07/08/2026
*السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه*
*ﺑِﺴْــــــــــــــﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺍﻟﺮَّﺣْﻤَﻦِ ِﺍﻟﺮَّﺣِﻴْـــــﻢ*
🕌 *INTISARI KHUTBAH JUMAAT JDT* 🕌
📆 *TARIKH : 23 SAFAR 1448H/ 7 OGOS 2026*
📜 *_TAJUK: APABILA REZEKI DATANG BERSAMA BERKAT_*
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman dalam Surah Al-Maidah Ayat 100 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya."
👉 1️⃣ Bertakwalah kepada Allah SWT.
👉 2️⃣ Suasana kehidupan yang semakin mencabar pada hari ini sedikit sebanyak menguji keyakinan kita terhadap jaminan rezeki daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT ialah Penjamin rezeki bagi seluruh makhluk-Nya. Keyakinan terhadap hakikat ini akan melahirkan jiwa yang tenang serta mendorong umat Islam mencari rezeki yang halal dengan penuh amanah.
👉 3️⃣ Ada sebahagian daripada kita yang terperangkap dalam perlumbaan mencari rezeki tanpa henti. Demi mengejar kelangsungan hidup, mereka lupa dan lalai akan batas antara yang halal dengan yang haram. Dalam usaha mencari rezeki, umat Islam wajib memelihara diri daripada sebarang unsur syubhah agar kehidupan sentiasa memperoleh keberkatan.
👉 4️⃣ Kesenangan hidup pada hari ini sering kali membuatkan kita terleka dan hanya memandang dari sudut kebendaan semata-mata. Walhal, apa yang benar-benar diperlukan oleh umat Islam bukan sekadar pendapatan yang tinggi, tetapi panduan hidup yang dapat membawa kita kembali kepada asas kehidupan yang diberkati.
👉 5️⃣ Antara panduan penting dalam meraih keberkatan rezeki ialah, pertama, keberkatan sesuatu rezeki bermula daripada usaha yang bersungguh-sungguh, niat yang baik dan sumber yang halal. Apabila kita menjaga amanah dalam pekerjaan, setiap rezeki yang dibawa pulang akan menjadi darah daging yang penuh keberkatan.
👉 6️⃣ Sekiranya umat Islam mengabaikan soal halal dan haram dalam mencari nafkah, maka hal ini bukan sahaja merosakkan jiwa, malah menjadi hijab kepada doa-doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT.
👉 7️⃣ Kedua, zakat dan sedekah merupakan antara cara untuk membersihkan kekotoran maknawi seperti sifat tamak dan bakhil dalam diri pemilik harta. Apabila seseorang berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan, hartanya tidak akan berkurang. Bahkan, Allah SWT akan menggantikannya dengan ganjaran yang jauh lebih besar.
👉 8️⃣ Apabila hak golongan asnaf dan orang miskin ditunaikan, baki harta yang dimiliki akan dipelihara daripada kerosakan serta dikurniakan keberkatan yang hakiki oleh Allah SWT.
👉 9️⃣ Ketiga, umat Islam hendaklah sentiasa mengingati bahawa keberkatan rezeki bukan diukur pada banyaknya harta, tetapi pada rasa cukup dan ketenangan yang dikurniakan Allah SWT. Mengamalkan sifat qanaah, iaitu berasa cukup dengan rezeki kurniaan Allah serta tidak tamak terhadap harta, akan menjadikan rezeki yang dimiliki lebih bersih dan diberkati.
👉 🔟 Sifat qanaah dalam diri seorang Muslim mampu menjadi benteng yang melindungi seseorang daripada menjadi hamba kepada harta dan gaya hidup yang melampaui kemampuan.
👉 1️⃣1️⃣ Kesimpulannya, janganlah kita terleka dalam mengejar kemewahan dunia sehingga terlupa tujuan sebenar kita diciptakan, iaitu untuk beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa keutamaan dalam mencari nafkah bukanlah semata-mata mengejar jumlah harta, tetapi yang lebih penting ialah mencari keberkatan rezeki.
Wallāhu a‘lam.