Masjid Qaryah Batu 3

Masjid Qaryah Batu 3 Facebook rasmi Masjid Qaryah Batu 3. Masjid Qaryah Batu 3,
Jalan Sempadan,
14320 Nibong Tebal,
Pulau Pinang.

12/08/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sabar Ketika Bersama Manusia

عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ

Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Seorang muslim yang bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar terhadap gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar terhadap gangguan mereka." Ibnu Abi Adi berkata: Syu'bah berpendapat syeikh yang dimaksudkan itu adalah Ibnu Umar.
(HR Tirmizi No: 507)
Dar Kutub Ilmiyyah.
Status: Hadis Sahih.

PENGAJARAN:

1. Sifat sabar adalah tuntutan Iman yang perlu ada pada setiap Muslim.

2. Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji oleh Islam. Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.

3. Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat adalah suatu keperluan untuk merebut peluang berperanan memperbaiki masyarakat. Peluang untuk menyebarkan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran.

4. Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai ragam, melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum, Islam dan bukan Islam, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, kejahatan dan kesulitan. Bersabar dan berakhlak mulia terhadap mereka adalah amalan terpuji.

5. Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah akan menghadapi semua golongan masyarakat, Islam dan bukan Islam atau pelaku maksiat ketika mengauli mereka dengan sifat RAHMAH bukan kebencian, permusuhan dan perkauman.

6. Bersabar menghadapi pelbagai kerenah kelompok semasa engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah. Ibn Hajar menjelaskan bahawa bersabar terhadap gangguan merupakan satu bentuk jihad melawan nafsu, kerana jiwa manusia secara semula jadi merasa sakit apabila dihina atau diperlakukan secara buruk.

7. Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di luar dari tengah-tengah kejahatan, tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci dari mereka yang yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan. Namun bergaul lebih baik apabila membawa manfaat, manakala menjauhkan diri lebih selamat apabila seseorang bimbang agamanya rosak.

8. Hadis ini bukan perintah supaya seseorang terus berada dalam persekitaran yang merosakkan iman atau membahayakan dirinya. Pergaulan diutamakan apabila membawa manfaat dan seseorang mampu menjaga agamanya. Pengasingan p**a boleh dipilih apabila ia lebih selamat daripada fitnah atau kemudaratan.

9. Penting bagi Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi qudwah kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026

10/08/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mendamaikan Perselisihan

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama darjatnya daripada puasa, solat dan sedekah?" Para sahabat manjawab: "Sudah tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan hubungan orang yang sedang berselisih. Sesungguhnya kerosakan hubungan sesama manusia akibat berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)."
(Sunan Abu Daud No: 4273)
Status: Hadis Hasan

PENGAJARAN:

1. Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2. Mendamaikan orang yang bersengketa (bermusuhan) atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah. Kesolehan kepada Allah perlu berjalan seiring dengan kesungguhan menjaga hubungan sesama manusia.

3. Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi.

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar."
(Sunan Abu Daud No:4257)

4. Memperbaiki hubungan antara dua pihak yang berselisih, bermusuhan atau putus hubungan merangkumi usaha: mendamaikan suami isteri; menyelesaikan pertelingkahan keluarga; mendamaikan dua sahabat; menyelesaikan perselisihan jiran; meredakan konflik dalam organisasi; mendamaikan kelompok masyarakat yang bertelagah.

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

"Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu."
(Surah al-Hujurat: 10)

5. Persengketaan yang berpanjangan boleh sedikit demi sedikit menghakis penghayatan agama seseorang. Dalam riwayat lain Rasulullah SAW menjelaskan:

لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ

"Aku tidak mengatakan bahawa ia mencukur rambut, tetapi ia mencukur agama."

6. Jangan biarkan perselisihan kecil berkembang menjadi permusuhan. Semakin lama konflik dibiarkan, semakin sukar hati untuk dipertemukan.

7. Manusia boleh berbeza pandangan; pendekatan; ijtihad; strategi juga keutamaan. Yang dilarang ialah apabila perbezaan tersebut berubah menjadi permusuhan, penghinaan, dendam, fitnah dan pemutusan ukhuwah. Perbezaan perlu diurus dengan sewajarnya agar ia tidak merosakkan ukhuwah.

