15/05/2026
“Aku Ikut Hati”: Hati Itu Panduan atau Ujian?
“Aku cuma ikut hati aku".
Ayat ini nampak biasa,
Tetapi ramai manusia jatuh, kerana terlalu percaya kepada hati yang belum sembuh.
Ada yang ikut hati lalu membenci ibu ayah.
Ada yang ikut hati lalu meninggalkan solat.
Ada yang ikut hati lalu memilih hubungan yang Allah larang.
Dan ada juga yang ikut hati sehingga perlahan-lahan hilang dirinya sendiri.
Hakikatnya,
tidak semua yang kita rasa itu benar.
Dan tidak semua yang hati mahu itu baik untuk jiwa.
Kerana hati manusia, boleh menjadi panduan.
Tetapi hati juga boleh menjadi ujian.
Allah berfirman:
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya?”
(Surah al-Jathiyah: 23)
Ayat ini sangat dalam.
Kadang-kadang kita rasa kita bebas membuat pilihan.
Tetapi sebenarnya kita sedang diperhambakan oleh emosi sendiri.
Marah yang tidak dikawal.
Rindu yang salah tempat.
Kecewa yang terlalu dipeluk.
Sunyi yang membuat kita mencari cinta pada manusia melebihi Tuhan.
Semua itu bermula dari satu perkara…
“Hati aku nak.”
Sedangkan hati manusia berubah-ubah.
Hari ini kita s**a.
Esok kita menyesal.
Hari ini kita yakin dia terbaik.
Esok kita menangis kerana dia yang paling melukakan.
Sebab itu Rasulullah SAW sering berdoa:
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
(Riwayat Tirmizi)
Lihat…
Nabi pun berdoa agar hati baginda diteguhkan.
Kerana hati manusia tidak selalu stabil.
Dalam dunia kaunseling, ramai orang sebenarnya bukan lemah.
Mereka cuma terlalu lama membuat keputusan berdasarkan emosi yang tidak dirawat.
Bila kecewa… terus mahu menghilang.
Bila sunyi… terus mencari perhatian.
Bila terluka… terus menolak semua orang.
Kadang-kadang kita tidak perlukan keputusan besar.
Kita cuma perlukan hati yang tenang sebelum membuat pilihan.
Kerana hati yang sedang sakit…
sering melihat dunia dengan luka, bukan dengan hikmah.
Ada beza antara:
ikut hati yang dipandu iman,
dengan
ikut hati yang dipandu emosi.
Hati yang dipandu iman akan membawa kita dekat dengan Allah.
Walaupun jalannya berat.
Tetapi hati yang dipandu nafsu…
akan membuat kita memilih apa yang sedap dirasa, bukan apa yang baik untuk jiwa.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.”
(Surah al-Hajj: 46)
Kadang-kadang hati kita buta kerana terlalu lama kecewa.
Kita mula percaya:
“Aku tak layak bahagia.”
“Tiada siapa faham aku.”
“Aku penat jadi kuat.”
Sedangkan mungkin Allah sedang menunggu kita kembali berbicara dengan-Nya.
Kerana hati yang jauh dari Allah…
akan mudah kosong walaupun dikelilingi manusia.
Dan hati yang dekat dengan Allah…
akan tetap tenang walaupun sedang diuji.
“Aku ikut hati…”
Tidak salah mendengar hati.
Tetapi pastikan hati itu sudah dibersihkan dengan doa, sabar dan iman.
Kerana hati yang tidak dijaga…
mudah dipengaruhi syaitan, trauma dan luka lama.
Kadang-kadang apa yang kita anggap “ketenangan” hanyalah pelarian sementara.
Contohnya:
kita masuk hubungan haram sebab mahu rasa dihargai,
kita marah semua orang sebab hati terlalu penat,
kita menjauh dari Tuhan sebab rasa hidup tidak adil.
Padahal…
itu bukan kebebasan.
Itu luka yang belum sembuh.
Dan luka yang tidak dirawat…
akan membuat seseorang mencari kebahagiaan di tempat yang salah.
Sebab itu Islam tidak hanya mengajar kita menjaga amal.
Tetapi menjaga hati.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad. Jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hati menentukan arah hidup seseorang.
Jika hati dipenuhi dendam, hidup akan gelap.
Jika hati dipenuhi cinta dunia, jiwa akan penat.
Tetapi jika hati dipenuhi Allah, manusia akan belajar reda walaupun tidak semua yang diinginkan dimiliki.
Jadi, sebelum berkata:
“Aku cuma ikut hati.”
Tanya dahulu pada diri:
Adakah hati ini sedang tenang?
Atau sebenarnya sedang luka?
Adakah hati ini mendekatkan aku kepada Allah?
Atau menjauhkan aku daripada-Nya?
Kerana tidak semua yang hati mahu itu tanda bahagia.
Kadang-kadang,
Allah tidak memberi apa yang kita mahu kerana Dia tahu hati kita sedang terlalu lemah untuk membezakan antara cinta dan ujian.
Dan percayalah,
Hati yang paling indah bukan hati yang selalu mendapat apa yang diinginkan.
Tetapi hati yang tetap memilih Allah walaupun sedang hancur perlahan-lahan.