20/03/2026
SYAWAL SEBUAH KESYUKURAN DAN KEBAHAGIAAN , 10 SUNNAH YANG BOLEH DILAKUKAN DI PAGI RAYA 🌷
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
SubhanAllah Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT kerana kita telah berjaya menempuh madrasah Ramadan yang terkumpul di dalamnya rahmat, keampunan, dan ganjaran yang sangat besar.
Kini, menjelang p**a Hari Raya Aidilfitri yang merupakan hadiah daripada Allah SWT buat umat Islam setelah bersungguh-sungguh melakukan ibadah dalam bulan Ramadan.
Sahabat sekalian, Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar tentang baju baharu atau hidangan yang lazat di meja, tetapi ia adalah tentang bagaimana kita meraikan 'kemenangan' melawan nafsu dengan cara yang dicintai oleh Baginda Rasulullah ﷺ.
Mari kita semak semula, adakah persiapan raya kita sudah selari dengan petunjuk Nabi? Jom ikuti 10 sunnah mudah yang boleh kita amalkan untuk menjemput keberkatan dalam rumah tangga kita pada pagi Syawal nanti. Hadamkan dan kongsikan buat insan tersayang ya 😇✨"
10 SUNNAH DAN AMALAN DI HARI RAYA AIDILFITRI
☪️ 1. MEMPERBANYAK TAKBIR RAYA
Menghidupkan malam raya dan pagi raya dengan lafaz takbir bermula dari terbenam matahari malam raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram solat raya. Firman Allah SWT:
وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: "...dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah: 185)
☪️ 2. TUNAIKAN ZAKAT FITRAH
Secara ringkasnya, adalah sunat (afdhal) membayar zakat fitrah pada pagi hari raya, iaitu bermula selepas terbit fajar (waktu Subuh) sehinggalah sebelum imam memulakan solat sunat Aidilfitri. Daripada Ibnu Umar RA:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya: "Rasulullah SAW telah memfardukan (mewajibkan) Zakat Fitrah sebanyak satu sa’ kurma atau satu sa’ gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kalangan umat Islam. Dan Baginda memerintahkan agar zakat tersebut dibayar sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (Hari Raya)."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 1503 & Muslim, no. 984)
☪️ 3. MANDI SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI
Melakukan mandi sunat bermula dari waktu tengah malam, namun waktu paling afdal adalah selepas terbit fajar (Subuh) sebelum berangkat ke masjid.
Dalil: Daripada Nafi’, katanya:
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: "Bahawa Abdullah bin Umar RA mandi pada hari Aidilfitri sebelum beliau keluar ke tempat solat (musolla)." (Riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatta', No. 428)
☪️ 4. MEMAKAI PAKAIAN TERBAIK
Disunatkan memakai pakaian yang paling bersih, kemas, dan terbaik yang kita miliki. Tidak semestinya baru, yang penting ia menutup aurat dengan sempurna. Daripada Jabir RA, beliau berkata:
كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جُبَّةٌ يَلْبَسُهَا فِي الْعِيدَيْنِ وَيَوْمِ الْجُمُعَةِ
Maksudnya: "Nabi SAW mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat." (Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya, No. 1765)
☪️ 5. MEMAKAI WANGIAN (BAGI LELAKI)
Bagi kaum lelaki, disunatkan memakai wangian yang harum sebagai tanda keceriaan dan menghormati majlis ilmu serta perhimpunan di masjid. Daripada Al-Hasan bin Ali RA, beliau berkata:
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعِيدَيْنِ أَنْ نَلْبَسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ ، وَأَنْ نَتَطَيَّبَ بِأَجْوَدِ مَا نَجِدُ
Maksudnya: "Rasulullah SAW memerintahkan kami pada dua hari raya untuk memakai pakaian terbaik yang kami miliki dan memakai wangian terbaik yang kami perolehi." (Riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No. 7560)
☪️ 6. MAKAN SEDIKIT SEBELUM SOLAT RAYA
Berbeza dengan Aidiladha, sunnah Aidilfitri adalah makan sedikit (seperti buah kurma dalam bilangan ganjil) sebelum keluar menunaikan solat sunat raya. Ini bagi membuktikan bahawa hari tersebut diharamkan berpuasa. Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya: "Rasulullah SAW tidak akan keluar pada pagi Aidilfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma... dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil."
