30/04/2026
KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN GURU-GURU AGAMA PONDOK PANTAI TIMUR (PGAPPT)
MEMBANTAH SEKERAS-KERASNYA PENGANJURAN “RAIN RAVE WATER MUSIC FESTIVAL”
Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur (PGAPPT) dengan ini menyatakan pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya penganjuran program yang dikenali sebagai “Rain Rave Water Music Festival”.
Kami berpandangan bahawa penganjuran festival seumpama ini adalah tidak selari dengan nilai-nilai agama, budaya ketimuran serta norma masyarakat Malaysia yang berpegang kepada prinsip akhlak dan kesopanan. Program hiburan melampau yang membuka ruang kepada pergaulan bebas, kelalaian dan unsur-unsur yang merosakkan akhlak adalah sangat membimbangkan, khususnya terhadap generasi muda.
PGAPPT menegaskan bahawa:
1. Menjaga akhlak dan maruah generasi adalah tanggungjawab bersama semua pihak termasuk penganjur, pihak berkuasa dan masyarakat.
2. Hiburan tanpa batas yang melalaikan serta mendorong kepada maksiat tidak wajar dinormalisasikan atas apa jua alasan.
3. Pihak berkuasa perlu menilai semula kelulusan program-program yang boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan sosial dan moral masyarakat.
4. Ibu bapa dan masyarakat diseru agar lebih peka serta mengawal penglibatan anak-anak dalam aktiviti yang tidak memberi manfaat kepada pembinaan sahsiah.
Sehubungan itu, PGAPPT mendesak agar pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghentikan penganjuran festival ini demi menjaga keharmonian, keselamatan sosial serta kesejahteraan akhlak masyarakat.
Kami juga menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama mempertahankan nilai agama, memelihara maruah diri serta membina generasi yang berakhlak mulia.
“Mempertahankan Agama, Maruah dan Generasi”
Sekian, terima kasih.
Dikeluarkan oleh: LUJNAH DAKWAH
Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur (PGAPPT)
Tarikh: 30 April 2026