21/08/2026
PROGRAM CIRCLE LELAKI QAWWAM SIRI 1 PEMANGKIN JATI DIRI MUSLIMIN UTM
SKUDAI, 20 Ogos – Unit Latihan dan Dakwah, Seksyen Jaringan dan Dakwah, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program Circle Lelaki Qawwam Siri 1: Menjadi Imam Sempurna. Program yang berlangsung pada hari Khamis di Dewan Al-Ghazali, Masjid Sultan Ismail (MSI) ini telah menarik penyertaan hampir 30 orang peserta dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus.
Penganjuran modul Siri 1 ini memberikan tumpuan mendalam terhadap adab dan syarat kelayakan utama bagi seseorang memimpin solat. Selain menekankan kelebihan dan keutamaan solat berjemaah, para peserta turut dibimbing secara praktikal menerusi fasa bimbingan bacaan surah-surah lazim dalam solat bagi memastikan mutu bacaan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Inisiatif khas Circle Lelaki Qawwam ini diwujudkan sebagai wadah khusus buat golongan Muslimin untuk mendalami ilmu-ilmu fardu ain dan kemahiran keagamaan secara interaktif. Usaha ini menjadi pemangkin penting dalam membentuk jati diri lelaki sejati yang berilmu, berkeyakinan tinggi, serta bersedia mengalas tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.
Melalui sambutan berterusan ini, Pusat Islam UTM berharap dapat melahirkan lebih ramai kepimpinan lelaki yang mampu mengimami solat bukan sahaja di masjid atau surau, malah memimpin keluarga dan komuniti demi membina kepimpinan ikhlas berteraskan ajaran Islam.
UNIT LATIHAN DAN DAKWAH
SEKSYEN JARINGAN DAN DAKWAH
PUSAT ISLAM
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
UTM Student Affairs & Alumni
ZAKAT UTMJB