09/06/2018
FAHAMI TUGAS PEGUAM NEGARA DEMI MASA DEPAN GENERASI KITA
Berita buruk yang diterima pada malam pertama 10 akhir ramadan tahun ini, menyeru kita untuk menyiapkan diri serta anak cucu cicit kita dengan persiapan yang rapi tanpa tangguh-tangguh lagi.
Betapa berat masa hadapan yang akan diukir, sesungguhnya generasi yang akan berhadapan dengan zaman tersebut adalah generasi yang terpilih. Kuatkan tekad untuk bersedia menghadapi cabaran. Yakinlah bahawa pertolongan Allah itu sentiasa bersama para pendukung agama-Nya.
Mengapa pemilihan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara mendapat tentangan dan kritikan bukan sahaja daripada netizen malah daripada ramai pengamal undang-undang di Malaysia? Kerana tugas sebagai Peguam Negara bukanlah tugas yang kecil. Malah peranan Peguam Negara banyak bersankut-paut dalam isu yang berkait dengan unsur-unsur tradisi perlembagaan seperti pemerintahan beraja, agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu.
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menafsiran, “Peguam Negara” sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan. Tugas-tugas Peguam Negara adalah :
1) Menasihatkan YDPA atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai soal undang-undang.
2) Mempunyai kuasa budi bicara membawa, menjalankan atau memberhentikan sebarang perbicaraan mengenai sesuatu kesalahan kecuali perbicaraan yang dijalankan di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Bumiputera dan Mahkamah Tentera.
3) Peguam Negara berhak untuk didengar dalam mana-mana mahkamah dan dia mempunyai keutamaan mengatasi orang-orang lain yang hadir di mahkamah.
4) Di bawah Kanun Acara Jenayah, Peguam Negara dijadikan Pendakwa Raya, yang mempunyai kuasa penuh untuk memulakan dan menjalankan pendakwaan dalam kes-kes jenayah.
Secara umumnya, segala pendapat dan nasihat Peguam Negara ialah semata-mata untuk kerajaan, dan jika orang ramai tidak berpuas hati dengan pendapat itu, pendapat itu boleh dicabar di mahkamah.
Sungguhpun Peguam Negara tidak boleh memberi nasihat undang-undang kepada orang awam, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membantu orang awam dalam tiga perkara yang disebut di bawah ini:
1) Seseorang itu tidak boleh membuat tuntutan tentang mudarat awam melainkan hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan Peguam Negara.
2) Dalam mana-mana tuntutan berkenaan dengan amanah untuk faedah awam, agama, masyarakat dan kebajikan, ia tidaklah boleh dibuat melainkan hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan Peguam Negara.
3) Jika timbul satu kemusykilan sama ada sesuatu perkara itu hak atau tanggungan kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan, kemusykilan ini bolehlah diputuskan dengan mendapat satu perakuan daripada Peguam Negara, dan perakuan itu muktamad dan tidak boleh disoal lagi.
Dengan melihat rekod kenyataan daripada Peguam Negara kita yang baru ini berkenaan unsur-unsur tradisi di dalam Perlembagaan sungguh membimbangkan.
Buku beliau bertajuk “Anything But The Law” dan “Abuse Of Power” secara jelas tidak bersetuju apabila keputusan-keputusan Mahkamah berkaitan konflik bidang kuasa sivil dan syariah diberikan kepada bidang kuasa bidang kuasa mahkamah Syariah.
Seterusnya menyatakan Malaysia bukan sebuah negara Islam, menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara tidak berpelembagaan, mengiktiraf pejuang Komunis Chin Peng dan meminta Kerajaan Malaysia mengiktiraf sebagai pejuang kebebasan.
Adakah dengan pemilihan Peguam Negara yang lantang dalam menyuarakan fahaman penuh Kontroversi dan Pro-Sekular ini mampu membantu survival umat Islam?
Pemilihan telah dibuat. Tiada yang mampu diubah melainkan terus menyiapkan diri dan generasi kita untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
Sesungguhnya syariat Allah itu tidak akan tertegak melainkan dengan adanya rijal-rijal atau manusia yang beriman dan berusaha menegakkan syariat terbabit.
Sesungguhnya bekerja untuk agama ini, berkorban demi penegakan kalimah Allah dan berjihad demi ketundukan semuanya kepada Allah adalah kewajipan terbesar, tanpanya Islam tidk akan memiliki daulah (pelindung) dan tidak berfungsi dalam realiti kehidupan manusia sebagaimana sepatutnya.
&paste