10/08/2025
Ust HAZA Official menulis:
BENDA BAIK, APA SALAHNYA?
1. Ramai orang hari ini beranggapan bahawa apa-apa saja perkara yang baik, boleh terus dilakukan dalam agama. Ada juga yang berkata, "Kalau sesuatu benda itu baik dan memberi manfaat, kenapa perlu dikata bidaah atau salah?"
2. Sebenarnya, dalam hal agama, kita tak boleh hanya berpandukan perasaan atau logik sendiri. Yang menilai sama ada sesuatu perkara itu benar-benar baik dalam agama bukan kita, tetapi para ulama yang memahami hukum-hukum syarak dan prinsip-prinsip Islam.
3. Namun ada orang berhujah dengan kata-kata seorang sahabat Nabi ﷺ yang sangat terkenal iaitu Sayyiduna Abdullah bin Umar RA, di mana beliau pernah berkata:
كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ، وَإِنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَةً
"Setiap bidaah itu adalah sesat walaupun manusia menganggapnya baik."
4. Kenyataan ini sering dijadikan hujah oleh sesetengah pihak untuk menolak amalan-amalan yang tidak dilakukan secara langsung oleh Rasulullah ﷺ. Mereka beranggapan bahawa kalau sesuatu perkara itu tak pernah dibuat oleh Nabi ﷺ, maka ia automatik menjadi bidaah yang sesat.
5. Tetapi penting untuk kita faham apa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam konteks ini, dan adakah semua bidaah itu benar-benar sesat? Mari kita lihat satu contoh daripada ayahanda Ibn Umar sendiri, iaitu Sayyiduna Umar al-Khattab RA, khalifah kedua selepas Nabi ﷺ.
Selepas ramai sahabat yang menghafaz al-Quran (qurra’) gugur dalam peperangan Yamamah, maka Sayyiduna Umar mencadangkan kepada Sayyiduna Abu Bakar RA agar mengumpulkan al-Quran, walaupun perkara ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ semasa hayat Baginda.
Sayyiduna Abu Bakar pada mulanya ragu-ragu dan berkata:
"Bagaimana kita boleh buat sesuatu yang Rasulullah ﷺ tak buat?"
Sayyiduna Umar menjawab dengan penuh keyakinan:
هُوَ وَاللَّهِ خَيْرٌ
"Demi Allah, ini adalah satu kebaikan." (HR al-Tirmizi. no.3103)
Akhirnya Allah melapangkan hati Sayyiduma Abu Bakar, dan beliau bersetuju dengan cadangan itu. Maka bermulalah usaha rasmi mengumpulkan al-Quran yang kita baca pada hari ini.
6. Jadi, walaupun perkara ini tidak dibuat oleh Nabi ﷺ, tetapi para sahabat besar berpakat dan melihat ia adalah kebaikan yang membawa maslahat besar kepada umat. Ini menunjukkan bahawa tidak semua perkara baru (bidaah) itu ditolak, asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip agama, dan dilakukan dengan tujuan memperkukuh agama, bukan menokok-tambah syariat.
7. Menariknya, walaupun Sayyiduna Ibn Umar RA pernah berkata bahawa semua bidaah adalah sesat, beliau sendiri pernah menggunakan istilah “bidaah yang baik”, atau dalam bahasa Arab:
بِدْعَةٌ، وَنِعْمَتِ الْبِدْعَةُ
"Suatu bidaah, dan sebaik-baik bidaah!" (HR Musannaf Abd al-Razzaq - Sanad sahih)
8. Konteksnya ialah apabila orang mula menunaikan solat Dhuha secara berjemaah di masjid, sesuatu yang tidak dilakukan secara konsisten oleh Nabi ﷺ dan para sahabat sebelumnya. Namun Sayyiduna Ibn Umar menyukai amalan itu, bahkan menyebut:
لَقَدْ قُتِلَ عُثْمَانُ، وَمَا أَحَدٌ يُسَبِّحُهَا، وَمَا أَحْدَثَ النَّاسُ شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْهَا.
"Tiada sesiapa yang solat Dhuha ketika Uthman dibunuh. Tapi sekarang orang mula buat, dan tiada perkara baru yang aku lebih sukai daripadanya."
9. Ini membuktikan bahawa bidaah bukan semata-mata bermaksud ‘salah’, tetapi bergantung kepada adakah amalan tersebut menepati sunnah atau tidak.
10. Untuk memudahkan kefahaman, para ulama membahagikan bidaah kepada dua jenis utama:
• Bidaah Dhalalah (bidaah sesat) – Perkara baru yang bercanggah dengan al-Quran, Sunnah atau merosakkan akidah seperti menambah rukun agama atau mengubah bentuk ibadah yang asal.
• Bidaah Hasanah (bidaah baik) – Perkara baru yang selari dengan tujuan agama, memberi manfaat kepada umat, dan tidak bercanggah dengan ajaran Nabi ﷺ.
Ust HAZA Official