18/04/2026
NOTA AKHLAK : ADAB BERKATA-KATA DAN HAKIKAT TEGURAN ALLAH
Kami menerima satu komen di media sosial yang menyatakan begini.. : "biasalah" manusia maki hamun. Allah SWT juga "maki hamun" manusia di dalam Al-Quran.
Astaghfirullah..
Ia adalah sebuah kekeliruan besar dan penghinaan terhadap kesucian firman Allah SWT. Kita perlu memperbetulkan kefahaman ini dengan adab dan ilmu.
1. Teguran Allah di dalam Al-Quran adalah "Tarbiyyah", Bukan "Maki Hamun"
Apabila Allah SWT menegur manusia yang kufur dalam Al-Quran, seperti menggunakan perkataan 'seburuk-buruk makhluk', 'lebih sesat daripada binatang ternak', atau seumpamanya, itu bukanlah "maki hamun" seperti yang difahami oleh manusia yang penuh dengan nafsu.
Sebaliknya, ia adalah:
i. Tarbiyyah (Pendidikan). Teguran Allah bertujuan untuk menyedarkan manusia daripada kelalaian dan kesombongan.
ii. Kebenaran Mutlak. Allah Maha Mengetahui hakikat sebenar hamba-Nya. Jika Allah melabelkan seseorang itu lalai, itulah realiti yang sebenarnya.
iii. Bukan Didorong Nafsu. Manusia memaki hamun kerana marah, dendam, dan hilangnya kawalan diri.
Allah menegur hamba-Nya kerana kasih sayang, agar mereka kembali ke jalan yang benar.
Menyamakan "makian manusia" dengan "teguran Allah" adalah qias (analogi) yang salah dan tidak layak.
2. Adab Berkomunikasi bagi Seorang Muslim.
Islam sangat menekankan keindahan bahasa.
Walaupun dalam keadaan marah, seorang Muslim dituntut untuk menjaga lisan. Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam."
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Berhujah bahawa memaki itu biasa bagi sesetengah golongan adalah normalisasi terhadap budaya yang buruk. Jika kita membenarkan caci maki dalam ruang awam, kita sebenarnya sedang meruntuhkan akhlak masyarakat.
Apa jua kedudukan kita, ia tidak melepaskan seseorang daripada tuntutan akhlak Islam.
Jadilah "gentleman" dalam Islam. Bersabar apabila dimaki hamun, dan juga mampu mengawal diri daripada membalas kejahatan dengan kejahatan yang serupa.
Al-Quran mengajar kita :
"Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik..."
(Surah Fussilat, ayat 34)
Justeru, janganlah kita menyamakan sifat kemanusiaan yang penuh kelemahan dan nafsu dengan sifat keagungan Allah SWT.
Lidah adalah cerminan hati. Jika hati dipenuhi dengan zikir dan rasa takut kepada Allah, lisan akan terjaga, walaupun dalam situasi yang paling mencabar sekalipun.
Marilah kita berusaha untuk menjadi umat yang berakhlak mulia, yang berani berhujah dengan fakta dan adab, bukan dengan caci maki yang merendahkan martabat diri sendiri.
Semoga kita semua dikurniakan taufik untuk menjaga lisan dan memahami kalam Allah dengan cara yang benar.
Wallahu A'lam.