PONDOK HABIB

PONDOK HABIB Pondok Habib memberi kefahaman ASWJ Video Pilihan https://www.youtube.com/user/syeduum

25/08/2026
25/08/2026

Bersempena bulan Rabiulawal ini, mari kita kenali anak-anak Rasulullah ﷺ.

Baginda dikurniakan tujuh orang anak, tiga putera dan empat puteri. Enam orang lahir daripada Sayidatina Khadijah, manakala Ibrahim daripada Sayidatina Mariyah al-Qibtiyyah.

Besarnya ujian Rasulullah ﷺ sebagai seorang ayah. Enam daripada tujuh orang anak Baginda wafat ketika Baginda masih hidup. Hanya Sayidatina Fatimah yang menyusul kira-kira enam bulan selepas kewafatan Baginda.

Semoga dengan mengenali sirah dan keluarga Baginda, bertambah rasa cinta kita kepada Rasulullah ﷺ.

25/08/2026
25/08/2026
SAMBUTAN MAWLID DI MAKKAH SUATU KETIKA DULU (Ulang siar)Imam Ibnu Hajar al-Haitami رحمه الله تعالى dalam kitabnya al-Maw...
25/08/2026

SAMBUTAN MAWLID DI MAKKAH SUATU KETIKA DULU (Ulang siar)

Imam Ibnu Hajar al-Haitami رحمه الله تعالى dalam kitabnya al-Mawlid asy-Syarif al-Mu`adzdzham, Syeikh Ibnu Zahira al-Hanafi رحمه الله dalam al-Jami' al-Lathif fi Fasl Makkah wa Ahliha, ad-Diyabakri رحمه الله dalam Tarikh al-Khamis dan Syeikh an-Nahrawali رحمه الله dalam al-I'lam bi A'lami Bait Allah al-Haram, menulis senario sambutan Mawlid Nabi ﷺ di Makkah seperti berikut:-

♡ Setiap tahun tanggal 12 Rabi`ul Awwal, selepas sholat Maghrib, keempat-empat qadhi Makkah (yang mewakili mazhab yang empat) bersama-sama orang ramai termasuk segala fuqaha, fudhala` (orang kenamaan) Makkah, syeikh-syeikh, guru-guru zawiyah dan murid-murid mereka, ru`asa' (penguasa-penguasa), muta`ammamin (ulama-ulama) keluar meninggalkan Masjidil Haram untuk pergi bersama-sama menziarahi tempat Junjungan Nabi ﷺ dilahirkan. Mereka berarak dengan melaungkan zikir dan tahlil (mungkin di sini asalnya tradisi orang kita mengadakan perarakan Mawlid). Rumah-rumah di Makkah diterangi cahaya pelita dan lilin. Orang yang turut serta amat ramai dengan berpakaian indah serta membawa anak-anak mereka sekali. Setiba di tempat kelahiran tersebut, ceramah khas bersangkutan Mawlidin Nabi ﷺ disampaikan serta kebesaran, kemuliaan dan mu'jizat Junjungan Nabi ﷺ diceritakan. Setelah itu, doa untuk Sultan, Amir Makkah dan Qadhi Syafi`i (ini adalah kerana mazhab Syafi`i adalah yang paling dominan di Hijaz sebelum keluarga Saud memerintah Hijaz) dibacakan dengan penuh khusyu' dan khudu`. Setelah hampir waktu Isya`, barulah mereka berarak semula p**ang ke Masjidil Haram untuk menunaikan sholat Isya`.♡

• Kredit kepada teman al-faqir yakni al Fadhil Ustaz Adlan Sarawak حفظه الله atas tulisan beliau ini.

Pesanan Abuya as Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki Rahimahullahu Ta'ala;Kita memperingati Maulid Nabi bukan hanya pada har...
25/08/2026

Pesanan Abuya as Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki Rahimahullahu Ta'ala;

Kita memperingati Maulid Nabi bukan hanya pada hari kelahirannya, tapi selalu dan selamanya.

