Surau-Buku Ilmu

Surau-Buku Ilmu “Semakin lama, hitungan harimu memang semakin banyak. Tapi pada hakikatnya, setiap hari berkurang terus dan semakin mendekati batas akhir, kematian.”

23/02/2026

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa semasa di dunia akan masuk ke syurga melewati pintu tersebut. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa pun bangkit. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut".
(HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa. Ganjarannya bersifat khusus dan ekslusif. Tidak semua ahli syurga melalui pintu yang sama.

3. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala kehausan selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5. Berkata Mulla al-Qari: Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.

6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

Rebut Pahala Bersihkan Jiwa

05hb Ramadan 1447H
23hb Februari 2026

22/02/2026

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan (Ibadat di malam hari - menghidupkan dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharap rahmat Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu"
(HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mengikut Imam Nawawi, Qiam Ramadan bermaksud menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat tarawih, qiamullail, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal soleh kerana taat kepada Allah dan dilakukan dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan.

2. Ihtisab membawa maksud Ikhlas dan mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3. Ibadat qiam bulan Ramadan di malam hari sama ada untuk qiamullail solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

4. Menurut ulama, qiam Ramadan mempunyai hikmah tarbiah rohani yang tinggi kerana malam adalah waktu sunyi yang lebih dekat dengan keikhlasan, mampu menguatkan hubungan dengan Allah serta melatih kesabaran dan mujahadah melawan nafsu dan rasa malas.

5. Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...

Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.' (HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih

6. Solat Tarawih dan qiamullail merupakan sunnah yang sangat dituntut malam hari di bulan Ramadan.

Ayuh, pastikan kita menghidupkan malam Ramadan dengan dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak menunggu sehingga selesai sedangkan imam masih bersolat.

Rebut Pahala Bersihkan Jiwa

04hb Ramadan 1447H
22hb Februari 2026

10/02/2026

Bersifat Tawaduk

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu (dari segi nikmat dunia) dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu".
(HR Tirmidzi No: 2437) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memiliki sifat redha dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki adalah suatu yang dituntut.

2. Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada, tidak akan kecewa, sedih mahupun dengki pada orang lain.

3. Elakkan dari membuat perbandingan dengan orang yang lebih kaya dan berada kerana akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.

4. Dalam hal yang berkaitan dengan akhirat, kita hendaklah sentiasa melihat orang yang lebih baik daripada diri kita untuk bersaing dan berlumba mencontohinya.

5. Kita perlu merasa cemburu melihat kealiman dan kesolehan orang lain untuk diikuti dan dicontohi.

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٧٧

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak s**a kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. (al-Qasas: 77).

6. Dengan melihat kepada mereka yang kurang bernasib baik, hati akan menjadi lembut, rasa bersyukur akan bertambah disamping hidup akan lebih tenang dan diberkati.

22hb Syaaban 1447H
10hb Februari 2026

07/02/2026

Doa Penutup Majlis (Kaffaratul Majlis)

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنْ الْمَجْلِسِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا مَضَى فَقَالَ كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ

Dari Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Ketika akan mengakhiri majlis Rasulullah SAW mengucapkan: "'SUBHANAKALLAH HUMMA WA BIHAMDIKA ASHADUAL LAA ILAAHA ILLA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUUBU ILAIKA (Maha Suci Engkau Ya Allah, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Aku memohon ampunan dan taubat kepada-Mu)." Seorang laki-laki lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, sungguh engkau mengucapkan suatu bacaan yang tidak pernah engkau ucapkan sebelumnya!" Baginda bersabda: "Itu sebagai penebus dosa yang terjadi selama dalam majlis." (HR Abu Daud : 4217) Status: Hasan

Pengajaran:

1. Iringi setiap perkara yang kita lakukan dengan zikir atau doa kepada Allah

2. Rasulullah SAW mengakhiri sesuatu majlis atau pertemuan dengan bacaan kaffaratul majlis (doa penutup majlis):

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

3. Orang yang mengakhiri pertemuan atau majlis dengan doa kafaratul majlis di atas, nescaya ia menjadi penebus dosa yang terjadi selama berada di majlis tersebut.

07 hb Februari 2026
18 hb Sya'ban 1447H

06/02/2026

Witir Penutup Solat Malam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

Daripada 'Abdullah bin 'Umar RA berkata: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW yang pada ketika itu baginda sedang berada di atas mimbar. "Apa pandanganmu tentang solat malam?" Baginda menjawab: "Solat malam itu dilakukan dua rakat - dua rakaat. Apabila seseorang bimbang masuk waktu subuh, maka hendaklah ia menunaikan satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi solatnya." Ibnu Umar berkata: "Jadikanlah witir sebagai solat terakhir kalian, kerana Nabi SAW memerintahkan hal yang demikian." (HR Bukhari No: 452) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar cara solat sunat malam hari (qiamullail) dilaksanakan dua rakaat dan salam diikuti dua rakaat lagi dan salam dan seterusnya sehingga ditutup dengan solat sunat witir.

