24/08/2026
CINTA RASUL DISEMAI, UKHUWAH KOOP SAHABAT DIPERKUKUH
22 Ogos 2026 – Sambutan Maulidur Rasul SAW bersempena Eksplorasi Koop Sahabat Bersama Anggota Lembaga Wilayah Perak telah berlangsung dengan penuh penghayatan di Masjid Jamil Al Kholidi Kampung Sengat, Simpang Pulai, Perak, melibatkan kepimpinan dan Anggota Lembaga Koop Sahabat, perwakilan, anggota koperasi, kakitangan Koop Sahabat, Sahabat Ar Rahnu (SAR), Sahabat Gold serta komuniti setempat.
Program ini menjadi wadah untuk menyemarakkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping memperkukuh ukhuwah dan hubungan silaturahim antara warga Koop Sahabat dengan anggota serta komuniti setempat. Turut hadir Puan Saidatul binti Shaari, Anggota Lembaga Koop Sahabat Wilayah Perak; Encik Shahfizan bin Hamdan, Pengurus Wilayah Amanah Ikhtiar Malaysia Perak; Timbalan Komisioner Penjara Tuan Fayrouz bin Haji Ahmad Zawawi, Pengarah Penjara Negeri Perak; YBhg. Dato’ Salehudin Bin Abd Hamid, Timbalan Pengerusi PERKIM Negeri Perak; serta Puan Hajah Hayati binti Asmari, Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Korporat Koop Sahabat.
Antara pengisian utama program ialah Perarakan Maulidur Rasul, Ceramah Khas, Penyampaian Sumbangan kepada Masjid Jamil Al Kholidi, Penyerahan Sumbangan Zakat kepada anggota asnaf serta penerangan mengenai perkhidmatan Sahabat Ar Rahnu dan produk Sahabat Brand. Majlis turut diserikan dengan perkongsian ilmu oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Hj. Mohd Farid Ravi Abdullah, Naib Canselor dan Profesor Jabatan Al-Quran dan As-Sunah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Koop Sahabat dalam menyemarakkan nilai keagamaan, memperkukuh hubungan bersama komuniti serta meneruskan peranan koperasi sebagai sebuah organisasi yang prihatin dan dekat dengan anggotanya.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.