juga daripada selain mereka. Sesiapa yang menjadikan para malaikat dan para nabi sebagai perantara, (lalu) dia berdoa kepada mereka, bertawakal kepada mereka, dan meminta daripada mereka untuk mendatangkan manfaat atau menolak kemudaratan — seperti meminta mereka mengampunkan dosa, memberi hidayah ke dalam hati, menghilangkan kesedihan, dan melepaskan daripada kemiskinan — maka dia adalah kafir berdasarkan ijmak (kesepakatan bulat) kaum Muslimin⁵."
"Sesungguhnya istighathah kepada orang mati dan berdoa kepada mereka selain daripada Allah atau bersama-sama Allah adalah syirik besar yang mengeluarkan seseorang daripada agama Islam, sama ada pihak yang dimintai pertolongan itu seorang nabi mahupun bukan nabi⁶."
3. Meminta tolong kepada Jin, Syaitan dan bomoh yang melibatkan sihir, khadam ghaib, atau menggunakan nazam dan puisi tertentu.
Sumber :
1. Sunnah dan Bid'ah dalam Amalan Orang Melayu.
2. Majmu' al-Fatawa, Jilid 1.
3. Tafsir Ruh al-Ma'ani
4. Kitab Al-Umm, Jilid 1, Halaman 278.
5. Majmu' al-Fatawa, Jilid 1.
6. Fatwa al-Lajnah ad-Da'imah.
Boleh rujuk postingan Tawasul & Istighatsah Sebelumnya :
https://www.facebook.com/share/p/1EEQQb6TEe/
Boleh rujuk postingan Syubhat Istighatsah Seterusnya :
https://www.facebook.com/share/p/1jJF9HAvEE/
https://whatsapp.com/channel/0029VbBXiM4EAKW8JJQLiF24