21/08/2026
𝐒𝐔𝐋𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐇𝐀𝐍𝐆 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐄𝐍𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐊𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐉𝐈𝐃 𝐀𝐋-𝐒𝐔𝐋𝐓𝐀𝐍 𝐀𝐁𝐃𝐔𝐋𝐋𝐀𝐇 𝐑𝐈'𝐀𝐘𝐀𝐓𝐔𝐃𝐃𝐈𝐍 𝐀𝐋-𝐌𝐔𝐒𝐓𝐀𝐅𝐀 𝐁𝐈𝐋𝐋𝐀𝐇 𝐒𝐇𝐀𝐇, 𝐓𝐄𝐋𝐎𝐊 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐍𝐎
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Sematan, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan di hadapan Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Turut hadir bersama ialah Yang Dihormat Mulia Orang Kaya Indera Segara Tengku Dato' Sri Haji Zulkifly bin Tengku Temenggong Ahmad, Yang Berhormat Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia bin Awang Nassar, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, Yang Berhormat Dato' Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Yang Berhormat Dato' Sri Muhammad Safian bin Ismail, Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ,Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam, Yang Berbahagia Datuk Amar Hajah Jamilah binti Haji Anu, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu, Yang Berbahagia Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Yang Berhormat Encik Azizul Annuar bin Pehin Sri Haji Adenan, Ahli Dewan Undangan N.3 Tanjong Datu, Yang Berusaha Ustaz Hamdan bin Jar'ee, Pengarah JAKIM Sarawak merangkap Pengerusi Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua kaum serta masyarakat setempat.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda bertitah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama meraikan pembukaan sebuah lagi rumah Allah yang disifatkan bukan sekadar sebuah binaan yang indah, bahkan menjadi pusat penyatuan ummah, penyuburan ilmu, pemerkasaan akidah serta benteng dalam membentuk masyarakat yang beriman dan berakhlak mulia.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan usaha sehingga pembinaan masjid tersebut berjaya direalisasikan demi manfaat masyarakat setempat.