20/02/2026
KULIAH JALANAN (HOKKIEN) & MAJLIS PENGISLAMAN
Masjid Jamek Haji Wahab (Simpang Enam), Komtar
Alhamdulillah… Satu Lagi Sejarah Indah di Masjid Kita 🤍
Pada Rabu, 11 Februari 2026 yang lalu, Masjid Jamek Haji Wahab (Simpang Enam) sekali lagi menjadi saksi hidayah Allah SWT melalui Program Kuliah Jalanan (Hokkien) yang berlangsung dari jam 4.30 petang hingga 6.30 petang.
Sekitar 50 orang saudara baharu berserta beberapa orang lagi yang baru mahu mengenali Islam yang hadir Bersama mengikuti pengisian ilmu dalam dialek Hokkien dalam suasana yang cukup harmoni dan penuh kasih sayang.
Namun, detik paling menyentuh hati apabila 5 insan dengan penuh rela dan kesedaran telah melafazkan syahadah, mengucap dua kalimah yang memisahkan kehidupan lama dan kehidupan baharu mereka sebagai seorang Muslim. 4 orang lagi perlukan masa untuk merenung dan memikirkan tentang Islam yang baru mereka kenali ini.
Suasana menjadi hening. Ada yang menitiskan air mata. Ada yang mengangkat tangan berdoa. Kita semua menjadi saksi bagaimana Allah memilih hamba-hamba-Nya untuk menerima cahaya Islam.
Semoga Allah SWT menetapkan hati mereka dalam iman, mempermudahkan perjalanan hidup mereka, dan menjadikan kita semua asbab kekuatan buat saudara-saudara baharu ini.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan I.K.U.T Pulau Pinang (MyIKUT) atas kerjasama, penyediaan makanan serta sumbangan Ang Pau sempena Tahun Baru Cina sebagai tanda kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti. Mereka juga akan menjadi da’i dan menyampaikan kalimah Allah kepada sanak-saudara mereka apabila mereka pulang menyambut Tahun Bari Cina bersama keluarga kelak.
Terima kasih juga kepada semua yang hadir memberi sokongan dan doa.
Masjid bukan sekadar tempat solat. Masjid adalah tempat hidayah bermula.
“Rahmah Itu Berkat.”