03/03/2026
KHUTBAH GERHANA BULAN
IBRAH TAKWA DARI KETUNDUKAN SEMESTA
13 RAMADAN 1447H / 3 MAC 2026
Pertama : Gerhana merupakan bukti kekuasaan mutlak Allah SWT. Dari sudut sains astronomi, gerhana bulan yang kita saksikan malam ini berlaku kerana penjajaran yang sangat tepat antara matahari, bumi, dan bulan. Kegelapan pada bulan itu hanyalah bayang-bayang bumi kita sendiri. Ketepatan darjah kecondongan orbit ini membuktikan betapa telitinya sistem alam (sunnatullah) yang diciptakan. Ia tidak bergerak sendiri. Firman Allah dalam Surah Fussilat, ayat 37 yang dibacakan diawal khutbah tadi yang bermaksud: โDan sebahagian dari tanda-tanda kebesaran-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sujud kepada matahari dan janganlah sujud kepada bulan, dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannyaโ
Kedua : Penghapusan kepercayaan karut (khurafat). Meskipun kita berada di tahun 2026, masih ada lagi yang mengaitkan gerhana dengan nasib malang, kematian, atau petanda aneh. Ingatlah pesanan tegas Baginda Nabi Muhammad SAW ketika berlakunya gerhana pada zaman baginda. Baginda bersabda dengan maksudnya : โSesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda Allah. Gerhana tidak berlaku kerana kematian atau kelahiran seseorang. Apabila kamu melihat gerhana, maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikan solat dan bersedekahlahโ
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, bersihkanlah akidah kita. Gerhana ialah fenomena alam yang berlaku kerana kehendak Allah, dan bukan petanda mistik.
Ketiga : Peringatan tentang hari kiamat.
Sidang jemaah sekalian, lihatlah ke langit malam ini. Hilangnya cahaya bulan dan bertukarnya warna menjadi kemerah-merahan ialah sebuah โsimulasiโ kecil kepada dahsyatnya hari kiamat. Jika bayang-bayang bumi sudah cukup untuk menggelapkan bulan dan menimbulkan rasa gerun di hati kita, bayangkanlah saat di mana sistem cakerawala ini benar-benar dihancurkan kelak. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qiyamah, ayat 8-9 yang bermaksud: โDan apabila bulan telah hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersamaโ.