10/07/2021
Makna Istighfar Kabir
Aku pohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Hidup lagi Mentadbir langit dan bumi,
Maha Pengampun segala dosa, Empunya sifat Kehebatan dan Kemuliaan,
Aku bertaubat kepadaNya dari semua maksiat seluruhnya dan segala dosa dan kesalahan,
Dan dari setiap dosa yang telah aku lakukan, dengan sengaja dan tersalah pada zahir dan batin, perkataan dan perbuatan, pada seluruh gerak geriku, diamku, lintasan fikiranku dan nafasku seluruhnya sentiasa berkekalan,
Dari dosa yang aku ketahui dan dari dosa yang aku tidak ketahui.
Sebilangan apa yang diliputi dengannya ilmu Allah dan yang dicatit oleh kitab dan yang digariskan oleh kalam dan sebilangan apa yang diadakannya oleh kekuasaan Allah dan yang ditentukannya oleh kehendak Allah,
Dan sebanyak dakwat kalimat Allah seperti mana yang sayugia bagi sifat Jalal Zat Tuhan kami dan JamalNya dan kesempurnaanNya,
Dan sebagaimana yang dikasihi oleh Tuhan kami dan Dia redhai.
Manfaat Istighfar
Selain dari kelebihan istighfar kabir, banyak lagi kelebihan istighfar yang lain, maka dapat diambil kesimpulan bahawa fadhilat istighfar itu antaranya adalah:
1) Memperoleh keampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala atas segala dosa yang dilakukan samada sengaja atau tidak.
2) Menyenangkan hati dari kegelisahan dan gundah gulana kerana dosa yang dilakukan.
3) Mendekatkan diri kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala kerana istighfar bukan hanya terbatas kepada permohonan ampun saja tapi juga sebagai bukti ketaatan kepada Allah Subhanahu Ta‘ala dan untuk mencapai keredhaanNya.
4) Memperolehi perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada tipu daya serta hasutan syaitan kerana menghiasi lidah dengan istighfar merupakan salah satu perkara yang dibenci oleh syaitan.
5) Memelihara diri dari melakukan dosa atau kesalahan yang belum dilakukan kerana dengan istighfar dapat membersihkan hati dari lalai dan lupa akan tanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang dilarangNya.
6) Memperoleh keutamaan dan anugerah dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala berupa nikmat bagi sesiapa yang mengamalkannya seperti diberi kelapangan, kesenangan, kesihatan serta rezeki yang melimpah.