2. Jika waktu dah hampir solat subuh, disarankan agar solat malam ditutup dengan menunaikan solat sunat witir satu rakaat.

3. Solat witir dijadikan solat penutup kepada solat sunat di malam hari paling kurang satu rakaat.

4. Rasulullah SAW menyarankan agar akhir solat sunat dimalam hari adalah witir. Baginda SAW sering menekankan tentang pentingnya solat witir sebagai penyempurna solat malam, dan bagi mereka yang mengerjakan solat malam, witir adalah satu amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Solat witir merupakan solat yang memiliki keutamaan yang sangat tinggi dalam Islam.

Ayuh kita tunaikan solat sunat di malam hari sekurang-kurangnya satu rakaat witir.

18hb Syaaban 1447H
06hb Februari 2026

05/02/2026

SOLAT TAHAJJUD HINDARI PENYAKIT BERAT!. percaya?

Solat Tahajjud dipercayai dapat mengelak penyakit kerana ia meningkatkan kekebalan tubuh, melancarkan aliran darah, serta menjadi pencegahan dosa dan penyakit seperti sabda Rasulullah S.A.W., menjadikannya waktu terbaik untuk berdoa dan menenangkan hati, serta membina kekuatan rohani dan fizikal untuk menghadapi cabaran harian.

Manfaat Tahajjud Untuk Kesihatan:

Meningkatkan Sistem Imuniti:*
Dapat membantu mengurangkan beban penyakit dan meningkatkan daya tahan tubuh badan.
Melancarkan Peredaran Darah:
Solat sunat di waktu malam membantu melancarkan aliran darah, baik untuk kesihatan fizikal.
Ketenangan Emosi:
Menjadikan hati lebih tenang dan tenteram, mengurangkan tekanan yang memberi kesan kepada kesihatan.

Pencegahan Dosa & Penyakit:
Rasulullah S.A.W. mengaitkan solat malam dengan perlindungan daripada penyakit dan dosa.

Cara Tahajjud Membantu:
Recharge Iman & Roh:
Ia adalah media untuk menguatkan iman dan membersihkan diri dari dosa, yang secara tidak langsung membantu kesihatan mental dan spiritual.

Waktu Mustajab Doa:
Waktu sepertiga malam adalah waktu yang tepat untuk bermunajat memohon perlindungan dan kesembuhan daripada ALLAAH S.W.T..

Meningkatkan Produktiviti:
Dengan berjaya bangun tahajjud, ia melatih diri melawan malas dan meningkatkan produktiviti, memberikan rasa pencapaian yang baik untuk mental.
Secara keseluruhannya, tahajjud memberikan manfaat holistik – fizikal, mental, dan spiritual – yang menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik dan perlindungan daripada penyakit.

02/02/2026

Nisfu Syaaban

Nisfu Syaaban ialah malam ke-15 bulan Syaaban. Dalam tradisi Islam, ia sering dikaitkan dengan keampunan Allah SWT, rahmat, dan persiapan rohani sebelum Ramadan.

1️⃣ Makna & kelebihan
• Malam di mana ramai ulama menyebut Allah melimpahkan keampunan kepada hamba-Nya yang memohon, kecuali mereka yang berterusan dalam dosa besar seperti syirik dan permusuhan tanpa taubat.
• Mengajak kita muhasabah, berdamai, dan membersihkan hati.

2️⃣ Amalan yang disepakati (selamat diamalkan)
• Istighfar & taubat (banyakkan).
• Doa – minta keampunan, kesihatan, rezeki halal, dan istiqamah.
• Qiyamullail (sekadar mampu).
• Puasa sunat pada siangnya (umum puasa sunat Syaaban).

3️⃣ Adab penting
• Elakkan ta’asub dan pertelingkahan.
• Berlapang dada, memaafkan orang lain.
• Niatkan sebagai latihan menyambut Ramadan, bukan ritual yang diwajibkan.

• Terdapat perbezaan pandangan tentang kekuatan hadis tertentu berkaitan Nisfu Syaaban.
• Amalan umum seperti doa, istighfar, qiyam, dan puasa dibolehkan tanpa menetapkan bentuk khusus yang dianggap wajib.

