20/04/2026
Masjid Al-Hidayah Kampung Bako telah berjaya menganjurkan Kem Matematik yang berlangsung dengan penuh jayanya serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 60 orang peserta dalam usaha memperkukuh kefahaman serta minat terhadap subjek Matematik dalam kalangan pelajar.
Kem ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat, antaranya Eksekutif Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Encik Abdul Majid bin Suaidi; Penghulu Kampung Bako, Hajjah Janibah binti Hazemi; Guru Besar SK Bako, Encik Mohd Shafizal bin Ismal; serta Penolong Kanan Pentadbiran SK Bako, Encik Jamaludin bin Tabi.
Pelaksanaan program ini digerakkan dengan komitmen tinggi oleh barisan fasilitator yang berdedikasi iaitu Puan Muzakiah binti Mohd Jamil, Puan Hanani Nadhirah binti Ramli, Encik Mohd Afifin bin Bakar, serta Encik Ahmad Kamil bin Abdul Rahim. Kecekapan dan kesungguhan mereka dalam membimbing peserta telah menjadikan kem ini lebih interaktif, berimpak dan bermakna.
Kejayaan penganjuran kem ini juga tidak dapat dipisahkan daripada komitmen padu serta kerjasama erat seluruh ahli JKP Masjid Al-Hidayah Kampung Bako (JKPMAKB) yang bertungkus-lumus dalam memastikan setiap aspek perjalanan program berjalan lancar dan tersusun. Dedikasi serta semangat kebersamaan yang ditunjukkan mencerminkan kesungguhan dalam memartabatkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan ilmu dan komuniti.
Program ini turut diterajui dengan penuh dedikasi oleh Ketua Biro Pendidikan Masjid Al-Hidayah Kampung Bako, Cik Kamisah binti Beni, yang memainkan peranan penting dalam merancang, menyelaras serta memastikan objektif program tercapai dengan cemerlang.
Secara keseluruhannya, Kem Matematik ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kefahaman akademik peserta, malah turut membentuk keyakinan diri serta semangat kerjasama dalam kalangan mereka, selaras dengan usaha melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berdaya saing.
"MASJID DISUBURKAN, UMMAH DIMARTABATKAN"