08/10/2025
🕊️ Doa Katolik Untuk Umat Kristian di Nigeria
Bersempena Bulan Rosario Suci
Saudara dan saudari seiman,
Bulan Oktober ini, Gereja Katolik di seluruh dunia memperingati Bulan Rosario Suci ,masa untuk kita merenungkan kasih Kristus bersama Bunda Maria, dan berdoa untuk dunia yang sedang menderita. Dalam semangat kasih sejagat ini, marilah kita mempersembahkan doa khas buat saudara-saudari kita di Nigeria, yang kini mengalami penderitaan dan penganiayaan kerana iman mereka kepada Kristus.
Menurut laporan pelbagai agensi berita dan pemerhati Gereja, lebih 7,000 umat Kristian telah terbunuh sejak awal tahun 2025. Dalam serangan di negeri Benue pada bulan Jun, lebih 100 hingga 200 umat Kristian dilaporkan terbunuh di kem pemindahan, dan lebih 218 orang lagi kehilangan nyawa apabila kampung mereka dibakar.
Di Plateau State p**a, pada malam Minggu Palma 2025, sekurang-kurangnya 56 umat Kristian, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan bersenjata.
Sejak tahun 2009, dianggarkan lebih 125,000 umat Kristian telah terkorban dan lebih 19,000 gereja dimusnahkan. Ramai paderi dan pemimpin Gereja turut menjadi mangsa penculikan dan pembunuhan.
Namun dalam kesedihan ini, iman mereka tetap teguh, menjadi saksi kasih Kristus yang tidak berkesudahan. Maka marilah kita, dalam Bulan Rosario Suci ini, bersatu hati memohon kepada Tuhan agar damai dan belas kasih-Nya memenuhi bumi Nigeria
🙏 Doa Untuk Umat Kristian di Nigeria
✝️ Dalam nama Bapa, dan Putera, dan Roh Kudus. Amin.
Ya Bapa di Syurga,
Dalam bulan Rosario yang penuh rahmat ini, kami datang kepada-Mu dengan hati yang hancur namun penuh pengharapan.
Kami mempersembahkan kepada-Mu umat-Mu di Nigeria, mereka yang dianiaya, yang kehilangan keluarga, rumah, dan keamanan demi mempertahankan iman mereka.
Kasihanilah mereka, ya Tuhan.
Lindungilah setiap jiwa yang berpegang pada nama-Mu yang kudus.
Kuatkanlah iman mereka di tengah penderitaan, dan hiburkanlah hati mereka dengan kehadiran Roh Kudus-Mu.
Kami juga berdoa untuk para pemimpin negara dan semua pihak berkuasa agar mereka digerakkan oleh keadilan dan belas kasihan untuk melindungi setiap nyawa yang tidak berdosa.
Ya Yesus, Raja Damai, bukalah hati mereka yang menabur kekerasan supaya bertobat dan mengenal kasih-Mu yang sejati.
Semoga darah para martir menjadi benih iman yang baru, dan damai-Mu bertumbuh di tanah mereka.
Bunda Maria, Ratu Rosario Suci,
Doakanlah mereka yang terkorban ini.
Semoga doa Rosario kami di seluruh dunia menjadi sumber penghiburan dan kekuatan bagi mereka yang menderita.
Para Malaikat dan Orang Kudus Allah,
Doakanlah mereka yang terkorban, dan mereka yang masih berjuang menegakkan iman.
Kami memohon ini kepada-Mu ya Tuhan,
dalam nama Bapa, dan Putera, dan Roh Kudus.
Amin. ✝️
---
✨ “Tuhan, kasihanilah kami. Kyrie Eleison.”
🕯️