8. Hidup berorganisasi, bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada pergaduhan. Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026

31/07/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa

عَنْ معاوية بن حيدة القشيري قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Daripada Mu‘awiyah bin Haydah al-Qusyairi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya. Kecelakaan untuknya.”
(No: 4990) Maktabah Asriyyah.
Status: Hadis Hasan

PENGAJARAN:

1. Elakkan gurauan yang di dalamnya ada unsur berdusta, mengumpat, menghina juga meremehkan orang lain hanya kerana ingin menghiburkan orang atau menyebabkan orang tertawa.

2. Gurauan bukan kawasan yang bebas daripada hukum halal dan haram. Lidah seorang Muslim tetap terikat dengan amanah kebenaran dalam keadaan serius ataupun santai.

3. Celakalah orang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang didalamnya mengandungi pembohongan, penghinaan juga meremehkan orang lain sehingga menyebabkan orang tertawa, sama ada melalui pertuturan, lakonan, lukisan, gambar juga tulisan.

4. Dalam syarah Tuhfat al-Ahwadhi, ungkapan “وَيْلٌ - Celaka @ Binasa” diulang bertujuan menegaskan beratnya kesalahan tersebut. Dusta ialah antara punca pelbagai keburukan dan boleh menjadi pintu kepada dosa-dosa yang lain.

5. Dusta dalam bentuk hiburan hingga membuat orang ketawa diberi ancaman keras kerana ia merosakkan sifat jujur. Dalam era digital, satu cerita palsu boleh dikongsi ribuan kali dan terus beredar walaupun penciptanya sudah menarik balik kenyataannya.

6. Antara bentuk dusta untuk hiburan pada masa kini yang perlu dijauhi seperti menyebarkan berita palsu untuk mendapat perhatian, “prank” berasaskan penipuan, mereka cerita palsu, petikan palsu, suntingan mengelirukan kepada video atau audio, akaun palsu dan penyamaran.

7. Orang yang beriman tidak akan berbicara serta melakukan sesuatu melainkan yang benar dan baik. Jadilah kita Mukmin yang benar lagi baik dalam perbuatan dan pertuturan.

Alhamdulillah, program Bacaan Yaasin Bulanan jemaah muslimat Masjid Batu Tiga untuk bulan ini telah berjalan dengan begi...
31/07/2026

Alhamdulillah, program Bacaan Yaasin Bulanan jemaah muslimat Masjid Batu Tiga untuk bulan ini telah berjalan dengan begitu lancar dan meriah sekali. 🤲🏼✨

31/07/2026

Alhamdulillah, program Bacaan Yaasin Bulanan jemaah muslimat Masjid Batu Tiga untuk bulan ini telah berjalan dengan begitu lancar dan meriah sekali. 🤲🏼✨

28/07/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما: أَنَّهُ مَاتَ ابْنٌ لَهُ بِقُدَيْدٍ أَوْ بِعُسْفَانَ، فَقَالَ: يَا كُرَيْبُ، انْظُرْ مَا اجْتَمَعَ لَهُ مِنَ النَّاسِ. قَالَ: فَخَرَجْتُ، فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا لَهُ، فَأَخْبَرْتُهُ. فَقَالَ: تَقُولُ هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: أَخْرِجُوهُ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.

Daripada Abdullah bin Abbas RA: Seorang anak beliau meninggal dunia di Qudaid atau Usfan. Lalu beliau berkata kepada Kuraib: "Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang telah berkumpul untuk solat jenazahnya." Kuraib berkata: Aku keluar dan mendapati orang ramai telah berkumpul. Lalu aku memberitahu beliau. Beliau bertanya: "Adakah mereka berjumlah empat puluh orang?" Aku menjawab: "Ya." Lalu beliau berkata: "Bawalah jenazah itu keluar, kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun berdiri menunaikan solat jenazahnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.'"
(HR Muslim No: 1577)
Status: Sahih

PENGAJARAN:

1. Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada jenazah yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat. Menurut Imam al-Nawawi, maksud syafaat dalam hadis ini ialah Allah menerima doa dan permohonan keampunan yang dipanjatkan oleh mereka yang menunaikan solat jenazah.

