14/10/2024
LAWATAN KE PERLIS BERSAMA WANITA MUALAF 2024
Anjuran
WANITA PERKIM BAHAGIAN WILAYAH PERSEKUTUAN (WPBWP)
Pada 5-7 Julai 2024, seramai 9 orang AJK WPBWP dan 30 orang mualaf wanita dari Wilayah Persekutuan telah mengikuti Lawatan Mahabbah ke Perlis Indera Kayangan. Peserta kali ini terdiri dari pelbagai kaum: Melayu, Cina dan India, pribumi dari Sabah dan Sarawak; dan juga yang bukan warganegara Malaysia; iaitu dari Filipina, Indonesia dan Kemboja.
Program ini adalah dengan kerjasama Ma'had Tahfiz Al-Quran Al-Imam An-Nawawi (MATIN) yang bertempat di Lot 258-A, Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip, 01000 Kangar, Perlis.
Pihak MATIN telah menyediakan penginapan yang selesa untuk para peserta di Kompleks MATIN.
MATIN merupakan sebuah pusat pendidikan berorientasikan tahfiz Al-Quran dan pengajian tafaqquh fid-deen dalam usaha melahirkan ulama' rabbani. Hafazan Al Quran merupakan teras pengajian; penekanan turut diberi dalam penguasaan Ulum Al Quran dan Al Hadith; penerapan ilmu-ilmu turath dan kaedah talaqqi; penekanan manhaj tarbiyah meliputi ruhiyah, tazkiyah an-nafs, harakiyah dan fiqh ad-dakwah.
OBJEKTIF PROGRAM:
Memberi peluang kepada Wanita Mualaf dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikuti program di MATIN dalam usaha membawa sedikit kelainan dalam proses menuntut ilmu.
Mengeratkan hubungan antara AJK Wanita PERKIM Bahagian Wilayah dengan para peserta.
Program Hari Pertama 5/7/2024 (Jumaat)
Para peserta berkumpul di hadapan Bangunan PERKIM seawal jam 7.30 pagi. Rombongan bertolak jam 8.30 pagi menaiki bas yang disewa khas. Doa musafir dan taklimat program telah disampaikan oleh Puan Rozaitonisah. Dalam perjalanan juga telah diadakan kuiz agama Islam yang diuruskan oleh Puan Sharifah Fauziah, Puan Rasidah Begum, Puan Nur Habeebah dan dibantu oleh AJK lain. Hadiah-hadiah kuiz berbentuk barangan dan wang tunai dari sumbangan individu.
Alhamdulillah, perjalanan ke Kangar, Perlis berjalan dengan lancar dan rombongan selamat tiba di MATIN sebelum jam 6 petang. Para peserta disambut dengan mesra oleh Ustazah Suhanawati Jaafar dan pelajar-pelajar tahfiz perempuan. Minuman petang telah tersedia dengan bubur pulut hitam. Pelajar-pelajar tersebut mengiringi para peserta ke bilik penginapan masing-masing.
Program hari pertama diteruskan dengan Kuliah Maghrib di Surau MATIN. Makan malam disediakan untuk para peserta.
Program Hari Kedua 6/7/2024 (Sabtu)
Dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah dan Tazkirah Subuh disampaikan oleh Ustaz Yussaine Yahya, Mudir MATIN. Sarapan pagi disediakan oleh pihak MATIN.
Peserta seterusnya berkumpul di Dewan Talaqqi untuk sesi perkongsian fungsi MATIN dan PERKIM pada jam 8.45 pagi. Ustaz Hafizul bertindak sebagai pengacara majlis manakala Ustaz Akmal Abdul Rahman mewakili pihak pentadbiran MATIN menyampaikan ucapan dan memberi penerangan tentang peranan dan aktiviti MATIN. Bagi pihak WPBWP p**a, Puan Rozaitonisah selaku Penyelaras Program menjelaskan objektif lawatan manakala Puan Anom Sary, Naib Pengerusi 1 WPBWP menjelaskan fungsi PERKIM dan menyampaikan ucapan penghargaan atas kerjasama dari pihak MATIN.
Program diteruskan dengan penyampaian sumbangan wang tunai dan cenderahati (berbentuk produk minuman keluaran Wanita PERKIM Kebangsaan) dari pihak WPBWP kepada MATIN yang disampaikan oleh Puan Anom Sary kepada Ustaz Yussaine Yahya, Mudir MATIN.
Para peserta kemudiannya dibawa melawat kawasan kompleks MATIN termasuk kebun harumanis, kawasan penternakan ayam, sawah padi, rumah-rumah kediaman, dobi dan seterusnya ke kedai jualan pelbagai produk Muslim termasuk produk MATIN sendiri.
Selesai lawatan di Kompleks MATIN, para peserta dibawa untuk menjamu selera di Restoran Suri (Masakan Melayu Asli). Usai makan tengah hari, peserta dibawa melawat Muzium Kota Kayang. Kemudiannya singgah di Kg. Warna Warni Perlis untuk bergambar kenangan.
Para peserta kemudiannya p**ang ke MATIN untuk solat jamak qasar dan berehat. Jam 6.45 petang program seterusnya di Surau MATIN khusus untuk sambutan Awal Muharam.
Malam itu para peserta berkesempatan menikmati makan malam di Wanis Seafood. Alhamdulillah.
Program Hari Ketiga 7/7/2024 (Ahad)
Hari terakhir dimulakan dengan Solat Subuh berjemaah di Surau MATIN, diikuti dengan Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Yussaine Yahya. Sarapan pagi disediakan di Dewan Makan sebelum para peserta bersiap-siap untuk p**ang. Sebelum meninggalkan MATIN, para peserta telah disajikan dengan alunan Maulid/Qasidah oleh pelajar-pelajar perempuan. Ustazah Suhanawati Jaafar menyampaikan pesanan dan ucapan selamat jalan kepada peserta program diikuti dengan ucapan balas oleh Puan Anom Sary. Kebanyakan peserta merasa sebak dengan layanan istimewa dari mereka. Masha-Allah, TabarakAllah. Moga program ini mencapat matlamat dan semoga semua yang terlibat sentiasa dalam rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.
Para peserta meninggalkan Kompleks MATIN dengan hati yang sayu dengan harapan program sebegini dapat diadakan lagi di masa akan datang.
Sebelum p**ang ke Kuala Lumpur, para peserta dibawa ke Padang Besar untuk membeli-belah. Alhamdulillah.