14/12/2022
BISAKAH KEBENARAN DIALAMI?
Dalam perjalanan mencari-cari hakikat kebenaran, Imam al-Ghazali telah menduga semua pilihan yang ada. Dari empirikal dan rasional, membawa ke aksiom dan ilmu kalam. Semuanya hampa semata. Falsafah dan mysticism Syiah tak juga melegakan dahaganya.
Di usia 38 tahun, Abu Hamid al-Ghazali merasa kekosongan dalam jiwanya. Pergolakan politik Seljuk dan terbunuh Nizamul Muluk menambah galau yang sedia ada. Apalagi setelah adiknya, Ahmad al-Ghazali menegur, “Wahai batu asah, sampai bila engkau menajamkan yang lain, sedang kau sendiri tidak tajam?”
Gaya empirikal melalui pancaindera menjadi timbangan pertama al-Ghazali. Apa boleh indera manusia mencerna kebenaran. Setelah diteliti, ya alat perasa yang lima boleh memahami, tetapi juga boleh keliru.
Misalnya, dengan mata kita melihat nun bintang di langit kecil-kecil. Sedangkan cerapan astronomi mengajar kita, bintang itu berkali ganda besarnya. Begitu juga ubat-ubatan yang pahit dan tidak disukai lidah, sementara ubat yang pahit itulah bermanfaat bagi tubuh. Pancaindera bisa keliru.
Jika begitu, apa mungkin akal rasional menggapai kebenaran? Maka ditelitilah alat paling berharga di kepala manusia yang dijunjung otak. Ya dengan akal manusia boleh membeza betul dan salah. Namun sejarah membuktikan, akal dapat memanip**asi. Akal itu menteri, hati itu raja.
Dengan muslihat akal, apa yang sangat diingini hati boleh saja dirasionalkan. Contohnya, jika seseorang itu saking dicintai, apa saja keburukannya akan dijustifikasi akal. Betul belaka. Jika dibenci, semua buruk di mata. Itulah akal, menteri terpercaya. Jadi katanya Rene Descartes, “Orang paling berakal, boleh melakukan kebaikan paling baik atau kejahatan paling jahat.”
Jika akal mentah tidak, maka produk akal yakni logik atau aksioma boleh diberi peluang. Logik tidak pernah salah. Bapa mesti wujud dulu baru wujud anak. Ada ciptaan, mesti ada yang menciptakan. Setengah mesti lebih kecil daripada seluruh. Dengan bergantung kepada aksioma, ya kebenaran boleh ditentukan. Namun fungsinya terbatas, ada wilayah yang aksioma terhenti. Lihat bila seseorang tidur, ke mana roh pergi dan bagaimana roh kembali? Lihat seseorang mati, apa terjadi pada roh yang tadinya tinggal di jasad kemudiannya tidak? Semua ini gagal dijawab oleh logik.
Ilmu kalam p**a bagaimana. Ya, sumbangan monumental madrasah aqidah ini tidak dinafikan. Jika tidak, manakan al-Ghazali menulis Al-Iqtisad fi'l-I'tiqad dan merumuskan Qawa’id al-‘Aqaid fi al-Tawhid dalam magnum opus Ihya Ulumiddin. Dengan kehebatannya berdebat, Muktazilah mati akal dan runtuh kesekian kalinya.
Namun bagi al-Ghazali, ilmu kalam yang banyak memakai hukum akal dan berdebat dengan firqah sesat, masih belum memuaskan nuraninya. Meskipun ia ilmu yang sahih serta bermanfaat besar bagi ummah, soalan signifikan yang ditanyakan adalah: “Apa yang dikecapi diri sendiri?” Al-Ghazali menginginkan ilmu yang dirasa dan meresap di hati.
Dilihat p**a ilmu falsafah. Sekian ditekuni dan digulati, ia menemui jalan buntu. Bahkan filsuf sendiri tidak habis bertanya-tanya tanpa menemui makna hakiki. Al-Ghazali menuliskan Maqāṣid al-falāsifah sebagai buah tangan buat pecinta sophy. Tahāfut Al-Falāsifah p**a dikarang bagi membantah kekufuran akidah ahli falsafah.
