02/09/2021
🤲JANGAN RASA MALU MINTA KEPADA ALLAH WALAU HAL REMEH.🤲
Firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
(Ghafir :60).
1.Rata-rata kebanyakan daripada umat Islam hanya berdoa selepas solat. Mereka jarang berdoa ketika hendak keluar rumah, kembali semula ke rumah memasuki pasar atau pusat membeli belah, ketika menanti lampu trafik bertukar hijau daripada merah, ketika mengalami kesesakan di jalan raya dan pelbagai lagi aktiviti dalam rutin kehidupan.Demikian juga ketika guru masuk ke bilik darjah.Ketika pegawai awam mula masuk ke pejabat dan lain-lain lagi. Selain itu ketika mula membuka telepon untuk melihat WA atau FB dan seumpamanya.Rasulullah SAW menyuruh umatnya sentiasa berdoa kepada Allah untuk keselamatan dan perlindungan walau pun hal kecil dan dianggap remeh temeh oleh kebanyakan manusia.Rasulullah SAW pernah bersabda:
لِيَسْأَلْ أَحَدُكُمْ رَبَّهُ حَاجَتَهُ حَتَّى يَسْأَلَهُ الْمِلْحَ وَحَتَّى يَسْأَلَهُ شِسْعَ نَعْلِهِ إِذَا انْقَطَعَ
"Hendaklah kalian berdoa dan meminta kepada Allah SWT segala hajatnya, hatta jika ingin meminta garam atau tali kasutnya apabila ia terputus.(HR Tirmizi).
2.Menurut Imam Ibn Rejab al-Hambali RHM , ada hadis yang menjadi dalil bahawa Allah SWT s**a akan hamba-Nya yang meminta daripada-Nya segala permintaan yang berkaitan dengan maslahah ukhrawi dan duniawi, sama ada makanan, minuman, pakaian dan lain-lainya, sebagaimana dia berdoa supaya dikurniakan hidayah dan petunjuk. Sewaktu berdoa, sebenarnya seseorang sedang menzahirkan rasa kebergantungan dan betapa perlunya bantuan Allah SWT. (Rujuk Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/38).
3.Nabi SAW sangat menekankan agar umatnya sentiasa berdoa meminta sesuatu kepada Allah.
Sabdanya,
إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ
" Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah.Ketahuilah, jika suatu kump**an manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu.
(HR Tirmizi ).
4.Ada perkara yang dianggap remeh oleh orang ramai sedangkan resikonya besar (jika tanpa bantuan Allah). Misalnya ketika makan di restoran, (pelbagai perkara boleh berlaku) seperti keracunan makanan, "santau" dan sebagainya. Ketika membeli belah atau di pasar, ada resiko seperti kehilangan wang, ditipu harga, terpandang perkara yang boleh mengundang dosa dan sebagainya. Justeru Nabi SAW menyatakan pasar adalah tempat yang tidak baik berbanding masjid.Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا
“Tempat paling dis**ai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” [HR Muslim].
5.Justeru ketika masuk ke pasar (yang dianggap hal remeh) ada doa untuk keselamatan. Dari Umar bin al-Khathab R.'anhu, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَخَلَ السُّوقَ فَقَالَ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَيٌّ لَا يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ سَيِّئَةٍ وَرَفَعَ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ دَرَجَةٍ
"Barangsiapa masuk pasar lalu ia mengucapkan, "Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan, bagi-Nya segala pujian. Dia-lah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan.Dia-lah Yang Hidup, tidak akan mati. Di tangan-Nya kebaikan. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu," nescaya Allah menuliskan baginya sejuta kebaikan dan menghapuskan darinya sejuta keburukan serta mengangkat derajatnya hingga sejuta derajat"." (HR. At-Tirmidzi, Ibnu Majah Al-Hakim ). Demikian juga dalam hal lain seperti memakai pakaian(baju, kasut) dan sebagainya, ada doa-doa yang disunahkan untuk dibaca.Di samping itu para ulama mewariskan zikir-zikur tertentu yang boleh dibaca ketika melakukan sesuatu tugas. Walau pun zikir-zikir itu tidak diamalkan oleh Nabi SAW, namun yang pentingnya, pembacanya sentiasa ingatkan Allah ketika melakukan sesuatu tugas.
Jika tidak dapat ingat doa dalam bahasa Arab, maka mohonlah keselamatan dan kemudahan daripada Allah (dalam bahasa yang difahami) ketika melakukan sesuatu aktiviti harian dan jangan lupa mulakan dengan basmalah
" بسم الله الرحمن الرحيم"
Tazkirah Subuh:🌄
UMY
24hb.Muharram 1443H