05/01/2022
Apa Kata Rasulullah SAW Soal Mimpi?
Mimpi, salah satu perkara yang ada dijelaskan oleh rasulullah SAW tentang hakikatnya dan cara mengendalikannya. Kita berpada pada apa yang disebut al-Quran dan sunnah sahaja, serta penjelasan para ulama terdahulu yang dijamin ilmu dan kesolehan mereka. Umumnya ada mimpi yang baik dan ada p**a mimpi yang buruk. Kadangkala mimpi hanyalah mainan tidur, kadangkala mimpi itu dari ALLAH, dan adakala mimpi itu datang dari syaitan.
Mimpi para Nabi dan rasul adalah benar belaka. Tapi untuk orang biasa seperti kita. Ada aturannya. Mudahnya begini:
1- Mimpi yang baik adalah dari ALLAH. Ia adalah khabar gembira dari ALLAH
2- Mimpi yang buruk adalah dari syaitan.
3- Mimpi yang hanya sekadar mainan tidur.
Buktinya Rasulullah SAW kata:
والرُّؤْيا ثَلاثَةٌ: فَرُؤْيا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنَ اللهِ، ورُؤْيا تَحْزِينٌ مِنَ الشَّيْطانِ، ورُؤْيا ممَّا يُحَدِّثُ المَرْءُ نَفْسَهُ، فإنْ رَأَى أحَدُكُمْ ما يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ، ولا يُحَدِّثْ بها النَّاسَ
Maksudnya: "Dan mimpi itu ada tiga: 1) Mimpi kebaikan itu adalah khabar gembira dari ALLAH, 2) mimpi yang menyedihkan (atau mimpi buruk) adalah dari syaitan, 3) dan mimpi seseorang igauan dalam dirinya. Dan jika mimpi salah seorang kamu pada apa yang dia benci (mimpi buruk) maka bangun dan solatlah serta jangan ceritakan (mimpi itu) kepada manusia" (H.R Muslim)
Jadi, mimpi yang buruk atau apa sahaja mimpi yang meyedihkan serta menggambarkan keburukan, sebenarnya ia mimpi dari syaitan. Ini jelas daripada zahir hadith itu sendiri. Soalnya, bagaimana kita berinteraksi dengan mimpi? Jawabnya dengan mengikuti pesanan rasulullah juga.
Kalau kita mimpi hal yang buruk-buruk, bencana, malapetaka, kejahatan atau apa sahaja unsur negatif, kita dilarang ceritakan pada sesiapapun, walaupun kepada orang yang kita sayang. Sebab Rasulullah SAW ada pesan:
فإنْ رَأَى أحَدُكُمْ ما يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ، ولا يُحَدِّثْ بها النَّاسَ
"Jika salah seorang kamu bermimpi apa yang benci, maka berdirilah dan solatlah dan janganlah diceritakan pada manusia" (HR Muslim)
Dalam riwayat lain
ولا يُخبِرْ بها أحدًا
"Jangan diceritakan tentangnya (mimpi buruk) kepada seseorang sekalipun" (HR Muslim)
Dalam riwayat lain, rasulullah SAW jelaskan bahawa mimpi yang buruk sedikit pun tidak memberi mudarat dan bahaya. Kata Rasulullah SAW:
وَلَا يُحَدِّثْ بهَا أَحَدًا فإنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ.
Maksudnya: "Dan jangan diceritakan mimpi itu pada seorang pun, kerana sesungguhnya mimpi buruk itu sama sekali tidak memudaratkannya" (HR Muslim)
Justeru, mimpi buruk sepatutnya jangan diceritakan kepada sesiapapun. Sebab ini arahan rasulullah SAW. Bagaimana kalau mimpi buruk itu benar-benar terjadi sebahagiannya? Walaupun benar, kita tidak boleh mempercayainya. Sebabnya rasulullah jelaskan dengan jelas, ia dari syaitan dan tidak memberi kesan bahaya pun pada kita, dengan izin ALLAH. Pada sudut lain, Sama seperti ketika rasulullah SAW ditanya tentang ramalan bomoh yang jadi kenyataan, rasulullah SAW juga melarang untuk percaya kerana dusta syaitan untuk menipu manusia. Begitulah mimpi buruk, ia dari syaitan.
