06/09/2026
06.09.2026 | Minggu Biasa ke-23
Umat Katolik paroki Holy Spirit Lundu berkumpul dengan penuh sukacita dan syukur hari bagi meraikan sakramen
penguatan yang dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh. Pada kesempatan istimewa ini, seramai 108 calon telah menerima sakramen penguatan, menandakan satu tahap penting dalam perjalanan iman mereka.
Dalam homilinya, Uskup Agung Simon Poh mengingatkan umat beriman bahawa kita adalah sebahagian daripada gereja yang satu, kudus, katolik dan apostolik, yang bersatu dalam iman. Kesatuan sejagat gereja ini merupakan tanda yang indah bahawa Tuhan sentiasa bersama umat-Nya dan bahawa gereja benar-benar merupakan rumah rohani kita.
Uskup Agung menjelaskan bahawa sakramen penguatan meneguhkan rahmat yang diterima melalui pembaptisan melalui kurniaan roh kudus, serta memperkasakan umat beriman untuk menjadi saksi Kristus yang berani dalam kehidupan seharian.
Kepada para calon, Uskup Agung Simon Poh menekankan kepentingan tanda salib dan pengurapan dengan minyak krisma suci dalam sakramen penguatan. Sebagaimana meterai menjadi tanda kepunyaan, sakramen penguatan secara rohani memeteraikan setiap calon sebagai milik Yesus Kristus. Ia menjadi peringatan yang nyata bahawa kita dipanggil untuk terus setia kepada-Nya dan hidup menurut Injil.
Uskup Agung turut mengingatkan umat bahawa identiti kita sebagai anak-anak Tuhan bermula sejak pembaptisan. Sejak hari kita dibaptis sehingga hari kita kembali kepada Bapa, kita terus menjadi milik Kristus. Walau ke mana pun kehidupan membawa kita, di mana pun kita bekerja ataupaun belajar kita tetap menjadi anggota keluarga Tuhan dan dipanggil untuk menjadi saksi kasih dan kebenaran-Nya di dunia sebagai umat katolik.
Marilah kita terus mendoakan saudara-saudari kita yang baru menerima sakramen penguatan ini agar mereka dapat memulakan perjalanan iman dan pelayanan yang lebih mendalam dalam Gereja.
“Kita adalah milik Yesus Kristus. Melalui Pembaptisan dan Penguatan, kita telah dimeteraikan sebagai milik-Nya. Marilah kita sentiasa setia kepada-Nya"