07/09/2026
SYAITAN KATA JANGAN TEGUR
Jumaat baru ni ketika saya di kampung, saya pergi kenduri sepupu saya di Bachok, Kelantan. Selesai kenduri dekat Bachok tu, kami ada satu lagi kenduri di rumah sepupu mak saya dekat Bukit Abal, Pasir Puteh.
Kebetulan hari tu hari Jumaat dan rumah saudara saya yang buat kenduri tu dekat dengan Masjid Bukit Abal. Jadi saya fikir nanti solat Jumaat dekat situ jelah.
Kami bertolak agak lambat dari Bachok. Sampai dekat Bukit Abal, orang dah baca khutbah. Jadi saya cepat-cepat parking kereta dan terus masuk masjid pergi ambil wuduk.
Masa saya nak ambil wuduk tu orang agak ramai juga, jadi kena tunggu turn. Kebetulan ada seorang brother ni tengah ambil wuduk depan saya. Saya tengok dia basuh muka macam biasa, saya tak perasan sangat.
Tapi bila dia mula basuh tangan, saya perasan cara dia basuh tu tak sampai ke siku.
Dia letak tangan dekat paip, alirkan air kemudian bolak-balik tangan dia. Tapi air tu hanya kena bahagian bawah siku. Siku dia sendiri tak kena air dengan sempurna.
Saya tengok sekali lagi, memang tak kena.
Siku tu termasuk sekali anggota yang wajib dibasuh. Sebab tu kalau nak pastikan siku betul-betul kena air, kita wajib basuh melebihi daripada siku.
Kalau siku tak kena air, maka tak sempurna basuhan anggota wajib tersebut dan wuduk tak sah.
Jadi bila benda tu berlaku betul-betul depan mata saya, saya terus tegur dia. Saya pegang tangan dia dan kata, “Tangan kena basuh sampai siku. Kena lebih sikit daripada siku macam ni.”
Saya tunjuk dekat dia sampai mana kena basuh. Saya kata kalau bahagian wajib ni tak kena air, wuduk tak sah. Bila wuduk tak sah, solat pun tak sah.
Alhamdulillah dia dengar. Dia terus basuh balik bahagian yang tak kena air tadi.
Lepas tu saya terfikir, hari ni sebenarnya saya dah selamatkan dia daripada terus buat kesalahan yang sama. Bukan untuk solat Jumaat hari tu sahaja, mungkin untuk solat-solat dia selepas ni sampai bila-bila.
Dia tak ucap terima kasih pun dekat saya. Tak ada masalah. Saya pun bukan nak dia ucap terima kasih. Tapi saya rasa lega sebab saya tegur.
Sebab saya fikir, kalau hari tu saya tak tegur, mungkin sampai bila-bila dia ambil wuduk macam tu.
Kita tak tahu.
Dia pun bukan budak-budak. Saya tengok mungkin umur 40-an, mungkin lebih tua daripada saya. Kalau selama ni memang itulah cara dia ambil wuduk dan tak pernah ada orang tegur, macam mana dia nak tahu cara dia tu salah?
Dan saya pun tak tahu macam mana wuduk dia sebelum-sebelum ni. Kita tak boleh kata semua solat dia sebelum ni tak sah sebab kita tak tahu.
Tapi yang saya nampak dengan mata saya hari tu, kalau dia teruskan wuduk dengan siku yang tak kena air tu, memang wuduk itu tak sah.
Bayangkan kalau kita nampak, kita tahu benda tu salah, tapi kita buat tak tahu.
Kadang-kadang benda macam ni memang syaitan s**a. Dia akan bisik, “Tak payahlah tegur. Bukan kau kenal dia pun. Nanti dia marah. Buat apa sibuk hal orang.”
Tapi kalau saya ikut bisikan tu hari tu, brother tu mungkin masuk masjid dan solat dengan wuduk yang tak sah. Lepas tu mungkin esok dia buat lagi cara yang sama. Lusa buat lagi. Bulan depan buat lagi. Sebab apa? Sebab dia tak tahu.
Dan solat dia sebenarnya tak sah sampai bila-bila.
Sebab tu saya rasa marah betul syaitan dengan iblis hari tu. Hahaha.
Sebab benda yang dia mungkin nak biarkan berlaku bertahun-tahun, tiba-tiba Allah bagi saya nampak dan saya terus tegur.
Kadang-kadang kita kena ambil tanggungjawab macam ni. Kalau benda tu kita tak tahu, jangan memandai-mandai.
Tapi kalau kita memang tahu dengan jelas, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan sah batal ibadah, tegurlah.
Tak perlu ceramah panjang pun. Saya hari tu tak sampai seminit pun tegur dia. Tunjuk mana yang salah, tunjuk macam mana yang betul, selesai.
Teguran kita mungkin hanya 30 saat, tapi orang yang kita tegur tu InsyaAllah akan guna ilmu tersebut untuk 30 tahun lagi dalam hidup dia.
Jadi kalau benda macam ni berlaku depan mata kita, jangan terus dengar bila syaitan kata,
“Jangan tegur…”
Kita tegurlah kerana Allah, bantu dia sempurnakan ibadah kepada Allah swt.