28/06/2022
Kita telah sampai kepada awal Zulhijjah yang mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Justeru, Bayan Lil Haj pada kali ini dinamakan dengan keistimewaaanya dan fadhilat 10 awal Zulhijjah.
Untuk memahami kelebihan, fadhilat dan keistimewaanya, kami nukilkan daripada kitab Lata'if Al-Maarif oleh Ibnu Rajab al-Hanbali.
Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
Maksudnya : "Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."
Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)
Perbahasan tentang kelebihan 10 hari terawal Zulhijjah terdapat dalam 2 fasal : Kelebihan beramal dalam waktu itu dengan hadis ini menjadi dalilnya, dan kelebihannya yang tersendiri.
FASAL PERTAMA : Kelebihan beramal soleh pada 10 hari tersebut.
Hadis menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian.Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisi-Nya.
Hadis ini juga turut diriwayatkan dengan lafaz,
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ أفضل من أيام العَشْر
Maksudnya : "Tiada hari-hari amalan yang dilakukan padanya menjadi afdal berbanding 10 hari awal Zulhijjah."
Hadis ini juga diriwayatkan dengan terdapat keraguan disisi perawi pada lafaz: Paling disukai atau afdal. Apabila sesuatu amalan dalam 10 hari ini dan lebih disukai oleh Allah berbanding amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain dalam setahun, maka jadilah amalan yang kurang utama yang dikerjakan dalam 10 hari ini afdal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya.Sebab itulah, para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah,walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya ?", Baginda bersabda, "Walaupun jihad, ia tidak menandinginya."Kemudian, Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad kerana baginda juga pernah ditanya, "Manakah jihad yang afdal?",Baginda menjawab, "Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid[1]."Orang demikian mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Nabi SAW telah mendengar seorang lelaki berdoa,
اللَّهُمَّ اعْطِني أَفْضَلُ ما تُعطِيْ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya : "Ya Allah, Berikanlah kepadaku sebaik-baik pemberian yang engkau berikan kepada hamba-Mu yang soleh."
Lalu baginda bersabda kepadanya,
إِذَنْ يُعْقَرُ جَوَادُكَ ، وَتَسْتَشْهِدُ
Maksudnya : "Oleh itu, pastikan (Kamu berjihad sehingga) kudamu mati ditikam dan kamu mati syahid."
Riwayat Ibnu Hibban (4639), al-Hakim (2/74) di dalam al-Mustadrak