07/08/2026
Kitab : Nasihat Agama dan Wasiat Iman.
Tajuk : Sentiasa mengingati mati.
Adapun pendek harapan untuk hidup terus, memperbanyak mengingati mati, serta menyediakan diri untuk menghadapi mati, itu ada banyak manfaatnya dan besar gunanya bagi manusia, sebab siapa yang merasa ajalnya sudah dekat dan sentiasa mengingati mati di dalam hatinya pada sepanjang masa, nescaya dia akan bergiat sungguh-sungguh untuk beramal soleh di setiap masa, dan meninggalkan kerja-kerja yang tidak berguna, atau bermalas-malasan untuk beramal.
Di samping itu, ia akan sentiasa bersikap zuhud terhadap kemewahan benda dunia. Sambil berusaha untuk mengejar kebaikan untuk akhirat, ia akan segera bertaubat daripada segala dosanya, kembali kepada Allah Ta'ala, menjauhkan diri daripada segala kelakuan yang boleh menghalangnya daripada berbuat taat kepada Allah Ta'ala, dan sentiasa memilih jalan yang diredhai-Nya.
Sebaliknya, orang yang memanjangkan harapan untuk hidup lama di dunia dan kurang mengingati mati akan bersikap berlawanan dengan yang disebutkan tadi.
Sebelum ini, pada permulaan karangan buku ini, dan sebelum membicarakan bab tentang keutamaan ilmu pengetahuan, saya telah menyentuh sedikit tentang kelebihan memendekkan harapan untuk hidup di dunia, serta sentiasa merasakan bahawa ajal manusia itu terlalu dekat kepadanya, dan sebagainya.
Oleh itu, di sini tidaklah perlu rasanya untuk saya membicarakan semula apa yang telah saya bicarakan sebelum itu.
Al-Hasan Al-Bishri rahimahullah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Adakah kamu sekalian ingin masuk syurga?" Para sahabat menjawab: "Tentu sekali kami ingin, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Maka pendekkanlah cita-cita dan harapanmu, dan bayangkanlah kematianmu seolah-olah terbayang di hadapan matamu."
Rasulullah SAW sendiri sentiasa berdoa dengan lafaz berikut: "Ya Allah, ya Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu daripada dunia yang menghalangiku daripada mengerjakan kebajikan untuk akhirat. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada harapan hidup yang panjang yang melalaikanku daripada ketaatan kepada-Mu sebelum datangnya maut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada angan-angan yang melampau yang menghalangiku daripada mengerjakan amal-amal soleh."
Siti Aisyah radhiyallahu 'anha bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah orang yang bukan syahid itu boleh dibangkitkan bersama-sama para syuhada pada hari kiamat?" Rasulullah SAW menjawab: "Ya, boleh, iaitu orang yang mengingati kematiannya dua puluh kali pada siang dan malam."
Rasulullah SAW juga bersabda: "Perbanyakkanlah mengingati mati, kerana sesungguhnya mengingatinya itu akan menghapuskan keseronokan dunia daripada hatimu dan melahirkan sifat zuhud daripadamu."
Apabila Baginda ditanya tentang maksud firman Allah Ta'ala: "Maka orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk menerima Islam, maka ia mendapat cahaya daripada Tuhannya." (Surah Az-Zumar ayat 22).
Rasulullah SAW menjawab: "Sesungguhnya cahaya itu ialah hidayah yang apabila menerangi hati, maka hatinya terbuka dan menjadi luas untuk menerima kebenaran." Para sahabat bertanya: "Apakah tanda-tandanya, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Menjauhi dunia yang memperdayakan, menuju kepada akhirat yang kekal abadi, serta menyediakan amal kebaikan sebelum datangnya maut."
Imam Al-Ghazali rahimahullah berkata di dalam kitabnya Al-Bidayah: "Hendaklah kamu renungkan umurmu yang pendek itu. Sekiranya kamu berharap dapat hidup seratus tahun pun, jika dibandingkan dengan tempat tinggalmu di akhirat yang kekal selama-lamanya, sesungguhnya tempoh itu amatlah singkat.
Renungkanlah juga betapa susah payahnya kamu bekerja keras dan bersusah payah sepanjang tahun atau beberapa tahun semata-mata demi kesenangan hidup selama dua puluh tahun sahaja. Maka mengapa kamu tidak bersusah payah sedikit sahaja di dunia demi kesenangan dan ketenangan yang kekal abadi di akhirat kelak?"
Oleh itu, hendaklah kamu tidak memanjangkan harapan untuk hidup lama di dunia sehingga menjadikan kamu berat untuk beramal soleh. Sebaliknya, hendaklah kamu sentiasa mengira dan menganggap bahawa kematian itu sudah dekat dan boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Biarlah aku menanggung susah hari ini, kerana mungkin aku akan mati malam nanti, kalau tidak malam ini, mungkin esok, sebab maut itu tidak akan meragut nyawaku pada masa yang tertentu, atau pada keadaan yang tertentu, atau pada umur yang tertentu. Namun maut itu akan tiba dan tidak ditentukan masanya, maka lebih baiklah aku bersedia untuknya daripada menyediakan diri untuk dunia. Aku mengerti bahawa hidupku di dunia ini hanya sementara sahaja, dan mana tahu yang sisa daripada hidupku itu hanya untuk menyedut 1 nafas sahaja, ataupun hanya tinggal 1 hari sahaja.
Ucapan-ucapan seperti itu harus diulang-ulang di dalam hati setiap hari, paksalah diri supaya s**a dan sabar untuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah oleh Allah, oleh agama, hari demi hari, sebab kiranya anda telah ditakdirkan boleh hidup selama 50 tahun, lalu anda kerahkan dirimu untuk sabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah Ta'ala, nescaya ia akan berontak dan menentang tentang keputusanmu itu, kerana dirimu telah mengetahui bahawa masanya masih lama lagi.
Jadi, jika anda terus mengingatkan dirimu tentang ketibaan maut yang tidak dapat, yang tidak diketahui bila masanya itu, nescaya apabila anda mati, anda akan merasakan kegembiraan yang tidak ada kesudahannya. Tetapi jika anda mencuaikan nasihat itu dan tidak mempedulikannya, tiba-tiba maut pun sampai, sedang anda belum bersedia untuknya, maka tentulah anda akan merasakan kekecewaan yang tidak ada kesudahannya lagi.
Bak kata pepatah, apabila muncul pagi, barulah orang yang berjalan di waktu malam itu akan memuji dan berterima kasih. Begitu p**a apabila tiba maut kelak, barulah anda tahu tentang beritanya, yakin dan benar, dan berita itu tidak jauh daripada anda, sekelip mata lagi akan tiba.