(Riwayat Al-Bukhari, No. 953)
☪️ 7. BERJALAN KAKI KE TEMPAT SOLAT.
Sekiranya jarak dekat dan tidak membebankan adalah lebih afdal berjalan kaki ke tempat solat. Daripada Ali bin Abi Thalib RA, beliau berkata:
مِنَ السُّنَّةِ أَنْ تَخْرُجَ إِلَى الْعِيدِ مَاشِيًا
Maksudnya: "Daripada sunnah
adalah keluar ke tempat solat raya dengan berjalan kaki." (Riwayat At-Tirmidzi, No. 530 - Hadis Hasan)
☪️ 8. PERGI DAN BALIK MELALUI JALAN BERBEZA
Tujuannya adalah untuk bertemu lebih ramai orang dan menzahirkan syiar Islam di pelbagai lorong. Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: "Nabi SAW apabila tibanya hari raya, baginda akan membezakan jalan (pergi dan balik)."
(Riwayat Al-Bukhari, No. 986)
☪️ 9. MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI DAN MENDENGAR KHUTBAH RAYA
Hadir ke masjid atau tempat solat lapang untuk menunaikan solat sunat hari raya bersama-sama komuniti setempat secara berjemaah. Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ
Maksudnya: "Rasulullah SAW keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha menuju ke tempat solat (lapang), dan perkara pertama yang baginda mulakan ialah solat."
(Riwayat Al-Bukhari, No. 956)
Mendengar nasihat dan peringatan daripada khatib selepas solat raya. Daripada Abdullah bin As-Sa’ib RA, beliau berkata:
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاةَ قَالَ : إِنَّا نَخْطُبُ ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ فَلْيَذْهَبْ
Maksudnya: "Aku menghadiri
solat raya bersama Rasulullah SAW, setelah selesai solat baginda bersabda: 'Kami akan berkhutbah, sesiapa yang mahu duduk mendengar khutbah maka duduklah, dan sesiapa yang mahu pergi maka pergilah'." (Riwayat Abu Daud, No. 1155)
☪️ 10. MENGUCAPKAN SELAMAT (TAHNIAH)
Saling mendoakan penerimaan amalan antara satu sama lain. Daripada Jubair bin Nufair RA, beliau berkata:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ : تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ
Maksudnya: "Para sahabat Rasulullah SAW apabila mereka bertemu pada hari raya, mereka akan mengucapkan antara satu sama lain: 'Taqabbalallahu minna wa minka' (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)." (Direkodkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, 2/446 - Sanad Hasan)
Subhanallah, indahnya jika setiap langkah kita di pagi raya dipandu oleh sunnah Nabi ﷺ. Biarlah kepenatan kita mengemas rumah dan memasak juadah, dibalas dengan pahala yang melimpah-ruah hanya kerana kita berniat mengikut sunnah dan menggembirakan hati tetamu serta keluarga.
Sama-sama kita azam, raya kali ini kita nak buat yang terbaik. Jangan biarkan ia berlalu sebagai adat semata-mata, tapi jadikan ia ibadat yang diterima Allah SWT.
Semoga Allah sudi menerima segala amalan puasa, tadarus, dan sedekah kita sepanjang Ramadhan ini. Taqabbalallahu minna wa minkum.
Silakan share pesanan ini sebagai saham akhirat kita. Moga-moga menjadi asbab hidayah buat orang lain juga. Sayang semua kerana Allah dan Rasulullah SAW!"
Ustazah Asma' Harun