08/05/2026
*MAKLUMAN DAN PERINGATAN KEPADA JEMAAH MASJID SERTA PESERTA PERHIMPUNAN AMAN*
*BERKAITAN PERHIMPUNAN AMAN BANTAHAN PROJEK PEMBANGUNAN LOT 642 (TANAH TELEKOM), BANDAR GELUGOR*
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dimaklumkan bahawa pihak Pengurusan Kariah Masjid At-Taqwa Taman Brown Taman Tun Sardon telah menerima makluman serta kebenaran bersyarat daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berhubung penggunaan kawasan tapak parkir masjid bagi tujuan Perhimpunan Aman yang akan diadakan pada hari ini.
Sehubungan itu, pihak masjid ingin mengingatkan semua jemaah serta peserta perhimpunan supaya mematuhi syarat-syarat berikut:
1. *Masjid sebagai institusi penyatuan ummah*
Masjid At-Taqwa berperanan sebagai entiti pemudahcara kepada permasalahan masyarakat setempat secara harmoni, berhemah dan mengikut lunas undang-undang serta adab Islam. Semua pihak diminta menjaga kesucian, keharmonian dan imej institusi masjid sepanjang program berlangsung.
2. *Penggunaan tapak parkir masjid adalah atas kebenaran bersyarat*
Pihak masjid telah memohon serta memperoleh kebenaran daripada MAINPP untuk membenarkan penggunaan kawasan tapak parkir masjid bagi tujuan perhimpunan aman agar:
🚨tidak mengganggu kelancaran urusan ibadah dan jemaah masjid;
🚨tidak menjejaskan ketenteraman penduduk sekitar; dan
🚨memastikan peserta berhimpun di kawasan yang lebih terkawal dan tersusun.
3. *Larangan unsur politik di kawasan masjid dan perkarangannya*
Selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh MAINPP, adalah ditegaskan bahawa *tiada sebarang unsur politik kepartian dibenarkan* berada di dalam kawasan masjid termasuk kawasan parkir dan perkarangan masjid. Larangan ini termasuk tetapi tidak terhad kepada:
❌bendera parti politik;
❌banner, banting dan poster politik;
❌pakaian, baju atau logo parti politik;
❌slogan, laungan, ucapan atau kenyataan berbaur provokasi politik;
❌sebarang bentuk bahan atau simbol yang boleh menimbulkan ketegangan, hasutan atau perpecahan.
4. *Peserta hendaklah menjaga ketenteraman dan keselamatan awam*
Semua peserta diminta:
✅mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan pihak berkaitan;
✅menjaga adab serta tingkah laku sepanjang perhimpunan;
✅tidak melakukan provokasi, hasutan atau tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat;
✅memastikan kebersihan serta kesucian kawasan masjid sentiasa dipelihara.
5. *Pemantauan oleh Biro Keselamatan Masjid*
Pihak masjid telah menugaskan Biro Keselamatan Masjid untuk memantau perjalanan program dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu atau peserta yang gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MAINPP dan pihak berkuasa.
6. *Penafian tanggungjawab pihak masjid*
Sebarang tindakan, kelakuan atau insiden negatif yang berlaku sebelum, semasa atau selepas perhimpunan adalah di bawah tanggungjawab individu yang terlibat. Pihak Pengurusan Masjid tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, kekacauan atau kejadian yang tidak diingini.
Untuk makluman semua, sebarang pelanggaran terhadap syarat yang telah ditetapkan boleh menyebabkan tindakan diambil terhadap pihak Pengurusan Masjid oleh pihak berkuasa berkaitan.
Kerjasama semua pihak dalam mematuhi garis panduan dan menjaga nama baik institusi masjid amatlah dihargai.
Sekian, terima kasih.
*“MASJID PENYATU UMMAH”*
Yang menjalankan amanah,
*PENGERUSI KARIAH*
Masjid At-Taqwa Taman Brown Taman Tun Sardon