08/01/2026
Pernyataan Rasmi Status Terkini Jawatankuasa Agung (JK Agung) PSSPGM
Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa status terkini Jawatankuasa Agung (JK Agung) PSSPGM adalah sah, berkuat kuasa dan menepati sepenuhnya Perlembagaan PSSPGM, hasil daripada pemilihan semula yang telah dilaksanakan melalui Persidangan Perwakilan Agung Luar Biasa (Extraordinary General Meeting) – EGM) pada 6 Disember 2025 (Sabtu). EGM tersebut diadakan susulan perletakan jawatan mantan Presiden PSSPGM pada 20 November 2025, yang kemudiannya diikuti p**a perletakan jawatan oleh beberapa orang Ahli JK Agung selepas itu.
Bagi memastikan kelangsungan tadbir urus serta kelancaran pengurusan pertubuhan, Naib Presiden 1 dan Penolong Setiausaha Agung selaku pihak berautoriti tertinggi pada masa tersebut telah bermesyuarat tergempar bersama beberapa AJK yang masih kekal dalam jawatan dan telah membuat keputusan mengikut perlembagaan PSSPGM. Bagi memastikan seluruh 100 Cawangan & Bahagian Negeri terus aktif dan sah bergerak disisi undang-undang, telah diputuskan supaya mengadakan Persidangan Perwakilan Agung Luar Biasa (PPA-LB / EGM) bagi tujuan pelantikan semula Jawatankuasa Agung. Mesyuarat ini telah dilaksanakan dengan mematuhi semua kehendak perlembagaan, termasuk tempoh notis 14 hari serta kehadiran perwakilan yang mencukupi melebihi kuota 25 orang, sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan. Pihak ROS telah dirujuk dan maklumat EGM telah diperolehi dan dipatuhi.
Sepanjang tempoh 14 hari sebelum EGM berlangsung, Jawatankuasa Pemilihan tidak menerima sebarang bantahan, larangan atau halangan daripada mana-mana pihak, sama ada secara bertulis atau lisan. Keadaan ini juga kekal sepanjang EGM berlangsung, tanpa sebarang bantahan rasmi dikemukakan.
Jawatankuasa Pemilihan turut menerima pencalonan secara rasmi daripada Cawangan, Bahagian Negeri serta Majlis-Majlis Eksekutif berkaitan PSSPGM bagi tujuan pelantikan Jawatankuasa Agung yang baharu. Semua pencalonan adalah terbuka dan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan PSSPGM. Semua calon adalah sah, memenuhi syarat kelayakan serta tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak.
Seramai 165 orang perwakilan telah hadir semasa EGM berlangsung, melepasi jumlah wajib bermesyuarat dan keputusan pemilihan Jawatankuasa Agung telah dibuat secara sebulat suara, mencerminkan persetujuan penuh serta sokongan kolektif perwakilan yang hadir.
Sebagai langkah ketelusan dan pematuhan kepada amalan tadbir urus yang baik, kehadiran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan, dan makluman kepada wakil Pendaftar Pertubuhan (ROS) turut dibuat semasa EGM berlangsung.
Untuk makluman bersama, Presiden PSSPGM pada masa ini, iaitu TG Cikgu Shamsunputra, sedang menunaikan ibadah umrah. Sehubungan itu, pihak pertubuhan dengan penuh hormat memohon agar semua pihak dapat bertenang, berlapang dada dan memberi ruang secukupnya kepada kepimpinan semasa untuk mengatur semula pergerakan serta pentadbiran pertubuhan agar dapat berjalan baik seperti biasa.
Isu-isu yang berbangkit sejak beberapa hari kebelakangan ini diharap dapat diredakan demi menjaga keharmonian, perpaduan serta kepentingan keseluruhan ahli dan pertubuhan. Segala urusan akan ditangani secara berhemah, berperingkat dan selaras dengan perlembagaan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, segala keputusan dan pelantikan Jawatankuasa Agung yang dibuat melalui EGM berkenaan adalah muktamad, sah dari segi perlembagaan dan undang-undang, serta wajar dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak tanpa sebarang pengecualian. Laporan EGM telah diluluskan oleh ROS dengan barisan AJK Agung yang baru dan terkini.
Alamat PSSPGM masih kekal seperti perlembagaan dan sah disisi undang-undang ROS (Akta Pertubuhan 1966) F399 Kampung Guar Nenas, 08300 Gurun, Kedah Darul Aman
Rumusan bagi pihak Pusaka Gayong kemelut ini berlaku ialah kerana kurang memahami fungsi dan peranan di antara Pentadbiran Organisasi Pertubuhan, Perguruan dan Legasi Sanad Kekeluarga. Kefahaman dan kecelaruan antara Perlembagaan, Adat Istiadat, Kejurulatihan juga kehendak ahli berlandaskan perlembagaan juga menjadi faktor utama.
Tindakan pihak kami, akan terus mentadbir dan mengurus segala aktiviti Pusaka Gayong seperti kebiasaan dan menghormati penubuhan Gayong Pusaka dengan aktiviti-aktiviti mendatang. Semoga dengan wujudnya kedua pertubuhan yang bersaudara ini akan merancakkan kemajuan Gayong dari masa ke semasa.
Di harap semua dapat menghormati dan menghargai pengorbanan Ayahanda kita Pendita Utama YM Dato' Dr. Raja Abdul Majid Bin Mat Isa dalam membangunkan dan mengembangkan PSSPGM selama ini.
Majlis Jawatankuasa Agung
Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia
Nombor Pendaftaran PPM-006-02-28031978 (28 Mac 1978)
8 Januari 2026