Di setiap waktu dan setiap kesempatan, ketika kita mendapatkan kegembiraan, lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran beliau iaitu Rabi’ul Awwal dan pada hari kelahiran Baginda hari isnin.

Tidak layak seorang yang berakal bertanya,

“Mengapa kamu memperingatinya?”

Seolah-olah dia bertanya,

“Mengapa kamu bergembira dengan adanya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam?"

Apakah sah bila pertanyaan ini timbul dari seorang yang islam, yang mengakui bahwa tidak ada Tuhan selain ALLAH dan Muhammad itu utusan ALLAH?

Pertanyaan tersebut adalah pertanyaan yang kurang cerdik dan tidak memerlukan jawapan.

Seandainya saya, jika harus menjawab, cukuplah saya menjawabnya demikian,

“Saya memperingatinya kerana saya gembira dan bahagia dengan Baginda. Saya gembira dengan Baginda. Sebab saya mencintainya dan saya mencintainya sebab saya seorang mukmin."

Wallahu A'lam.


Perayaan Maulidur Rasul saw.Soalan:Setiap tahun umat Islam mengadakan sambutan maulid Baginda Nabi saw. Dan kita dapati ...
25/08/2026

Perayaan Maulidur Rasul saw.

Soalan:

Setiap tahun umat Islam mengadakan sambutan maulid Baginda Nabi saw. Dan kita dapati ada orang yang mengingkari perbuatan tersebut dengan mengatakan bahawa ia adalah bidaah. Apakah hukum sebenar perbuatan tersebut ?

Jawapan:

Kelahiran Baginda Rasulullah saw merupakan pancaran rahmat Ilahi sepanjang sejarah kemanusiaan keseluruhannya.

Al-Quran telah mengungkap kewujudan Baginda Nabi saw sebagai rahmat bagi sekelian alam.

Rahmat ini bukanlah terbatas hanya pada mendidik manusia, menyuci jiwa, mengajar dan memberi petunjuk kepada mereka ke arah jalan yang lurus serta membangun kehidupan jasmani dan rohani mereka. Sebagaimana rahmat tersebut tidaklah hanya untuk zaman Baginda, bahkan ia berpanjangan dan berkekalan pada setiap zaman.

Firman Allah s.w.t

Ertinya: “Dan (juga diutus untuk kaum) yang lain dari mereka, belum pernah berhubungan dengan mereka. Dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Jumuah :3)

Merayakan hari kelahiran Baginda Rasulullah saw merupakan antara amalan yang paling mulia dan paling agung. Kerana ia adalah sebagai luahan kegembiraan dan kecintaan terhadap Baginda saw

Cinta kepada Baginda Rasulullah saw merupakan antara dasar-dasar iman yang utama. Baginda pernah bersabda :

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ.

Ertinya: “Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman qudratNya, tidaklah beriman seseorang kamu sehinggalah dia menyintai daku melebihi daripada kecintaannya kepada ibubapa dan anak-anaknya.

Sabda Rasulullah  :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ.

Ertinya: “Tidak (sempurna) imam seseorang kamu sehinggalah dia menyintai daku melebihi daripada anak, ibu bapa dan seluruh manusia.”

Ibnu Rajab berkata: “Cintakan Nabi saw itu merupakan antara dasar-dasar iman.

Dan ia sentiasa beriringan dengan cintakan Allah. Sesungguhnya Allah sendiri telah menggandingkannya dengan cinta Allah. Bahkan Allah mengancam mereka-mereka yang mendahulukan cinta yang lain, sama ada kaum kerabat, harta benda, tanah air dan lain-lain.”