Bila mimpi buruk, ada adab-adabnya iaitu:
1- Berhembus seolah-olah meludah ke sebelah kiri sebanyak 3 kali
2- Kemudian berlindung kepada ALLAH dari gangguan syaitan
3- Bangun dan solat 2 rakaat (sekiranya mampu)
4- Dan paling penting, jangan ceritakan pada sesiapa pun.
Kenapa berhembus seperti meludah ke arah kiri? Kata al- imam al-Qadhi Iyadh r.h, kerana kiri adalah kedudukan sesuatu yang buruk, dan kanan adalah tempat sesuatu yang baik. Mimpi buruk adalah sesuatu yang buruk samaada zahir mimpi itu sendiri atau tafsirannya.
Imam an-Nawawi r.h menjelaskan mengapa kita dilarang ceritakan mimpi buruk yang dialami? Beliau menyebut kemungkinan sebabnya ialah kerana mimpi buruk itu sendiri menjelaskan maksud yang buruk, itupun dengan takdir ALLAH yang menentukan kebenarannya. (Lihat: Imam an-Nawawi. Syarah Sahih Muslim. Jil. 8. Juz. 15. hlm 398. Dar al-Manan. Kaherah)
Jadi, rasulullah larang kita bercerita mimpi buruk. Kaedahnya ,apabila rasulullah SAW larang sesuatu, maka ia dilarang kerana wujud kerosakan. Ada kaedah:
النهي يدل على الفساد
"Larangan menunjukkan kerosakan" (Zakaria bin Ghulam Qadir al-Bakistani. Usul Fiqh 'ala Manhaj Ahli Hadith. hlm 97. Dar al-Kharaz)
Bagaimana kalau mimpi yang baik-baik p**a? Atau mimpi yang indah-indah? Kalau mimpi baik, maka kita jangan ceritakan juga. Cuma kalau mahu diceritakan juga, Nabi SAW benarkan tetapi hanya kepada orang yang paling jujur, seperti ulama rabbani yang jujur, yang kita paling sayang dan dia pun sayang kita. Buktinya ada rasulullah kata:
الرُّؤْيا الصَّالِحَةُ مِنَ اللهِ، والرُّؤْيا السَّوْءُ مِنَ الشَّيْطانِ، فمَن رَأَى رُؤْيا فَكَرِهَ مِنْها شيئًا فَلْيَنْفُثْ عن يَسارِهِ، ولْيَتَعَوَّذْ باللَّهِ مِنَ الشَّيْطانِ، لا تَضُرُّهُ ولا يُخْبِرْ بها أحَدًا، فإنْ رَأَى رُؤْيا حَسَنَةً، فَلْيُبْشِرْ ولا يُخْبِرْ إلَّا مَن يُحِبُّ.
Maksudnya: "Mimpi baik itu dari ALLAH, dan mimpi buruk itu dari syaitan, sesiapa yang melihat dalam mimpinya sesuatu yang buruk darinya maka hendaklah dia menghembus (seolah-olah meludah) ke kirinya, dan mimpi itu tidak akan sekali-kali mendatangkan malapetaka, dan jangan p**a mimpi itu diceritakan kepada sesiapapun. Maka sesiapa yang mimpi baik, maka itu khabar gembira dan janganlah diceritakan kepada sesiapa kecuali kepada orang yang dia cinta" (HR Muslim)
Kata imam an-Nawawi r.h:
وأما قوله صلى الله عليه وسلم في رؤيا المحبوبة الحسنة (لا تخبر بها إلا من يحب) فسببه أنه إذا أخبر بها من لا يحب ربما حمله البغض أو الحسد على تفسيرها بمكروه ، فقد يقع على تلك الصفة وإلا فيحصل له في الحال خزن ونكد من سوء تفسيرها. و الله أعلم
"Dan adapun perkataan rasul SAW dalam soal mimpi yang disukai (iaitu jangan engkau ceritakan tentangnya kecuali kepada orang yang engkau cinta), maka sebabnya kerana sesungguhnya apabila mimpi itu diceritakan kepada orang yang tidak dicintai boleh jadi akan membawanya kepada kebencian atau dengki di atas andaian ianya mimpi yang tidak baik, maka dia mungkin termasuk dalam sifat buruk itu, ataupun akan mendatangkan kesedihan dan putus asa dari tafsiran buruk mimpi itu. Wallahu a'lam" (imam an-Nawawi. Syarah Sahih Muslim. Jil 8. juz. 15. hlm 398. Dar al-Manaan. Kaherah)
