14/05/2019
Bismillah. Hari ini sudah genap setahun kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negeri Johor. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada majoriti rakyat Johor yang memberikan kepercayaan dan mandat kepada Pakatan Harapan untuk menerajui seterusnya membawa Johor ke arah menjadi negeri yang berprestasi tinggi.
Sepanjang tempoh setahun pentadbiran, Johor merupakan satu-satunya negeri yang telah melaksanakan semua janji pada pilihanraya umum yang lalu selain melaksanakan beberapa inisiatif baharu seperti mereformasi sektor perumahan, meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk Felda dan menyelesaikan hutang tertunggak kepada Kerajaan Persekutuan melibatkan projek bekalan air bernilai RM 189.38 juta atau 57% daripada jumlah keseluruhan.
Kejayaan itu sudah semestinya mustahil dicapai tanpa kerjasama erat seluruh kakitangan awam Johor yang komited menggalas tanggungjawab yang diamanahkan walaupun berlaku perubahan kepada pucuk pimpinan kerajaan. Terima kasih diatas kerjasama dalam merealisasikan segala inisiatif kerajaan Pakatan Harapan.
Saya dan barisan kepimpinan akan terus membulatkan tekad untuk meningkatkan lagi kebolehan Negeri Johor dalam pelbagai aspek supaya nama Johor kekal melakar sejarah, subur sekali gus diteladani.
Adalah menjadi iltizam saya dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan, untuk melaksanakan pembangunan Johor dengan konsep “ Daripada Rakyat, Kepada Rakyat " melalui Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.
Pelan pembangunan yang dirancang ini adalah untuk memacu Bangsa Johor kearah sebuah bangsa yang berfikiran kelas pertama dengan penekanan kepada modal yang progresif, inklusif dan bestari.
Negeri Johor amat bertuah kerana kita mempunyai cara dan lunas yang tersendiri dalam membina sebuah negeri yang berintelektual dan berpembangunan. Cara kita adalah unik, segala proses kemajuan seharusnya menitik beratkan konsep “ Muafakat Itu Berkat ” agar kesannya dikecapi seadilnya oleh seluruh rakyat Johor.
Mohon kongsi infografik ini kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain.
" Muafakat itu Berkat "
" Saya akan terus bekerja dan berkhidmat untuk rakyat "
Dato' Dr. Sahruddin Jamal
Menteri Besar Johor