Firman Allah :

Ertinya: “Katakanlah sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, perempuan-perempuanmu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, kalau semua itu kamu cintai lebih daripada Allah dan rasulNya dan daripada berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahnya (bala,ujian dan sebagainya) dan Allah tidak memberikan pimpinan / hidayah kepada kaum yang jahat/fasiq.”
(Surah At-Taubah : 24)

Ketika Sayidina Umar r.a berkata kepada Sayyidina wa Mawlana Rasulullah saw: “Engkau lebih ku cintai daripada segala sesuatu melainkan diriku” Lalu Baginda Rasulullah saw pun bersabda: “Tidak, wahai Umar, sehinggalah daku lebih kau kasihi dan cintai daripada dirimu.” Sayidina Umar pun lantas berkata: “Demi Allah, engkau sekarang lebih ku kasihi daripada diriku.” Sabda Baginda saw p**a: “Sekarang (sempurnalah iman kamu), wahai Umar.”

Merayakan hari kelahiran Baginda saw itu adalah manifestasi kehormatan terhadap Baginda saw sudah tentu menghormati Baginda Rasulullah saw itu merupakan sesuatu yang telah disyariatkan oleh agama.

Kerana mencintai dan menghormati Baginda Rasulullah saw dengan penuh adab itu merupakan dasar dan tiang agama yang utama (Bagindalah asal segala yang asal) [ أَصْلُ الْأُصْول].

Allah swt sahaja yang mengetahui betapa tinggi darjat dan kadar Baginda Rasulullah saw itu. Dialah Allah yang telah memperkenalkan kepada sekalian yang wujud tentang nama Baginda, tempat Baginda dibangkitkan, betapa tinggi maqam Baginda dan kedudukan Baginda saw.

Oleh itu, seluruh makhluk sentiasa dalam kegembiraan yang tidak terbatas dengan cahaya Allah itu (Rasulullah saw) Bagindalah yang dapat melepaskan sekalian makhluk daripada segala kesesatan, bala bencana dan lain-lain. Bagindalah nikmat yang agung yang diutus kepada seluruh alam dan Bagindalah hujah Allah kepada hamba-hambaNya.

Sesungguhnya Salafussoleh telah mengamalkan sambutan maulid semenjak kurun yang keempat dan kelima lagi. Mereka menghidupkan malam maulid dengan melakukan pelbagai ibadah seperti menjamu makanan, membaca al-Quran dan zikir, mendendangkan syair-syair dan puisi-puisi memuji Baginda Rasulullah saw.

Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ramai ahli sejarah dan ulama seperti Ibnu al-Jauzi, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan Khatimah al-Huffaz Syeikh Jalaluddin al-Suyuthi. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Ramai ulama dan fuqaha yang telah menulis tentang sambutan memperingati kelahiran Baginda Rasulullah saw dan mereka telah menerangkan dalil-dalil yang sahih betapa melakukan amalan ini adalah sunat dan sangat digalakkan.

Tiada seorang pun yang mempunyai akal yang waras, kefahaman yang jitu dan fikiran yang baik, mengingkari apa yang dilakukan oleh salafussoleh itu.

Ibnu al-Hajj telah memperincikan tentang sambutan Maulid Nabawi dalam kitab beliau “al-Madkhal”. Beliau telah menyebut tentang Maulid Nabawi itu satu keterangan yang sangat memberi faedah yang dapat melapangkan dada orang mukmin dan telah maklum kitab tersebut dikarang bertujuan untuk mencela bidaah sayyiah (yang dicela) yang direka-reka yang tidak mempunyai dalil syarak.

