08/09/2022
HIBAH MENYEBABKAN WARIS BERBALAH ? BIAR JELAS JANGAN KELIRU.
Artikel oleh : Tn hj Ariffin Sabirin Official CEO Wasiyyah Shoppe Berhad
Saya telah terlibat secara aktif di dalam industri perancangan harta ini semenjak 1998 iaitu 24 tahun lepas ketika hampir tiada langsung sesiapapun yang bercakap tentang isu harta pusaka secara agresif dalam masyarakat.
Masyarakat ketika itu tidak faham langsung tentang faraid atau wasiat jauh sekali hibah. Bersama beberapa individu ( ramai antararanya telah meninggal dunia ), kami bertungkus-lumus bekerja mendidik masyarakat tentang isu ini ketika itu.
Saya juga telah dikurniakan rezeki untuk bercakap di negara2 seperti Turki, Australia, UK, Singapore, Brunei dan semasa PKP berpeluang zoom bersama beberapa negara asia barat.
Saya dapati di kalangan umat Islam, wujud juga masalah harta pusaka di negara2 ini namun teruk atau tidak masalah pusakanya, ia tertakluk kepada peruntukan undang2 negara berkenaan.
HIBAH MENYEBABKAN WARIS BERBALAH ?
Saya ditanyakan berkenaan video tular seorang hamba Allah yang menceritakan tentang bagaimana dia telah berjaya memuafakatkan waris untuk mengubah ‘hibah’ yang dibuat simati supaya ia menjadi harta pusaka kembali dan diagihkan kepada waris faraid seterusnya masalah pusaka itu dapat diselesaikan.
Pada kadar pengalaman & pengetahuan saya yang tak seberapa ini, ulasan hamba Allah ini jika didengar orang awam yang tidak mengaji subjek ini boleh mencetuskan kekeliruan. Hujah saya :
1. Siapakah kita untuk mengubah ‘hibah’ yang telah sempurna rukun & syaratnya ?
Hak untuk memberi hibah ialah hak tuan punya harta selagi dia masih hidup. Islam tidak menyekat kita dari melupuskan harta ketika hidup termasuk melalui hibah kerana harta itu milik kita dan kita berhak membuat apa saja ke atasnya.
Sebaik sahaja hibah itu sempurna rukun dan syaratnya, maka ia sah dan berkuatkuasa ( ada proses di mahkamah syariah yang perlu dilalui bagi pengesahan hibah ).
Jika selepas kematian pemberi hibah, kita telah memujuk waris untuk mengubah hibah yang telah sah itu supaya menjadi harta pusaka hanya dengan alasan masalah pusaka tak selesai atau waris berbalah, apa p**a hukumnya ?
Adakah kita tahu apa sebenarnya hasrat simati tadi bila dia menghibahkan hartanya hanya kepada anak tertentu sahaja?
Adakah kita tahu maslahat penerima hibah itu ; belum cukup umur / tidak waras fikiran / kurang berjaya dalam kehidupan berbanding waris lain, yang menyebabkan ibubapa memberikan hibah kepadanya dan bukan waris lain?
Hibah hanya sunat disamaratakan bukan wajib kerana hak memberi harta itu kepada sesiapapun mengikut berapa bahagian pun adalah hak tuanpunya harta asalkan sahaja hibah itu sempurna rukun & syaratnya.
Hibah yang sah bermakna harta itu telah menjadi milik penerima hibah dan terkeluar dari harta pusaka.
Melalui pujukan kita & tekanan majoriti waris, penerima hibah yang enggan memanjangkan cerita pun bersetuju. Kita pun berjaya ‘memuafatkan’ waris supaya menukar status harta dari harta hibah kepada harta pusaka.
Dalam situasi ini Adakah penerima hibah benar2 redha melepaskan harta hibah yang telah diterimanya itu untuk diagih semula kepada waris2 lain?
Keadaan lebih buruk jika penerima hibah itu bawah umur. Pemegang amanah kepada kanak2 ini TIDAK BOLEH sewenang2nya bersetuju untuk membatalkan hibah itu kerana dari segi hukum dia hanya ada kuasa menerima hibah bagi pihak kanak2 itu sahaja dan tiada kuasa bersetuju dengan pembatalannya ( kecuali bagi hubungan yang dibenarkan pembatalan ).
Dalam kita kononnya ingin menegakkan sesuatu hukum kita melanggar p**a hukum yang lain.
Di kebanyakan negara yang saya berpengalaman berceramah, membentang kertas kerja dan engage dengan otoriti tempatan dan masyarakat, perbalahan waris tetap berlaku walaupun instrumen hibah langsung tidak wujud di negara itu.
KESIMPULAN.
1. Masyarakat perlu dididik dengan jujur dan telus tentang semua instrumen yang wujud di dalam Islam.
Islam ini syumul dan menyeluruh. Janganlah cerita sekerat2 mengikut pengetahuan & pengalaman peribadi sendiri sahaja kerana kesemua instrumen ini juga wujud dalam Islam. Siapakah kita ingin menafikannya.
2. Berlapang dada dalam mempelajari ilmu fiqh mawarith kerana ia sangat luas dan komprehensif.
Faraid memang hukum Allah dan wajib dipatuhi namun hibah juga pilihan yang Allah berikan kepada kita. Ilmu berkaitan hibah dibincang dan dibahaskan ulama2 muktabar semenjak ribuan tahun sehingga hari inj. Perbuatan menakut-nakutkan masyarakat dengan ‘demonize’ hibah tanpa kita sendiri mendalami ilmu itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
3. Para daie, perunding atau sesiapa sahaja di luar sana yang ingin membawa ilmu fiqh mawarith ke dalam masyarakat mestilah ada sifat AMANAH ILMU.
Cerita dengan telus jangan sorok fakta. Kalau kurang faham jangan malu untuk belajar walaupun kita ni taraf selebriti. Jangan memburuk-burukkan hibah semata-mata kerana nak menegakkan pandangan kita. Semua ilmu ini milik Allah.
4. Bukan hibah itu yang salah.
Analoginya sama dengan cerita buruk yang kita dengar tentang poligami. Bukan poligami itu yang salah tetapi pengamalnya yang tidak faham. Begitu juga hibah tidak salah tetapi pembawa ilmu ini yang tidak berpengetahuan yang menyebabkan masyarakat keliru dan menyebabkan hibah itu bermasalah. Sama juga faraid itu tidak menyebabkan waris berbalah tetapi kefahaman masyarakat itu yang terhad.
Jom cakna & ambil tahu❗
Ambil tahu ilmu-ilmu tentang Pewarisan Harta Orang Islam, Follow FB Page:
https://www.facebook.com/Pewarisan-Harta-Orang-Islam-111619557960099/
Jom cakna ilmu-ilmu tentang Pewarisan Harta Orang Islam, Follow Telegram :
https://t.me/+N8dv1NXBiGc4OTI1
Untuk dapatkan konsultasi @ nasihat tentang pewarisan harta orang islam secara PERCUMA:
https://wa.me/message/ZM6UOTIIMNLFG1
🌹