Al-Ghazali meluaskan pandangan dengan menjenguk ke daerah mistik Syiah. Dakwa mereka, Tuhan merasuk ke jiwa imam suci. Maka perkataan dari lidah imam adalah firman Tuhan, layaklah digelar imam sebagai ayatollah. Ayat-ayat Tuhan.
Claim dari Syiah ini tidak memuaskan al-Ghazali. Selain daripada tidak ilmiah lantaran secara epistimologi, ia sekadar disandar pada authoritarianism. Orang lain yang bukan imam suci sebenar-benarnya tidak mampu mentashih apa benar Tuhan merasuki ataupun tidak. Ia semata dakwaan murni dari imam suci. Bagaimana nak diketahui jujur atau bohong? Kita tidak tahu. Maka jalan Syiah juga tertolak. Ditulislah risalah Munqidh min al-Dalal yang menyatakan kekecewaannya.
Akhirnya, setelah ditunjuki adindanya, Ahmad al-Ghazali, dia menapaki jalan sufi berpandukan guru mursyid, Syeikh Ali Farmadi murid kepada Imam Abū al-Qāsim al-Qushayrī. Nantinya jalur ini bersilsilah dalam Tarekat Naqsyabandiah.
Jika di jalan yang lain, kebenaran itu dikesan atau dikenal sahaja, jalan sufi malah menghidupkan kebenaran dalam diri. Maka kebenaran bukan setakat diketahui, tapi dialami. Dari ilmul yakin kepada haqqul yakin. Tasawuf mempraktis musyahadah yang terkandung dalam maqam ihsan.
Sepertimana kata Jalaluddin Rumi, “Aku mencintai bukan dengan akal fikiran, bukan dengan hati perasaan. Kerana akal boleh lupa dan hati boleh berbolak balik. Aku mencintai, dengan segenap jiwaku kerana jiwa tidak kan lupa mahupun luput.”
Maka dari jalan sufi, al-Ghazali menggapai kebenaran lewat ilmu laduni. Penerangan sarat telah dihuraikannya dalam Ihya Ulumiddin melalui Kitab Ilmu berkenaan ilmu muamalah dan ilmu mukasyafah. Dengan beramal sebaik-baiknya, maka hidayah taufik Allah membukakan kasyaf bagi memandang rahsia-rahsia ketuhanan. Justeru kebenaran itu dirasai dan dialami secara langsung. First hand.
Secara khusus, Risalah Laduniah telah digarap Imam al-Ghazali bagi menghurai ranah halus ini. Pembuktian kesahihan jalan tasawuf diperkuat lagi dengan pengalaman seorang pembangkang al-Ghazali yang membakar kitab-kitab karangannya. Lalu di malam hari, Rasulullah datang ke dalam mimpi dan memarahi. Setelah itu, dia akur dengan keilmuan al-Ghazali. Polemik hadis dhaif dalam kitab-kitabnya juga selesai melalui jalan kasyfi, apabila setiap hadis yang dimasukkan dalam karya dicium al-Ghazali dan berbau harum, menandakan benar ia dari Nabi.
Kebenaran yang dicari telah digapai dan dialami. Inilah ilmu yang sejati. Yakni diamalkan dan bermanfaat buat diri. Tidak semata terkurung dalam matematika, teori atau spekulasi. Ilmu laduni sebuah gagasan metafizik yang irfani. Dikesan di mata dan dirasa di hati.
Allah adalah الحق. Dialah haq. Kebenaran hakiki hanyalah milik-Nya.
وَعَلَّمۡنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلۡمࣰا﴿ ٦٥ ﴾
dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. (Al-Kahf, Ayah 65)
—ZAKI SAPUAN
Penceramah bebas
Guru tahfiz
Quran Tutor