Khatimah al-Huffaz Syeikh Jalaluddin As-Suyuthi r.a berkata dalam kitab beliau “Husnu al-Maqshad Fi Amali al-Mawlid” tentang jawapan kepada soalan yang disampaikan kepada beliau tentang hukum menyambut Mawlid Nabawi pada bulan Rabiul Awwal:

“Apakah hukum melakukannya menurut pandangan syarak dan adakah ia terpuji atau tercela? Dan adakah orang yang melakukannya akan diberi pahala?” Beliau menjawab: “Dan jawapan bagi soalan tersebut di sisiku ialah: asal menyambut Maulid itu ialah berkumpulnya manusia, membaca sebahagian ayat al-Quran, meriwayatkan cerita maulid tentang kelakuan dan perihal Baginda Rasulullah saw, tanda-tanda istimewa dan keajaiban yang berlaku ketika Baginda dilahirkan. Kemudian dibuat jamuan kepada orang ramai dan mereka pun beredar tanpa menambah perkara yang lain (yang ditegah oleh syarak). Demikian itu adalah termasuk dalam bahagian bidaah hasanah kerana perbuatan tersebut adalah sebagai mengagungkan kadar Baginda Rasulullah saw dan melahirkan kegembiraan dan keceriaan dengan kelahiran Baginda Rasulullah saw yang mulia.”

Imam al-Suyuthi r.a telah menolak pandangan mereka yang mengatakan “Saya tidak mengetahui bahawa mengadakan sambutan Mawlid itu terdapat dalil daripada al-Quran dan Sunah.” Imam Suyuthi berkata: “Kejahilan tentang itu tidak dapat menafikan kewujudannya.”

Beliau telah menerangkan bahawa Imam al-Huffaz Abu al-Fadl Ibnu Hajar r.a telah mengeluarkan dalil daripada sunah (tentang galakan melakukan maulid itu). Manakala beliau sendiri (Imam Suyuthi r.a) telah mengeluarkan dalil-dalil lain sambil menerangkan bahawa bidaah yang tercela itu ialah bidaah yang tidak termasuk di bawah dalil-dalil syarak yang memujinya. Oleh itu, jika terdapat dalil syarak yang memuji, maka ia bukanlah yang tercela.

Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafii r.a bahawa beliau berkata: “Perkara-perkara baru (bidaah) ada dua bahagian, satu bahagian daripada keduanya ialah perkara baru yang menyalahi al-Quran, sunah, atsar ataupun ijmak – maka ini adalah bidaah dhalalah.

Bahagian kedua ialah perkara-perkara kebaikan yang baru yang tidak ada khilaf padanya oleh sesiapa pun dan tidaklah dicela oleh syarak dan bukan bidaah dhalalah, bahkan bidaah hasanah. Dan sesungguhnya Sayidina Umar Bin al-Khattab r.a pernah berkata tentang qiyam bulan Ramadhan, “Alangkah baiknya bidaah ini.” Ertinya ia adalah perkara baru yang tidak pernah berlaku dan apabila ia berlaku, tidak ada apa (dalil) yang menolaknya”. Demikianlah kata Imam Syafii r.a.

Imam al-Suyuthi r.a berkata: “Amalan mengadakan maulid itu tidaklah bercanggah dengan al-Quran, sunah, atsar dan ijmak dan ia bukanlah bidaah yang dicela, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Syafii r.a. Dan amalan ini termasuk dalam kebaikan yang tidak dijadikan adat/kebiasaan pada permulaan Islam, kerana amalan menjamu makanan yang tidak bercampur dengan perkara-perkara dosa itu adalah termasuk dalam kebaikan. Oleh itu ia adalah bidaah (perkara baru) yang disunatkan dan digalakkan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Sultanul ulama al-Izz bin Abdul Salam.”

Dan hukum asal berhimpun untuk menzahirkan syiar maulid itu adalah sunat dan perkara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah, kerana kelahiran Baginda Rasulullah saw itu merupakan nikmat yang paling agung kepada kita.

Manakala syariat p**a telah menggesa supaya menzahirkan kesyukuran ke atas nikmat-nikmat yang dikurniakan. Inilah yang dirajihkan oleh Ibnu al-Hajj dalam kitab “al-Madkhal” sebagaimana yang beliau nyatakan: “Kerana pada bulan yang mulia ini (Rabiul Awal), Allah telah kurniakan kepada kita dengan kelahiran penghulu sekalian makhluk. Oleh itu wajiblah diperhebatkan lagi ibadah, melakukan kebaikan dan kesyukuran kepada Allah atas nikmat agung yang dikurniakan.”