2. Menurut Ibn Hajar, bilangan empat puluh bukan bertujuan mengehadkan rahmat Allah kepada bilangan tertentu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa apabila sejumlah orang beriman yang ikhlas berkumpul dan mendoakan si mati, doa tersebut mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah.

3. Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.

4. Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang Ikhlas, beriman dan tidak syirik, mampu menjadi sebab keampunan kepada jenazah. Maka, bergaullah dengan orang soleh semasa hidup, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.

5. Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.

6. Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia antaranya solatkan jenazah mereka, bukan hanya ahli keluarga si mati.

7. Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah merupakan ibadah yang sarat dengan rahmat dan syafaat. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila empat puluh orang Muslim yang tidak mensyirikkan Allah SWT menunaikan solat jenazah dan mendoakan si mati, Allah menerima doa mereka sebagai syafaat untuknya.

25/07/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kamu yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar RA menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah mengiringi jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan kepada orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menziarahi orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua amalan ini berhimpun pada diri seseorang melainkan dia akan masuk syurga."
(HR Muslim No: 1707)
Status: Hadis Sahih

PENGAJARAN:

1. Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2. Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau bukan sahaja tekun dalam ibadah khusus seperti puasa, malah aktif dalam ibadah sosial seperti membantu golongan memerlukan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.

3. Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4. Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menziarahi orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat, dan ia mencerminkan sifat rahmah dan ukhuwah Islamiah.

5. Mukmin yang cemerlang dan dijanjikan syurga ialah mereka yang mengimbangi ibadah kepada Allah SWT dengan khidmat kepada Masyarakat seperti menziarahi orang sakit, menolong orang yang susah serta sentiasa mencari peluang untuk berbuat kebaikan dan menjadikan setiap hari sebagai medan berlumba-lumba menuju keredaan dan rahmat Allah SWT.

6. Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat. Moga ia menjadi amal yang dijanjikan syurga.

21/07/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Al-Mu'awwizat Bacaan Pelindung

عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: بَيْنَمَا أَنَا أَقُودُ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَاحِلَتَهُ فِي غَزْوَةٍ إِذْ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَ: يَا عُقْبَةُ، قُلْ فَاسْتَمَعْتُ. ثُمَّ قَالَهَا الثَّالِثَةَ. فَقُلْتُ: مَا أَقُولُ؟ فَقَالَ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَقَرَأَهَا حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَرَأَ: قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ حَتَّى خَتَمَهَا. ثُمَّ قَالَ: مَا تَعَوَّذَ بِمِثْلِهِنَّ أَحَدٌ

Daripada Uqbah bin Amir RA, beliau berkata: Ketika aku sedang memimpin tunggangan Rasulullah SAW dalam satu peperangan, Baginda bersabda: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku hanya diam mendengar. Kemudian Baginda bersabda lagi: "Wahai Uqbah, bacalah." Aku tetap diam. Kemudian Baginda mengulanginya buat kali ketiga. Lalu aku bertanya: "Apakah yang hendak aku baca?" Baginda bersabda: "Bacalah: Qul huwallahu ahad." Lalu Baginda membaca (Surah al-Ikhlas) hingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbil-falaq." Lalu aku membacanya bersama (Surah al-Falaq) Baginda sehingga selesai. Kemudian Baginda membaca: "Qul a'uzu birabbin-nas." Lalu aku membacanya bersama Baginda (Surah an-Nas) sehingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: "Tiada sesiapa yang memohon perlindungan dengan sesuatu yang lebih baik daripada ketiga-tiga surah ini."
(HR Nasaie No:5430)
Status Hadis Sahih

PENGAJARAN:

1. Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas merupakan bacaan perlindungan yang paling sempurna kerana ketiga-tiga surah ini menghimpunkan tentang tauhid yang murni, pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan permohonan perlindungan daripada segala bentuk kejahatan zahir dan batin.

2. Rasulullah SAW menggalakkan kita membaca ketiga-tiga surah ini secara istiqamah sebagai sebahagian daripada zikir harian khususnya di waktu pagi, petang dan sebelum tidur dengan meniup pada kedua-dua tapak tangan dan menyapu keseluruh badan.

