24/05/2026
E-BUKU TERBAHARU PERCUMA
KHABAR GEMBIRA BUAT PARA HAJI
Oleh: Imām Yūsuf al-Qaraḍāwī
Penterjemah: Mohd Khairul Anwar Ismail
Hadirnya bulan Zulhijjah sentiasa membawa suasana yang berbeza bagi umat Islam, kerana pada bulan inilah jutaan umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Tanah Suci Mekah sebagai tetamu Allāh, manakala jutaan yang lain menghidupkan hari-hari terbaik sepanjang tahun, iaitu 10 hari-hari awal Zulhijjah dengan doa, zikir, puasa dan amal soleh.
Namun haji bukan sekadar perjalanan menuju Mekah. Sebagaimana yang dihuraikan oleh Imām Yūsuf al-Qaraḍāwī dalam khutbahnya, Min Mubashshirāt al-Ḥajj, haji ialah perjalanan kembali kepada manusia yang sebenar. Ia bukan sekadar perpindahan jasad dari satu tempat ke satu tempat, tetapi perpindahan jiwa daripada kelalaian kepada kesedaran, daripada dosa kepada pengampunan dan daripada kehidupan yang berselerak kepada kehidupan yang kembali berpusat kepada Allāh subḥānahu wa ta‘ālā. Haji membuka ruang untuk manusia memulakan lembaran yang baharu bersama Tuhannya.
Lebih daripada itu, haji juga merupakan perjalanan perdamaian. Di Tanah Haram, manusia meninggalkan seketika pangkat, kelompok, perbezaan dan segala yang sering menjadi sebab pertelingkahan. Yang tinggal hanyalah seorang hamba di hadapan Tuhannya. Dalam dunia yang semakin menyaksikan perpecahan dan manusia yang semakin mudah bermusuhan antara satu sama lain, haji datang mengingatkan bahawa tidak semua perbezaan perlu berakhir dengan permusuhan, dan bahawa persaudaraan sentiasa lebih besar daripada segala perselisihan.
Khabar Gembira Buat Para Haji ini kami terbitkannya dalam bentuk e-buku percuma sebagai bahan renungan kita bersama. E-buku ini boleh dikongsikan kepada sahabat-sahabat dan saudara mara, agar lebih ramai dapat manfaat daripadanya.
Selamat membaca dan menghayati!