Dalil yang telah dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar yang tersebut dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim yang menceritakan ketikamana Baginda Rasulullah saw tiba di Madinah. Baginda dapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, Rasulullah saw lantas bertanya kepada mereka sebab perlakuan mereka. Mereka menjawab, “Pada hari ini Allah telah tenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Nabi Musa a.s. Oleh itu kami berpuasa sebagai kesyukuran kepada Allah.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar r.a berkata: “Maka boleh diambil faedah dan dalil daripada hadis ini bahawa mensyukuri Allah di atas apa yang telah dikurniakan olehNya pada hari-hari tertentu, sama ada kerana mendapat nikmat atau tertolak bala. Dan perkara sebegini adalah seperti yang berlaku pada hari tersebut, juga berlaku pada hari-hari yang lain setiap tahun. Kesyukuran boleh dilakukan dengan pelbagai ibadat seperti sujud (solat), puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan lain-lain. Oleh yang demikian adakah terdapat nikmat yang lebih agung daripada nikmat lahirnya Nabi yang mulia ini. Nabi yang merupakan rahmat kepada seluruh alam?”

Al-Hafiz Ibnu Hajar r.a mengukuhkan lagi suasana perayaan maulid itu dengan kata beliau: “Maka yang sepatutnya diringkaskan pada perayaan itu dengan amalan yang menyatakan kesyukuran kepada Allah seperti tilawah, menjamu makanan, mendendangkan qasidah, syair dan pujian kepada Rasulullah saw dan yang mengerakkan hati untuk melakukan kebaikan dan amalan untuk akhirat. Dan boleh melakukan perkara-perkara yang diharuskan yang melahirkan kegembiraan dengan hari maulid dihubungkan dengan amal-amal ibadah.”

Imam al-Suyuthi r.a telah menukil daripada Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Ibnu al-Jazari r.a dari kitab beliau yang berjudul “A’rafu at-takrif bi al-mawlid al-syarif”. Beliau berkata: “Sesungguhnya telah sahihlah (benarlah) bahawa Abu Lahab telah diringankan azab baginya di dalam neraka setiap malam Isnin kerana dia telah membebaskan Tsuwaibah ketikamana Tsuwaibah mengkhabarkan kepadanya berita gembira kelahiran Rasulullah saw Apabila Abu Lahab yang kafir itupun yang terdapat celaan kepadanya di dalam al-Quran telah diringankan azab dalam neraka kerana dia bergembira dengan malam kelahiran Rasulullah saw apatah lagi halnya jika seorang muslim yang mentauhidkan Allah dari kalangan umat Baginda Rasulullah saw yang bergembira dengan maulid Baginda dan berkorban apa saja kerana mencintai Baginda? Aku bersumpah demi umurku, sudah tentu balasannya daripada Allah Yang Maha Pemurah itu adalah dimasukkannya ke dalam syurga dengan limpahan rahmatNya.”

Al-Hafiz Syamsuddin al-Dimasyqi r.a telah mendendangkan syair berkenaan dengan permasalahan ini di dalam kitab beliau, “Mawrid al-Shadi Fi Mawlid al-Hadi.”