Justeru, kalau dapat mimpi buruk, janganlah diceritakan pada sesiapa. Berlindunglah dari syaitan. Dan seperkara lagi mimpi tidaklah dapat menjadi hujah syarak untuk memutuskan hukum wajib atau haram, atau untuk menentukan sah atau batal, atau untuk menentukan hukum taklifi seperti fardhu, haram, wajib, mubah, makruh dan sunnat. Mimpi hanyalah mimpi dengan disiplin yang rasulullah SAW ajarkan. Rasulullah hanya tinggalkan al-quran dan hadith. Sumber rujukan dalam syarak hanyalah al-Quran dan hadith, alat-alat lain untuk memahami teks al-quran dan sunnah semuanya sudah dipelajari dan disusun oleh para fuqaha' dalam ilmu usul fiqh. Mimpi tidak termasuk alat untuk ijtihad hukum. Itu soal hukum, tapi lebih dari itu semua soal iman, akhlak, adab dan hukum sudah dijelaskan oleh rasulullah SAW sebagaimana kata ALLAH Taala:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: "Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku lengkapkan ke atas kamu nikmatku dan Aku telah reda bagi kamu al-Islam sebagai sebuah agama" (Surah al-Maidah:3)
Islam sudah sempurna. Tidak ada yang terlepas pandang. Rasulullah SAW nyatakan secara terang:
إنَّهُ ليس شيءٌ يُقَرِّبُكُمْ إلى الجنةِ إلَّا قد أَمَرْتُكُمْ بهِ ، و ليس شيءٌ يُقَرِّبُكُمْ إلى النارِ إِلَّا قد نَهَيْتُكُمْ عنهُ
Maksudnya: "Sesungguhnya tidak ada suatupun yang dapat mendekatkan kamu ke syurga kecuali aku telah menyuruh kamu kepadanya, dan tidak ada suatu hal pun yang mendekatkan kamu ke neraka kecuali aku telah melarang kamu darinya". (HR al-Baihaqi dan Ibn Abi Syaibah)
Kaedah asas dalam hal ini:
الدليل هو الأصل الذي تبنى عليه القاعدة أو المسألة
"Dalil adalah asas pembinaan kaedah atau persoalan"Zakaria bin Ghulam Qadir al-Bakistani. Usul Fiqh ala Manhaj Ahli Hadith. hlm 14. Dar al-Kharaz)
Baik sangka, mungkin masyarakat tidak tahu, mungkin saudara-saudara kita ada yang terlepas pandang atau berbagai uzur sebagai masyarakat biasa. Tapi yang kadangkala tidak kurang kerasnya ialah para pendakwah yang bukan jadi pendakwah tapi pendakwa. Semua orang salah, seperti tidak ada sisi positif dalam fikiran sebahagian orang yang mengaku belajar agama. Dianggapnya orang salah itu semua satu tahap seperti musuh ALLAH.
Jadi maksudnya kalau salah pun, berilah semangat pada masyarakat untuk terus berada di atas jalan kebaikan. Bimbing dengan sabar, bukan "balun". Kalau anda jelaskan sesuatu hukum, jangan bayang orang lain bagaikan ahli neraka, kufur dan jahat di otak anda. Berdakwah patut dengan sabar, positif dan makan masa lama. Kalau jelaskan hukum berilah solusi. Bukan sekadar menghukum dan akhirnya nasihat yang hanya sebuah kemarahan, dendam dan kebengisan.
Emas itu bernilai, tidak diketahui ianya berharga oleh orang biasa. Kalau emas diterangkan makna, kelebihan dan hakikatnya, nescaya manusia akan terima ia sebagai bahan berharga. Tapi kalau emas dilempar dan dihambur ke muka orang lain, bahan berharga tidak akan dihargai oleh manusia.
Berdakwahlah jangan bengis. Pendakwah bukan pendakwa!
-ibn otuh salleh-
Dikongsikan oleh: Amirul Mukminin Al-Faruq