28/01/2022
SEDEKAH JUMAAT PEMBUKA BERIBU RAHMAT
Dalam banyak-banyak amalan kebaikan, akan ada manusia ketika di dunia dulu sangat berat untuk bersedekah. Namun, ketika menghadapi saat kematiannya, dia merayu kepada Allah supaya ditangguhkan seketika supaya dia dapat berbuat demikian.
Menerusi firman Allah yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat p**a aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun, ayat 10)
Mengikut perkiraan asas matematik, apabila satu tolak satu, maka hasilnya adalah kosong. Bagaimanapun, tidak bagi amalan sedekah kerana perkiraan (1-1) itu akan jadi 10 sehingga 700.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu p**a mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Demikian besarnya ganjaran pahala dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang bersedekah dan berinfak di jalan Allah.
Bersedekah dan berinfak tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah.
Justeru, setiap apa yang diperintahkan Allah itu pasti ada manfaatnya. Bila Allah menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu sama ada dalam bentuk wajib atau sunat, walaupun pada awalnya dilihat begitu s**ar, jika dilakukan pasti ada kemanisan pada akhirnya.
Ingatlah, segala harta dunia yang kita pakai atau pegang ketika ini belum tentu menjadi milik kita. Yang pasti, setiap sen atau harta diinfakkan di jalan Allah itu akan menjadi pelaburan di akhirat kelak di mana kebaikannya berkekalan.