إِذَا كَانَ هَذَا كَافِرًا جَاءَ ذَمُّهُ • وَتَبَّتْ يَدَاهُ فِى الْجَحِيْمِ مُخَلَّدَا

Ertinya: “Apabila si kafir ini (Abu Lahab) yang mana telah datang ayat mencelanya dalam surah “Tabbat yada” yang ia merupakan ahli Neraka Jahanam yang kekal di dalamnya,”

أَتَى أَنَّهُ فِى يَوْمِ الْاِثْنَيْنِ دَائِمًا • يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُوْرِ بِأَحْمَدَا

Ertinya: “Telah datang riwayat bahawa pada setiap hari Isnin, diringankan azab baginya kerana gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad saw ,”

فَمَا الظَّنُّ بِالْعَبْدِ الَّذِى كَانَ عُمْرُهُ • بِأَحْمَدَ مَسْرُوْرًا وَمَاتَ مُوَحِّدَا

Ertinya: “Maka apatah lagi jika seorang hamba yang seumur hidupnya sentiasa gembira dengan Nabi Muhammad saw dan mati dalam keadaan mentauhidkan Allah.”

Kita juga boleh mengambil dalil tentang maulid itu dengan firman Allah:

وَذَكِّرْهُمْ بِأَيَّامِ اللهِ.

Ertinya: “Dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.”
(Sayidina Ibrahim : 5)

Tidak syak lagi bahawa maulid Nabi saw itu adalah antara hari-hari Allah tersebut. Oleh itu merayakannya adalah satu pelaksanaan terhadap perintah Allah. Perkara sebegini bukanlah bidaah, bahkan ia adalah sunnah (amalan) yang baik sekalipun ia tidak dilakukan pada zaman Baginda Rasulullah saw ( seperti yang dilakukan oleh zaman kemudian ).

Kita sentiasa merayakan hari maulid Rasulullah saw kerana kita mencintai Baginda saw. Bagaimanakah kita tidak mencintai Baginda saw sedangkan seluruh makhluk mengenal dan mencintai Baginda saw itu?

Lihatlah saja kepada batang pohon tamar yang merupakan benda yang tidak bernyawa itu, ia sangat kasih kepada Sayyidina Rasulullah saw dan sentiasa rindu dan mengharapkan sentiasa untuk berada dekat dengan Baginda Rasulullah saw .

Bahkan ia menangis teresak-esak kerana rindukan Baginda saw dan perkhabaran ini mencapai taraf hadis mutawatir, sehinggakan wajib setiap muslim mengetahui tentangnya.

Diriwayatkan daripada ramai sahabat Nabi saw: “Ketika mana Rasulullah saw berkhutbah sambil berdiri dan berpegang pada batang pohon tamar yang tegak. Apabila Baginda saw berdiri lama, Baginda meletakkan tangan Baginda yang mulia itu di atas batang pohon tamar tersebut. Setelah bilangan orang yang bersolat bertambah, para sahabat Nabi saw membuat mimbar untuk Baginda saw. Dan ketikamana Baginda saw keluar dari pintu kamarnya yang mulia pada hari Jumaat untuk menuju ke mimbar, Baginda melalui batang pohon tamar tersebut. Tiba-tiba batang pohon tersebut berteriak dengan kuat dan merayu-rayu kepada Rasulullah saw sehinggakan bergoncang masjid dan terbelah batang pohon tersebut, namun ia masih tidak reda. Sehinggalah Rasulullah saw turun daripada mimbar dan mendekati batang pohon kurma itu, lalu Baginda saw meletakkan tangan Baginda yang mulia itu ke atas batang pohon kurma dan menyapu-yapu batang pohon tersebut. Kemudian Rasulullah saw memeluk dan mendakap batang pohon tersebut sehinggalah ia tenang. Kemudian Rasulullah saw memberi pilihan kepadanya sama ada menjadi pohon di Syurga yang mana akar-akarnya dapat minum daripada sungai-sungai Syurga ataupun kembali menjadi pohon yang berbuah lebat di dunia. Lalu batang pohon tamar tersebut memilih untuk menjadi pohon di dalam syurga. Baginda Rasulullah saw bersabda: “Saya akan lakukannya Insya Allah, Saya akan lakukannya Insya Allah, Saya akan lakukannya Insya Allah.” Batang pohon kurma tersebut terus diam, kemudian Baginda Rasulullah saw bersabda: “Demi jiwaku yang berada dalam genggaman kudratNya, sekiranya daku tidak menenangkannya, nescaya ia akan merayu-rayu sehinggalah ke hari kiamat kerana asyikkan Rasulullah saw ”

