26/09/2022
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=467374028762835&id=100064707248182
𝐒𝐇𝐄𝐈𝐊𝐇 𝐃𝐑 𝐘𝐔𝐒𝐎𝐅 𝐀𝐋 𝐐𝐀𝐑𝐃𝐀𝐖𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐈𝐍𝐆𝐆𝐀𝐋 𝐃𝐔𝐍𝐈𝐀. 𝐒𝐈𝐀𝐏𝐀𝐊𝐀𝐇 𝐁𝐄𝐋𝐈𝐀𝐔?
Nama sebenar beliau adalah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Dilahirkan pada tahun 1926 di sebuah perkampungan Desa Shafat at-Turab, Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir. Sebutan yang tepat adalah 'al-Qaradhawi seperti yang dinyatakan dalam bukunya, lbn al-Qaryah wa al-Kuttab, tetapi ahli Syam menyebutnya dengan 'al-Qardhawi'. lanya dinisbahkan kepada perkampungan al-Qardhah.
Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih lagi kanak-kanak dan berusia sekitar 2 tahun. Beliau dipelihara oleh ibu, bapa saudara dan datuknya. Ketika berada di peringkat thanawi (pendidikan menengah), ibunya meninggal dunia. Beliau terkenal dengan kepintaran dan ketajaman ilmunya.
Sejak kecil, beliau sentiasa mendapat tempat pertama, kecuali pada peperiksaan akhir di peringkat thanawi, beliau mendapat tempat kedua di seluruh Mesir dengan perbezaan setengah markah sahaja dengan individu yang mendapat tempat pertama.
Seterusnya, beliau melanjutkan pelajar ke Universiti al-Azhar dalam kuliah Usuluddin. Beliau memilih Universiti al-Azhar sebagai tempat untuk menyambung pengajiannya walaupun beliau juga ditawarkan ke Dar al-Ulum, Kaherah.
Beliau menyelesaikan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada 1973. Untuk meraih gelaran Doktor Falsafah (PhD) di Universiti al-Azhar, Kaherah, beliau menulis disertasi dengan judul "Zakat Dan Pengaruhnya Dalam Mengatasi Masalah Sosial". Disertasi ini telah dibukukan dan diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia.
Sebelum itu, pada tahun 1957, Syeikh Dr. Yusuf al-Qarodhowi juga sempat memasuki lnstitut Pembahasan Dan Pengkajian Arab Tinggi dengan meraih Diploma Tinggi Bahasa dan Sastera Arab.
Beliau merupakan ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa (International Association of Muslims Scholars).
Beliau adalah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia.
Pada 18 Disember 2009, beliau dinobat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009 Malaysia.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan anugerah itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Malaysia.
Beliau memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan daripada Kerajaan Malaysia ketika itu.
Beliau kagum terhadap kebangkitan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi kebanggaan umat di seluruh dunia. Beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan individu, ulama dan institusi di Malaysia.
Beliau telah beberapa kali datang ke negara ini atas jemputan universiti dan masjid-masjid serta berjumpa dengan sebilangan guru-guru selain pelajar-pelajar. Satu ketika beliau dibawa menaiki pesawat tentera bagi memudahkannya sampai ke negeri yang dilawati dengan lebih cepat.
Beliau menjawat jawatan sebagai seorang khatib, guru dan penulis di al-Awqaf dan al-Azhar. Beliau telah menerbitkan lebih 100 buah buku yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Islam, kesusasteraan dan puisi.
Antaranya bukunya yang terkenal ialah Halal dan Haram di dalam Islam dan Keutamaan Gerakan Islam pada Fasa Akan Datang. Karya beliau juga banyak diterjemah dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu.
Antara karya-karya beliau yang dilesen dan diterbitkan oleh PTS adalah:
1) Sunnah vs. Bid’ah
2) Fiqh Jihad Jilid 1 dan Jilid 2
3) Masa dalam Kehidupan
4) Mukjizat Sabar dalam Al-Quran
5) Fatwa untuk Wanita
6) Wanita-Wanita Syurga
7) Fatwa Palestin
8) Fiqh Hiburan dan Rekreasi
9) Fiqh Keutamaan
10) Isu Akidah antara Salaf dan Khalaf
11) Fatwa Kontemporari Jilid 1, Siri 1 (Al-Quran, Hadith, dan Akidah)
12) Fatwa Kontemporari Jilid 1, Siri 2 (Ibadah)
13) Fatwa Kontemporari Jilid 1, Siri 3 (Wanita dan Keluarga) dan banyak lagi .