13/04/2020
Bakal Pengatin, Bersabarlah...
Saban hari kami menerima pertanyaan demi pertanyaan dari pasangan-pasangan yang terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan mereka disebabkan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 semenjak 18 Mac 2020 yang lalu.
Sedih dan pedihnya hati kami tatkala terpaksa memaklumkan majlis akad nikah dan sebarang majlis perkahwinan perlu ditangguhkan sepanjang tempoh PKP ini sedangkan kami sedar semuanya telah dirancang dengan sebaik mungkin sebelum semua ini berlaku.
Begitulah resamnya kita sebagai hamba Allah s.w.t. yang penuh dengan kelemahan, kita hanya mampu merancang sebaik mungkin, namun Allah s.w.t adalah sebaik-baik perangcang, dan sebagai orang yang beriman, kita terima semua takdir ini dengan redha dan meyakini pasti ada hikmah yamg lebih besar yang sedang direncanakan oleh Allah terhadap hamba-hambanya.
Sepanjang tempoh ini, kami berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan kami, namun apakan daya, kami hanya mampu berusaha dan kami juga perlu akur dengan sebarang keputusan pihak kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri sebagai ulil amri.
Mereka juga berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kita semua dan dalam suasana hari ini, mereka sangat-sangat perlu meletakkan maslahah rakyat sebagai keutamaan yang paling tinggi terutama sekali dari sudut kesihatan dan keselamatan nyawa memandangkan krisis kesihatan yang berlaku ini nyawa adalah menjadi taruhan.
Harus difahami bahawa tindakan ini bukanlah dengan niat sengaja untuk menyusahkan mana-mana pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, jauh sekali dengan tujuan menyekat sesuatu yang telah diharuskan oleh hukum syarak. Namun kita harus sedar bahawa tindakan yang diambil ini juga adalah sebahagian daripada kehendak syarak atau maqasid syariah yang lebih utama iaitu memelihara nyawa, dan dalam usaha mencapai matlamat itu kerajaan mempunyai tanggungjawab besar bagi menolak mudarat lebih besar yang bakal berlaku sekiranya tindakan drastik tidak diambil, dan sebagai rakyat wajiblah kita patuh kepada arahan ini demi kebaikan kita semua.
Ada yang memohon supaya diberi kelonggaran untuk sekadar mengadakan majlis akad yang ringkas sahaja dengan mengikuti garis panduan tertentu, namun permintaan itu tidak dapat kami penuhi. Segala keputusan yang dibuat ini adalah setelah difikirkan dan mengambil kira segala risiko yang bakal berlaku. Apatah lagi, sekiranya ia dibenarkan, permintaan demi permintaan akan berlanjutan dan ia akan semakin sukar dikawal sekaligus menggagalkan usaha kawalan pergerakan ini. Dalam saat yang getir ini, kegagalan bukanlah suatu pilihan.
Buat masa ini, biarlah kita berkorban sedikit perasaan dan bersabar dengan sedikit waktu mudah-mudahan majlis yang kita rancang di awalnya dapat dibuat dengan lebih sempurna selepas tamatnya tempoh PKP ini dan semua orang akan lebih selesa untuk bergerak dan bersilaturrahim sesama kita. Kerana matlamat perkahwinan itu tidaklah hanya bertujuan menyatukan dua jasad, bahkan menyatukan hati dua keluarga yang bertujuan berkasih sayang kerana Allah.
Kami harapkan para bakal pengantin, menggunakan masa yang ada ini untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan amalan dan meningkatkan ilmu kerumahtanggaan dan ilmu-ilmu keagamaan yang amat diperlukan dalam melayari rumah tangga agar terbinanya rumah tangga yang penuh kasih sayang dan ketenangan.
Justeru, sama-samalah kita memohon kepada Allah s.w.t agar kita juga dipelihara daripada apa juga kemudaratan dan dijauhi daripada sebarang perasaan dan hasutan syaitan yang mengajak kepada perbuatan-perbuatan dosa serta dikuatkan iman dalam mencapai tingkatan taqwa. Semoga Allah s.w.t memberikan pemeliharaan yang sebaik-baiknya buat kita semua.
Di kesempatan ini juga, kami mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada semua bakal pengantin yang memahami dan menerima ujian ini dengan penuh sabar. Kami doakan semoga Allah memberikan segala kemudahan dalam segala urusan anda semua serta ditentukan tarikh dan natijah yang terbaik dalam perkahwinan anda semua hasil dari sikap sabar dan redha yang ditunjukkan.
Sudah pasti ada hikmah yang kita masih belum kita ketahui disebalik berlakunya semua ini. InsyaAllah kita yakin segala perancangan Allah itu adalah yang terbaik buat hamba-hambanya.
Semoga Allah memberikan keampunan dan kasih sayangnya kepada kita semua.
Jazaakumullahu khaira jazakk
13 April 2020