18/02/2026
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bulan Ramadan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Selain menjadi pilihan bulan yang diwajibkan berpuasa bagi orang Islam, Ramadan juga mempunyai kemuliaan bulan yang dicatatkan dalam sejarah iaitu penurunan al-Quran.
Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ
“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran...”
Allah SWT menyatakan kelebihan bulan Ramadan kerana dipilih bagi menurunkan Al-Quran. Al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Bayt al-‘Izzah di langit dunia secara keseluruhan, lalu diturunkan dengan perantaraan Malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat.
Para ulama’ meriwayatkan bahawa al-Quran tidak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara keseluruhan dalam satu masa. Ia disampaikan secara sedikit demi sedikit berdasarkan sebab penurunan dan keperluan pelaksanaannya pada zaman itu. Tujuannya supaya pelaksanaan dan didikan lebih berkesan sehingga mengambil masa selama 23 tahun bagi disempurnakan.
Di sini menunjukkan bulan Ramadan mempunyai rahsia dan kelebihan yang lebih besar daripada segala bulan yang lain.
Selain itu, banyak sejarah kemenangan Islam berlaku pada bulan Ramadan yang menjadi kelebihannya seperti peristiwa Badar, Fathu Makkah, dan lain-lain.
Bulan Ramadan merupakan bulan pesta ibadah buat umat islam.
Diberikan pahala yang banyak atas amal ibadah seperti bertadarus Al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar, bersedekah, solat tarawih, solat tahajud dan lain-lain di bulan ramadan.
Ramadan mendidik diri menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Marilah kita berusaha untuk menjadi hambanya yang bertaqwa.
Daripada : Nazir, Pegawai dan Jawatankuasa Masjid Al Mutmainnah