13/08/2026
Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Ustaz Abu Sufian Bin Shafie, mantan Ketua Sekretariat GASMA Terengganu, yang telah kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 2026 bersamaan 29 Safar 1448H.
Allahyarham merupakan seorang yang banyak menabur bakti dalam usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan, khususnya dalam menyumbang ilmu serta khidmat kepada para penuntut ilmu Sunnah di Malaysia, terutama di negeri Terengganu.
Jasa, sumbangan dan pengorbanan Allahyarham dalam memperjuangkan serta menyebarluaskan dakwah Ahli Sunnah wal Jamaah akan sentiasa dikenang. Semoga segala amal kebajikan, usaha dakwah dan ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah yang terus mengalir pahalanya.
GASMA mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesalahan Allahyarham, menerima segala amal solehnya, melapangkan serta menerangi kuburnya, mengangkat darjatnya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh, dan menempatkan beliau bersama para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin.
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه
“Ya Allah, ampunilah beliau, rahmatilah beliau, sejahterakanlah beliau dan maafkanlah segala kesalahannya.”
Semoga Allah SWT memberikan kesabaran dan ketabahan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai serta seluruh yang mengenali Allahyarham dalam menghadapi kehilangan yang besar ini.
إنا لله وإنا إليه راجعون