07/07/2026
PROGRAM BUBUR ASYURA PERINGKAT PANGKALAN UDARA SUBANG 2026M/1448H
Masjid Al-Muhajirin, 2 Julai 2026 - Masjid Al-Muhajirin telah mengadakan Program Memasak Bubur Asyura dengan kerjasama BAKAT PU Subang Tahun 2026M/1448H bertempat di Masjid Al-Muhajirin Pangkalan Udara Subang.
Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga pangkalan. Aktiviti bergotong-royong menyediakan dan memasak bubur Asyura bukan sahaja menghidupkan sunnah serta menghayati keberkatan bulan Muharam, malah menjadi medium untuk mengeratkan ukhuwah, semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan warga Pangkalan Udara Subang.
Turut hadir memeriahkan program ialah Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM, Komander Pangkalan Udara Subang, yang turut sama berganding bahu bersama warga pangkalan dalam mengacau bubur Asyura. Kehadiran dan penglibatan beliau mencerminkan semangat kepimpinan melalui teladan serta mengukuhkan hubungan erat antara pihak pengurusan dan seluruh warga pangkalan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berganding bahu dalam setiap proses penyediaan bubur Asyura, bermula daripada penyediaan bahan-bahan, proses memasak sehinggalah kepada pengagihan bubur kepada warga pangkalan. Semangat kebersamaan dan saling membantu yang dipamerkan mencerminkan nilai-nilai murni serta budaya kerja berpasukan yang sentiasa diamalkan.
Semoga penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform untuk mengukuhkan silaturahim, memupuk semangat kekitaan serta menyemarakkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan seluruh warga Pangkalan Udara Subang.