Allahumma’ghfir lana dzunubana, wa aslih lana sya’nana kullah, wa ballighna Ramadan.
(Ya Allah, ampunkan dosa kami, perbaikilah seluruh urusan kami, dan sampaikan kami ke Ramadan.)

01/02/2026

Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2. Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3. Dibolehkan kita menegur kemungkaran dengan ilmu dan adab. Dilarang mencela dengan nada menghina dan menghukum. Kita adalah pendakwah bukan penghukum.

4. Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.

5. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif. Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

6. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

7. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.

8. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.

13hb Syaaban 1447H
01hb Februari 2026

31/01/2026

Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari-hari putih: hari ketiga belas, empat belas dan lima belas."
(HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Mengikut Imam Nawawi, ‘Ayyam al-Bidh’ (hari-hari putih) dinamakan demikian kerana bulan pada tarikh 13, 14 dan 15 haribulan Hijrah berada dalam keadaan penuh bercahaya.

2. Puasa pada hari putih adalah sunat yang sangat dituntut dan menjadi amalan Rasulullah SAW.

3. Berpuasa tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”
(HR Abu Daud No: 2449)

4. Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari Isnin dan Khamis juga puasa pada hari-hari putih (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Ahad 01hb Feb, Isnin 02hb Feb dan Selasa 03hb Feb ini.

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. Kita berpuasa sunat Hari-hari Putih pada Ahad, Isnin dan Selasa ini.

12hb Syaaban 1447H
31hb Januari 2026

29/01/2026

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak dicabut sifat belas kasihan (rahmat Allah) kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)."
(HR Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki.

2. Sifat kasih sayang merangkumi kasih sayang terhadap manusia, belas kasihan kepada kanak-kanak, orang lemah dan masyarakat sekeliling di samping sifat empati yang lahir daripada iman.

3. Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada orang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

4. Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

5. Menurut Ibn al-Athir, orang yang celaka merujuk kepada orang yang hatinya keras, tidak tersentuh dengan penderitaan orang lain serta hilang rasa belas kasihan akibat dosa yang berterusan.

6. Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih) sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan s**a melaknat”.

Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.

10hb Syaaban 1447H
29hb Januari 2026

28/01/2026

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: "Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; “Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan ketika engkau berasa kedekut (kikir) dan takut menjadi miskin serta berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga nyawa telah sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sebenarnya telah menjadi milik si fulan (waris)."
(HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sedekah yang paling besar pahalanya ialah sedekah yang dilakukan:

a. Ketika seseorang masih sihat

b. Ketika berasa sayang kepada harta dan bimbang harta akan berkurang jika bersedekah

c. Ketika masih berhasrat mengumpul harta untuk menjadi kaya.

Hal ini kerana sedekah tersebut dilakukan dengan pengorbanan nafsu dan kecintaan dunia, bukan kerana terpaksa.

2. Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita. Menangguhkan sedekah boleh mengurangkan keikhlasan dan tidak menunjukkan pengorbanan sebenar.

3. Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

4. Harta adalah amanah bukan milik mutlak kita.

5. Sedekah adalah latihan melawan sifat tamak dan cinta dunia.

09hb Syaaban 1447H
28hb Januari 2026

27/01/2026

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata: Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara yang membawa kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Manakala Empat perkara yang membawa kesengsaraan adalah jiran yang buruk, isteri yang buruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang menyusahkan.” (HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Empat perkara yang membawa kebahagiaan di dunia

a. Isteri yang solehah iaitu isteri yang baik. Sentiasa membantu suami dalam ketaatan kepada Allah. Menjadi penenang jiwa suami, ketika dipandang suami ia menggembirakan. Sentiasa menjaga maruah diri, harta dan suami.

b. Tempat tinggal yang luas iaitu yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit (Takhrij al-Musnad no 15372).

c. Jiran yang baik iaitu jiran yang sentiasa bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain.

d. Kenderaan yang selesa iaitu kenderaan yang memudahkan urusan, tidak mendatangkan bahaya serta tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.

2. Empat punca kesengsaraan hidup di dunia:

a. Jiran yang buruk iaitu yang buruk akhlaknya serta kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.

b. Isteri yang buruk iaitu isteri yang berakhlak dan perangai yang buruk

c. Tempat tinggal yang sempit iaitu rumah yang tidak menjadikan kita bahagia dan merasa lapang berada di dalamnya

d. Kenderaan yang menyusahkan dan membebankan.

Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk, dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya.
(HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138).

08hb Syaaban 1447H
27hb Januari 2026

Address

Kuala Lumpur
55100

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Surau-Buku Ilmu posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Share