13/10/2025
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang berfirman:
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunvh di jalan Allah itu mati; bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka, diberi rezeki.”
(Surah Ali ‘Imran, ayat 169)
Aku adalah Ṣāliḥ al-Ja‘farāwī
Aku tinggalkan wasiat ini, bukan sebagai ucapan selamat tinggal, tetapi sebagai kesinambungan kepada jalan yang aku pilih dengan penuh keyakinan.
Allah Maha Mengetahui bahawa aku telah mencurahkan segala tenaga dan kudrat yang aku miliki untuk menjadi sandaran dan suara buat bangsaku.
Aku telah melalui segala derita dan kezaliman dalam setiap detik, aku telah merasai pedihnya kehilangan dan duka berulang kali.
Namun aku tidak pernah berhenti walau sesaat daripada menyampaikan kebenaran sebagaimana adanya, kebenaran yang akan menjadi hujah ke atas mereka yang berdiam diri dan juga menjadi kemuliaan bagi mereka yang menolong, menyokong dan berdiri bersama para pejuang yang paling mulia, penduduk G4za yang gagah dan terhormat.
Jika aku gugur sebagai syahid, ketahuilah bahawa aku tidak pergi jauh.
Aku kini di syurga, bersama sahabat-sahabatku yang telah mendahului, bersama Anas, Ismail, dan semua insan yang telah menepati janji mereka kepada Allah.
Aku berpesan agar kalian mengingatku dalam doa,
dan meneruskan perjuangan ini selepasku.
Ingatlah aku dengan sedekah jariah,
dan sebutlah namaku setiap kali kamu mendengar azan atau melihat cahaya menembusi malam gelap G4za.
Aku berpesan kepada kalian agar teruskan perjuangan dan keteguhan ini.
Teruskan di atas jalan yang telah kita lalui, dan dengan prinsip yang kita yakini.
Kerana kami tidak pernah mengenali jalan lain selain ini,
dan kami tidak menemui makna kehidupan kecuali dengan berpegang teguh padanya.
Aku berpesan kepada ayahku yang tercinta:
Wahai ayah, kekasih hatiku dan teladan hidupku,
orang yang aku melihat diriku di dalam dirinya, dan dia melihat dirinya di dalam diriku.
Engkaulah teman perjuanganku dalam setiap detik perang ini.
Aku memohon kepada Allah agar kita bertemu semula di syurga,
dalam keadaan engkau redha terhadapku, wahai mahkota di atas kepalaku.
Aku berpesan kepada abangku, guruku dan teman sejalanku:
Naji.
Wahai Naji… aku telah mendahuluimu menemui Allah sebelum engkau keluar dari penjara.
Ketahuilah bahawa ini adalah takdir yang telah Allah tetapkan.
Rinduku kepadamu sentiasa hidup di hatiku.
Aku berharap dapat melihatmu, memelukmu, bertemu denganmu.
Namun janji Allah itu benar, dan pertemuan kita di syurga lebih dekat daripada yang engkau sangka.
Aku berpesan kepada ibuku yang tersayang:
Wahai ibu, hidup tanpamu tiada makna.
Engkaulah doa yang tidak pernah terputus, dan harapan yang tidak pernah mati.
Aku sering berdoa agar Allah menyembuhkanmu dan memberikan kesihatan,
dan aku sering bermimpi untuk melihatmu pergi berubat dan pulang dengan senyuman di wajahmu.
Aku berpesan kepada adik-beradikku semua:
Keredaaan Allah, kemudian keredaan kalian, adalah matlamatku.
Aku berdoa agar Allah membahagiakan kalian dan menjadikan hidup kalian seindah hati-hati kalian yang lembut —
hati yang selalu aku cuba untuk bahagiakan.
Aku selalu berkata:
“Kata-kata tidak akan gugur, dan gambar tidak akan hilang.”
Kata-kata itu amanah,
dan gambar itu mesej.
Sampaikanlah mesej ini kepada dunia sebagaimana kami telah menyampaikannya dahulu.
Janganlah kamu menyangka bahawa kesyahidanku adalah pengakhiran.
Bahkan ia adalah permulaan sebuah perjalanan panjang menuju kebebasan.
Aku hanyalah utusan bagi mesej yang ingin aku sampaikan kepada dunia:
Kepada dunia yang menutup matanya, dan kepada mereka yang berdiam diri terhadap kebenaran.
Dan jika kamu mendengar berita tentangku, jangan menangis untukku.
Kerana aku telah lama mengimpikan saat ini,
dan aku telah memohon kepada Allah agar menganugerahkannya kepadaku.
Maka segala puji bagi Allah yang telah memilihku untuk sesuatu yang aku cintai.
Dan kepada sesiapa yang pernah menzalimiku, menghina atau memfitnahku:
aku katakan kepada kalian,
aku kini pergi menghadap Allah sebagai syahid, insyaAllah,
dan di sisi Allah nanti kita semua akan diadili dengan sebenar-benarnya.
Aku berpesan kepada kalian tentang Plstin…
tentang Masjid al-Aqsa.
Dahulu, impianku ialah untuk sampai ke halamannya,
untuk solat di dalamnya, dan menyentuh tanah sucinya.
Jika aku tidak sempat mencapainya di dunia ini,
maka aku memohon kepada Allah agar menghimpunkan kita semua di sana di syurga yang kekal abadi.
Ya Allah, terimalah aku dalam kalangan para syuhada.
Ampunkanlah dosa-dosaku yang lalu dan yang akan datang.
Jadikanlah darahku sebagai cahaya yang menerangi jalan kebebasan buat bangsaku dan ahli keluargaku.
Maafkan aku andai aku pernah lalai,
dan doakanlah aku agar diampuni dan dirahmati.
Sesungguhnya aku telah menunaikan janji,
aku tidak berpaling, dan tidak mengubah pendirian.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saudaramu, syahid insyaAllah,
Ṣāliḥ ‘Āmir Fu’ād al-Ja‘farāwī
12 Oktober 2025
Inilah wasiat yang telah berpesan untuk disebarkan oleh al-marhum Ṣāliḥ selepas kesyahidannya.