17/05/2025
BULETIN IQRA' : Kelab Iqra' UTM Raih Pembentangan Terbaik di Persidangan Helwi 2025
Tarikh: 17 Mei 2025
Tempat: Dewan Al-Ghazali, Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM Skudai
Skudai, 17 Mei – Kelab Iqra' Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menampilkan kecemerlangan apabila berjaya mendapat Pembentangan Terbaik dalam Persidangan Helwi 2025 yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Masjid Sultan Ismail (MSI), hari ini.
Persidangan anjuran Rakan Pusat Islam dan Pusat Islam UTM yang menghimpunkan wakil-wakil siswi dari pelbagai kelab dan persatuan ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu hal ehwal siswi serta menggerakkan sinergi antara organisasi dalam merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi serta bermanfaat kepada komuniti siswi UTM.
Kelab Iqra’ telah diwakili oleh Timbalan Presiden 2, Mawaddah Jamaluddin dan Setiausaha kelab, Intan Zulaikha, yang masing-masing menunjukkan komitmen tinggi dalam menyampaikan pembentangan mengenai inisiatif serta program-program yang telah dilaksanakan sepanjang sesi terdahulu. Antara program yang mendapat perhatian termasuklah Demure Beauty, Gegirls 2 Days 1 Night, Nihongo Class dan Siri Santai Siwi yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan mahasiswi.
Pihak penganjur turut memberi penghargaan atas usaha berterusan Kelab Iqra' dalam memupuk nilai-nilai Islam dan memperkasakan peranan siswi dalam komuniti kampus.
Dengan pencapaian ini, Kelab Iqra’ UTM berhasrat untuk terus menjadi peneraju dalam menggerakkan inisiatif kerohanian dan pembangunan diri yang inklusif dan relevan untuk generasi siswi masa kini.
Kelab Iqra' UTM
Al-Quran | Ukhuwwah | Mahabbah