Segala kata-kata yang telah disebut oleh ulama seperti Syeikh Ibnu Hajar, Ibnu al-Jauzi, Imam al-Suyuthi dan lain-lain itu jelaslah menunjukkan keadaan umat Islam sejak kurun yang kelima hijrah, dan kami melihat dan yakin bahawa merayakan hari maulid itu hukumnya adalah sunat dan amat digalakkan dan ia sesuai dengan pendapat umat Islam dan seluruh ulama. Dan amalan maulid itu perlulah dipenuhi dengan tilawah al-Quran, berzikrullah, menjamu makanan dan lain-lain.

Dan tidak boleh diambil kira mereka-mereka yang menyalahi ijmak amali umat Islam ini dan sekaligus perbuatan maulid itu adalah sesuai dengan pendapat imam-imam mazhab dan ulamak muktabar. Walaubagaimanapun perayaan menyambut maulid itu terlalu kerdil jika dibandingkan dengan diri Baginda saw rahmat seluruh alam dan kekasih Allah, Tuhan sekalian alam.

Al-Imam Muhammad al-Bushiri pernah mendendangkan dalam Qasidah Burdah beliau:

فَهُوَ الَّذِيْ تَمَّ مَعْنَاهُ وَصُوْرَتُهُ • ثُمَّ اصْطَفَاهُ حَبِيْبًا بَارِئُ النَّسَمِ

Ertinya: “Bagindalah nabi yang sempurna jiwa dan raganya kemudian dipilih oleh Allah, Tuhan Pencipta makhluk sebagai kekasihNya.”

مُنَزَّهٌ عَنْ شَرِيْكٍ فِيْ مَحَاسِنِهِ • فَجَوْهَرُ الْحُسْنِ فِيْهِ غَيْرُ مُنْقَسِمِ

Ertinya: ”Segala keindahannya tiada tercabar, maka keindahan permata yang ada padanya tidak pernah dibahagikan kepada orang lain

دَعْ مَا ادَّعَتْهُ النَّصَارَى فِيْ نَبِيِّهِمُ • وَاحْكُمْ بِمَا سِئْتَ مَدْحًا فِيْهِ وَاحْتَكِمِ

Ertinya: “Tinggalkanlah cara orang Nasrani (kristian) dalam menyanjung nabi mereka (Nabi Isa a.s) ertinya: Jangan katakan Nabi Muhammad itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Selepas itu terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda sesuka hati.

فَانْسُبْ إِلىٰ ذَاتِهِ مَاشِئْتَ مِنْ شَرَفٍ•وَانْسُبْ إِلىٰ قَدْرِهِ مَاشِئْتَ مِنْ عِظَمِ

Ertinya: “Pujilah kemuliaan zatnya sesuka hatimu dan pujilah segala keagungannya sekehendakmu

فَإِنَّ فَضْلَ رَسُوْلِ اللهِ لَيْسَ لَهُ • حَدٌّ فَيُعْرِبَ عَنْهُ نَاطِقٌ بِفَمِ

Ertinya: “Kerana keagungan Rasulullah itu tiada had baginya, lalu lidah tidak dapat mengungkapkan segala keistimewaannya sekalipun dengan bahasa yang indah

وَاللهُ تَعَالىٰ أَعْلىٰ وَأَعْلَم
Dan Allah s.w.t sahaja Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui.
===================================================

Dipetik dari Buku Keterangan yang jitu soalan no.6

Berminat dengan buku ini boleh
wassap.my/601117865328

25/08/2026

Address

Kuala Lumpur

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when PONDOK HABIB posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

Share