3. Perlindungan yang sebenar datang daripada Allah SWT, manakala bacaan al-Mu'awwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas) menjadi sebab yang disyariatkan untuk mendapat perlindungan tersebut.

4. Menurut al-Mubarakfuri, tiada doa atau bacaan perlindungan yang lebih lengkap daripada tiga surah ini kerana ia merangkumi perlindungan semua bentuk keburukan yang boleh menimpa manusia.

5. Tauhid yang mantap merupakan asas kepada keselamatan rohani dan perlindungan daripada pelbagai fitnah.

6. Hadis ini menunjukkan kaedah pendidikan Rasulullah SAW yang menggunakan pengulangan dan dialog bagi menarik perhatian serta meningkatkan kefahaman para sahabat.

7. Seorang Muslim hendaklah sentiasa memohon perlindungan daripada kejahatan zahir dan batin, termasuk gangguan syaitan, hasad dengki dan bisikan yang menyesatkan.

Masjid Qaryah Batu Tiga ingin berkongsi ringkasan Teks Khutbah Jumaat Negeri Pulau Pinang yang akan dibacakan pada esok,...
09/07/2026

Masjid Qaryah Batu Tiga ingin berkongsi ringkasan Teks Khutbah Jumaat Negeri Pulau Pinang yang akan dibacakan pada esok, 10 Julai 2026, bertajuk:
✨ “HINGGA HUJUNG USIA”

Khutbah minggu ini mengajak kita merenung satu perkara yang sangat dekat dengan kehidupan: adakah kita benar-benar bersedia untuk hari tua dan hari akhirat?

Jangan tunggu susah baru mahu bersedia. Jangan gadaikan simpanan kerana janji palsu. Jangan kejar banyaknya harta hingga hilang keberkatan.

Semoga perkongsian ringkas ini memberi manfaat, membuka ruang muhasabah dan menjadi peringatan buat kita semua.
📲 Silakan kongsi agar lebih ramai mendapat manfaat.

08/07/2026

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikrullah Jauhi Syaitan

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ، وَإِذَا لَمْ يَذْكُرِ اللهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ

Daripada Jabir bin Abdullah bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan ketika hendak makan, maka syaitan akan berkata kepada kawan-kawannya: Tiada tempat menginap dan tiada makan malam untuk kamu. Tapi apabila seseorang itu masuk ke dalam rumah, tidak menyebut nama Allah ketika masuk rumah dan tidak menyebut nama Allah ketika makan, syaitan berkata: Kamu telah mendapat tempat menginap dan makan malam.
(HR Muslim No: 2018)
Status Hadis Sahih

PENGAJARAN:

1. Disunatkan menyebut nama Allah ketika memasuki rumah.

2. Membaca Bismillah sebelum makan merupakan sunnah yang membawa keberkatan.

3. Rumah yang sentiasa dihiasi dengan zikir dan bacaan al-Quran akan dipenuhi ketenangan dan rahmat Allah SWT.

4. Barangsiapa berzikir menyebut nama Allah ketika masuk rumah, syaitan akan menghindarkan diri dari rumah tersebut. Zikir menjadi benteng daripada kelalaian beribadah, gangguan syaitan terhadap rumah tangga juga dorongan maksiat.

5. Kelalaian daripada berzikir mengingati Allah sama ada ketika memasuki rumah, ketika makan, minum dan sebagainya, akan membuka ruang kepada syaitan untuk mempengaruhi kehidupan manusia.

6. Keberkatan rumah bukan bergantung kepada kemewahan atau saiznya, tetapi kepada sejauh mana penghuninya mengingati Allah SWT. Pastikan apabila kita memulakan sesuatu, hendaklah dimulakan dengan berzikir mengingati Allah.

7. Ummul Mukminin Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Apabila seseorang daripada kamu hendak mula makan, bacalah: Bismillah (Dengan nama Allah). Jika terlupa membacanya ketika hendak mula makan, maka bacalah: Bismillahi fi awwalihi wa akhirihi (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya)
(HR Tirmizi No: 1858)
Status Hasan Sahih

Address

Jalan Sempadan
Nibong Tebal
14320

Telephone

0194355308

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Masjid Qaryah Batu 3 posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share