24/05/2026
PROGRAM REVIEW & RENEW (R&R)
GEREJA ST. VALENTINE BEAUFORT
Tarikh: 23 Mei 2026
Program Review & Renew (R&R) anjuran Gereja St. Valentine Beaufort telah berjaya dilaksanakan pada 23 Mei 2026 bertempat di Pusat Pastoral Keuskupan. Program ini telah dihadiri oleh Paderi Paroki, Rev. Fr. Gilbertus Engan, serta dibimbing oleh penceramah daripada Katekis Service Team Keuskupan Keningau yang terdiri daripada:
* Kat. Johnny Makajil
* Kat. Basal Dtk. Bullah
* Kat. Masuning Digang
* Kat. Kuip Sidin
* Kat. Jude Rensin
* Kat. Maurice Kilou
* Kat. Susan Hill
Seramai 131 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini yang melibatkan pelbagai lapisan umat yang terdiri daripada ahli KKD dan K*K Paroki SVB termasuk golongan dewasa, belia, remaja dan warga emas. Kehadiran yang amat memberangsangkan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan komitmen umat dalam memperkukuhkan kehidupan komuniti gereja.
Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membuat penilaian dan pascanilai terhadap perkembangan Komuniti Kristian Dasar (KKD)di dalam Paroki St. Valentine Beaufort, sama ada berada pada tahap βlampu hijau, kuning atau merahβ dari segi penglibatan, pelayanan dan kehidupan beriman umat.
Dalam perkongsian yang disampaikan, Rev. Fr. Gilbertus Engan menegaskan bahawa KKD bermula daripada keluarga-keluarga kecil yang berkembang menjadi komuniti yang lebih besar dalam kawasan yang sama. Berdasarkan Injil Lukas 8:1-6 dan Kisah Para Rasul 2, KKD berperanan sebagai βmata dan telingaβ gereja dalam mengenal pasti kesusahan dan penderitaan masyarakat sekeliling.
Beliau turut menyentuh beberapa pernyataan Magisterium Gereja seperti *Evangelii Gaudium (EG)* yang menekankan penglibatan umat awam dalam penginjilan, serta Katekismus Gereja Katolik (KGK) yang menjadi pedoman iman dalam kehidupan berkomuniti. Selain itu, 1 Korintus 12 menjelaskan bahawa setiap umat menerima karunia yang berbeza untuk melayani, manakala Yohanes 13 mengingatkan umat tentang perintah kasih yang diajarkan oleh Yesus Kristus.
Program ini juga menekankan sifat Gereja yang Sinodal, iaitu berjalan bersama sebagai Umat Allah. Menurut perkongsian tersebut, Gereja Perdana dalam Kisah Para Rasul 2:42-44 telah menunjukkan kehidupan komuniti yang saling mendukung dalam doa, pelayanan dan perkongsian hidup. KKD bukan sekadar teori, tetapi merupakan βgereja kecilβ yang hidup dalam iman, pelayanan dan kasih.
Antara sifat utama KKD yang diketengahkan ialah persekutuan, penyertaan, perutusan, Sabda Tuhan, pelayanan dan semangat sinodal. Setiap ahli komuniti digalakkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti gereja, melayani golongan miskin, lemah dan memerlukan, serta mencari kembali umat yang telah lama menjauhkan diri daripada gereja.
Selain itu, setiap KKD juga disarankan mempunyai nama santo atau santa sebagai pelindung dan inspirasi kehidupan rohani komuniti masing-masing. Namun begitu, beberapa cabaran turut dikenal pasti seperti perbezaan pendapat politik, kurangnya kefahaman sesama ahli, sikap lepas tangan, kekurangan pemimpin dan pengaruh media sosial.
Bagi memperkukuhkan lagi KKD di paroki ini, empat tonggak utama telah digariskan iaitu kebersamaan, saling menginjil, komited untuk bekerjasama dan memperkasa gereja. Dalam sesi pascanilai, pihak paroki turut mencadangkan beberapa program susulan seperti seminar penyembuhan, seminar kepimpinan, seminar evangelisasi dan seminar Alkitab agar umat terus berkembang dalam iman dan pelayanan.
Secara keseluruhannya, Program Review & Renew (R&R) ini telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini diharapkan dapat memperbaharui semangat pelayanan umat serta memperkukuhkan kehidupan komuniti Kristian di Gereja St. Valentine Beaufort selaras dengan semangat sinodal Gereja.